Friday, June 11, 2010

Kembar maut dirempuh kereta


ORANG ramai melihat motosikal dan kereta yang terbabas ke dalam sawah selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Raja Syed Alwi, Kangar kelmarin.


KANGAR - Hasrat pasangan kembar untuk membuat satu hantaran bagi perkahwinan ibu saudara mereka Sabtu ini berkecai apabila kedua-dua mereka maut selepas terseret beberapa meter apabila dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Raja Syed Alwi di sini kelmarin.

Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Fatimah Kamis dan adiknya, Aishah, masing-masing berusia 22 tahun, dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki satu pasangan suami isteri.

Kereta tersebut gagal dikawal ketika hendak keluar dari simpang tiga Bohor Pulai menyebabkannya terus merempuh motosikal mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tok Kaya Kayang, Utan Aji di sini.

Akibat rempuhan tersebut, motosikal dan kedua-dua anak bongsu daripada tujuh beradik itu terseret dan terpelanting beberapa meter manakala kereta pasangan suami isteri terbabit terperosok di petak sawah.

Fatimah yang sedang mengandung tiga bulan mati tiga jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini manakala Aishah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, kedua-dua mangsa baru sahaja membeli beberapa jenis coklat dan gula-gula untuk dibuat sebagai hantaran perkahwinan ibu saudara mereka di pekan Kangar. Barangan itu bertaburan di atas jalan.

Aishah merupakan kakitangan HTF manakala kakaknya, Fatimah bertugas di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, siasatan mendapati motosikal itu ditunggang oleh Fatimah manakala Aishah sebagai pembonceng.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: