Friday, June 11, 2010

Bantal busuk ikhtiar akhir


AZMAN membawa bantal busuk anaknya, Asyraf yang hilang semasa mandi untuk dilemparkan ke dalam laut di Pantai Tanjung Gelam di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa melempar bantal busuk anaknya ke laut sebagai usaha terakhir menyelamatkan kanak-kanak itu yang tenggelam hampir dua jam di Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini semalam.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat anaknya, Muhammad Asyraf, 8, kembali dalam keadaan selamat tidak kesampaian apabila mayatnya ditemui pada pukul 6.50 petang.

Menurut bapa mangsa, Azman Ali, 36, dia pergi ke pantai itu bersama isteri, Rubiah Jusoh, 36, dan empat orang anaknya serta dua anak saudara kira-kira pukul 3 petang.

Ujarnya, selepas 30 minit berada di situ, dia dikejutkan dengan jeritan anak saudaranya, Muhammad Kamal Alias, 14, yang mandi bersama anaknya di tepi pantai.

"Ketika itu saya lihat Muhammad Asyraf sedang terkapai-kapai dihanyutkan ke laut. Saya segera terjun dan berjaya memegang lehernya.

"Bagaimanapun, saya terpaksa lepaskan dia apabila saya sendiri hampir lemas kerana tidak pandai berenang. Apabila cuba menyelamatkannya sekali lagi, dia sudah tenggelam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut Azman, dia membuat keputusan melempar bantal busuk milik anaknya ke laut sebagai ikhtiar terakhir selepas dua jam mangsa hilang.

"Bantal itu selalu digunakan oleh anak saya dan sebelum dibaling ke laut, kita sudah lakukan solat hajat dan berdoa supaya ia dapat membantu kami menemuinya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: