Tuesday, June 8, 2010

Setia pada gunung


PENGANJURAN aktiviti mendaki bersama rakan-rakan tidak pernah menghampakan.


MENYELUSURI denai, berdepan dengan trek yang curam dan cuaca yang tidak menentu sememangnya memberikan pengalaman menyeronokkan bagi yang menyukai aktiviti mendaki gunung. Namun, mungkin ada sesetengah individu berbeza pendapat.

Mengapa harus berpenat lelah dan bermandikan peluh hanya untuk berada di puncak buat sementara waktu?

Bagi Megat Marwan Megat Nizar, minatnya terhadap sukan lasak adalah kerana kepuasan, pencapaian dan sebagai cara mengisi masa dengan aktiviti berfaedah. Jika sesetengah individu memilih snorkeling untuk menerokai dunia marin atau menunggang motorcross untuk 'terbang' di udara, mendaki gunung juga ada kepentingan dan kepuasan tersendiri.

"Cabaran mendaki gunung melatih ketahanan fizikal dan mengoptimumkan kecekalan mental kita. Secara tidak langsung ia membentuk seseorang lebih berani dan kreatif. pendaki selalunya mempunyai kepekaan tinggi terhadap rakan pendaki, lebih teliti dan mampu mengukur risiko yang dihadapi.

"Secara tidak langsung,, aktiviti mendaki gunung turut menyemai nilai kasih sayang dan semangat mencintai alam sekitar," terang Megat Marwan.

Pemuda berumur 24 tahun itu menjelaskan minatnya terhadap aktiviti rekreasi itu bermula sejak di bangku sekolah kerana kerap mendaki Bukit Gasing, Kuala Lumpur yang kebetulan berdekatan dengan kawasan perumahannya.

"Dulu bila dalam keadaan stres, saya suka pergi ke bukit itu. Laluan mendakinya tidak terlampau sukar. Namun rasa puas dalam keletihan itu tetap ada. Jadi bila sudah penat, tekanan dalam hati sedikit sebanyak hilang. Di puncaknya, saya dapat saksikan pemandangan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.


KEINDAHAN alam sekitar banyak mengajar pendaki agar menghargai khazanah semula jadi yang mereka kongsi bersama.


"Selain itu saya juga melakukan aktiviti mendaki melalui aktiviti ko-kurikulum bersama rakan-rakan di sekolah. Antara gunung yang sering menjadi pilihan semasa remaja dahulu termasuklah Gunung Nuang dekat Hulu Langat," jelas anak bongsu daripada dua adik beradik itu.

Keterujaannya terhadap dunia pendakian membuatkan dirinya terus aktif dalam kelab-kelab rekreasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) seperti High Risk Adventure Team (HRAT), Kolej Tun Perak UPM dan Kelab Reccan's High Challange, Kolej Canselor UPM .

Aktiviti kelab tersebut bukan sahaja tertumpu kepada agenda mendaki gunung malah cabang rekreasi lain seperti eksplorasi air terjun, abseiling, flying fox, berkayak dan mendaki tembok dinding turut dianjurkan.

Menurut anak muda ini, penyertaan dalam kelab-kelab tersebut mendedahkan ahli-ahlinya kepada pelbagai kemahiran termasuk skil etika sosial dan juga corak kepimpinan. Sekiranya sebelum ini, Megat Marwan hanya bertindak sebagai peserta, namun suasana berbeza apabila sesekali dia juga menjadi penganjur dan pengendali aktiviti.

Cabaran pendakian

Sama seperti pendaki-pendaki lain, tahap dan jarak perjalanan sememangnya menjadi dugaan, malah boleh membuatkan seseorang putus semangat. Berdasarkan pengalaman peribadi yang telah mendaki tujuh buah gunung, penerokaan ke Gunung Tahan benar-benar menguji kesabarannya.

"Pendakian ke puncak sahaja mengambil masa selama lapan hari dengan perjalanan sejauh 65 kilometer dari Kuala Tahan. Laluannya juga tidak semudah disangka kerana memerlukan pendakian sehingga 80 darjah dengan melalui akar-akar pokok, merentas sungai serta kawasan berlumpur.


MEGAT MARWAN percaya aktiviti pendakian mampu mengajar tentang kemahiran kepimpinan dan etika sosial.


"Walaupun letih, ganjaran kepuasan diperolehi dengan peluang meneroka tarikan Gua Gajah, santuari ikan kelah dan juga menjejak hidupan liar seperti gajah," jelasnya yang mengimbau kembali pendakian pada 2007 itu.

Sehubungan itu, persediaan stamina dan latihan yang konsisten harus dilakukan sebelum melakukan pendakian. Bagi Megat, merancang perjalanan dengan menentukan rentak kelajuan, tahap kecergasan dan keupayaan diri lebih bermakna daripada tergesa-gesa mengejar sampai ke puncak lebih awal.

Untuk mengetahui cebisan pengalaman dan gambar aktiviti HRAT seperti yang dilalui Megat Marwan, jaringan Facebook dan Fotopages boleh dilayari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: