Tuesday, June 8, 2010

Koleksi 125 tahun


LOKET-LOKET yang dihasilkan inspirasi motif unik seperti bentuk oval, daun, hati dan titisan air.


BERMULA daripada hiasan rumah kontemporari kepada hadiah buat kanak-kanak dan aksesori peribadi, Royal Selangor kini semakin unggul setelah 125 tahun bertapak di Malaysia dengan penuh komitmen menghasilkan rekaan inovatif serta seni ketukangan yang cemerlang.

Sempena sambutan ulang tahun ke-125 tahun, Royal Selangor melancarkan koleksi musim bunga 2010 di Hotel Eastern & Oriental, Pulau Pinang sebagai simbolik meraikan ulang tahun penuh gemilang.

Pengurus Besar Royal Selangor International Sdn. Bhd., Yong Yoon Li memberitahu ia mengambil masa dua tahun untuk tampil dengan koleksi musim bunga hasil usaha 40 pereka yang bernaung di bawah Royal Selangor.

"Kami mahu menampilkan konsep gaya hidup bandar yang boleh diterima pakai dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat di seluruh dunia.

"Koleksi musim bunga 2010 ini bertemakan bunga Peony, inspirasi daripada seni kraftangan Baba dan Nyonya seperti batik, perkakasan seramik dan pakaian yang unik," katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Royal Selangor ke 125 baru-baru ini.


KOLEKSI hiasan menampilkan pasu hiasan, bekas pencungkil gigi dan bekas teh.


Sebanyak empat produk baru diperkenalkan sempena sambutan bersejarah tersebut iaitu bingkisan plak bertuah, hiasan piuter untuk lelaki, koleksi bunga Peony dan hiasan piuter untuk wanita.

Bingkisan plak

Empat bingkisan plak menarik ditawarkan dalam koleksi terbaru tersebut iaitu helang, harimau, ikan emas dan bunga Peony selain gabungan undur awan dan kuda yang sinonim dengan tuah dalam masyarakat Cina. Bingkisan plak itu dijual pada harga RM400.

Hiasan lelaki

Bagi mereka yang bosan dengan rekaan yang sama untuk hiasan lelaki, Royal Selangor tampil dengan rekaan menarik berdasarkan corak-corak daripada bunga tayar dan gabungan rantai dalam koleksi hiasan lelaki terbarunya yang terdiri daripada enam kafling dan enam tali pinggang.

Tiga daripada tali pinggangnya dihias dengan corak geometri abstrak yang sesuai untuk kegunaan kasual. Selebihnya direka dengan permukaan faset yang ringkas sesuai untuk gaya formal.

Melengkapi koleksi hiasan itu adalah kafling yang mengambil inspirasi daripada bentuk rantai dan bunga tayar.


IKAN emas turut menjadi motif simbolik dalam koleksi 125 tahun Royal Selangor.


Koleksi hiasan lelaki terkini itu boleh didapati di semua kedai jualan Royal Selangor dan pengedar-pengedar berdaftar dan melalui talian royalselangor.com. Harganya bermula dari RM150.

Koleksi bunga Peony

Koleksi bunga Peony Royal Selangor adalah tanda meraikan gabungan budaya Peranakan di Asia Tenggara. Walaupun istilah asal Peranakan merujuk kepada gabungan budaya Cina dan Melayu sejak abad ke-15 lagi.

Penyatuan tersebut menghasilkan gabungan dari segi bahasa, makanan, pemakaian dan nilai-nilai estetika yang tinggi.

Terdapat begitu banyak motif bunga yang ditonjolkan dalam pelbagai barangan Peranakan tetapi penggunaan bunga Peony paling menyerlah. Ia melambangkan kelembutan, cinta dan kasih sayang, kekayaan serta kebangsawanan.

Motif Peony dalam koleksi Royal Selangor diambil daripada contoh yang terdapat pada pasu porselin Peranakan dan diberi pendekatan grafik daripada corak batik yang merupakan salah satu seni Melayu yang dikenali umum.

Dengan penampilan berani, rekaan ranggi Peony ini merangkumi produk bingkai gambar, bekas teh, bekas pencungkil gigi, bekas minuman, bekas bertutup dan penyangkut beg. Bagi pasu hiasan tengah pula, bunga Peony digabungkan dengan satu lagi motif Peranakan yang tersendiri iaitu burung phoenix. Harga koleksi itu bermula dari RM120.

Hiasan wanita

Tidak mengetepikan golongan wanita, Royal Selangor juga menawarkan barangan perhiasan khusus buat mereka supaya tampak lebih bergaya feminin dengan koleksi Plus.


LELAKI boleh bergaya dengan kafling dan tali pinggang piuter.


Koleksi itu direka ringkas berpandukan corak renda, reben, tali leher kupu-kupu dan bunga-bungaan. Rekaan tersebut dicipta sepenuhnya dengan piuter dan terdapat 12 rekaan baru dengan bentuk sensasi yang jelas menonjolkan sifat-sifat kewanitaan.

Corak-corak renda itu dijalin ringkas membentuk 12 bentuk untuk dijadikan loket pada rantai leher iaitu bentuk oval, titisan air, layang-layang, daun, hati, reben dan sebagainya.

Selain daripada rantai leher, hiasan piuter itu cukup serba boleh untuk ditukarkan menjadi rantai kunci dan tangkai beg. Dengan kepelbagaian kegunaan mengikut imaginasi, produk Plus memberi peluang kepada anda menggunakan kreativiti sendiri.

Seperti koleksi lain, Plus boleh didapati di semua kedai jualan Royal Selangor dan pengedar-pengedar berdaftar dan melalui talian di royalselangor.com. Harga bermula dari RM100.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: