Monday, June 28, 2010

Kisah 44 hari selepas bersalin




NORSHAZUANIE Shamsuidin, 27, sudah mula bosan kerana terpaksa berpantang makan setiap hari. Hanya menu ikan bilis atau ikan tenggiri goreng yang dimasak dengan lada hitam atau halia menjadi pengalas perut.

Jika ada yang lain pun, ibunya cuma akan menukarkan menu goreng tadi menjadi sup. Menu tersebut akan diulangi selama 44 sepanjang dia berpantang selepas bersalin.

Buat kali pertama, Norshazuanie menjadi ibu dan perlu menjalani proses pemulihan selepas bersalin. Amalan-amalan tegar seperti itu bukan satu kebiasaan kepadanya.

Melihat adik-adiknya menikmati hidangan pelbagai jenis lauk yang menyelerakan dan minuman berais, hatinya mula memberontak. Bukan itu sahaja, Norshazuanie juga perlu berbengkung, bertungku dan berurut setiap hari.

Paling teruk, dia terpaksa membuang air kecil dan besar sambil bersimpuh, takut luka jahitan selepas bersalin terkoyak.

Anak pertama daripada empat beradik itu juga berhadapan dengan lelehan darah nifas yang banyak. Akibatnya, darah-darah tersebut melekat dan menjadi kering apabila terkena jahitan bersalin.

Situasi itu menyebabkan dia sering gagal mengawal emosi lalu menjadi pemarah. Mujur suaminya, Mohd Idzham Saihari, 27, sentiasa memberi perangsang kepadanya.

Malah, suaminya itu sanggup mencuci luka jahitan isterinya dengan menggunakan pencuci antiseptik kerana ia sukar dilakukan sendiri oleh Norshazuanie.

"Mak juga banyak beri nasihat. Katanya, jika tidak amalkan makanan-makanan berkhasiat, takut memberi kesan kepada bayi yang masih menyusu.


HALIMAH menunjukkan cara yang betul memakai bengkung ketika berpantang bagi ibu yang baru melahirkan anak.


"Amalan bertungku dan berbengkung juga penting untuk mengembalikan bentuk badan kepada asal'," kongsi pegawai bank itu.

Jelasnya, beratnya selepas bersalin ialah 65 kilogram tetapi selepas melalui rejim berpantang selama sebulan lebih, beratnya menjadi 54 kilogram. Sebelum mengandung, berat badannya ialah 55 kilogram.

"Selain mengamalkan pemakanan berkhasiat, berbengkung dan bertungku, saya juga mengamalkan makan jamu.

"Pada mulanya saya makan jamu sebanyak lima biji, dua kali sehari. Namun, disebabkan amalan jamu itu, anak saya, Amirul Afiq mula mengalami alahan yang teruk.

"Timbul ruam-ruam pada badannya dan dia juga bertahi mata. Saya mula mengurangkan jumlah jamu yang diambil," katanya kini lega kerana anaknya tidak lagi mengalami sebarang alahan.

Tambahnya, disebabkan sudah terbiasa dengan amalan semasa berpantang, sehingga kini dia masih mengambil makanan yang berkhasiat dan banyak minum air masak.

Cantik luar dan dalam

Mendengar pengalaman berpantang daripada Norshazuanie tidaklah sehebat pengalaman berpantang yang telah diharungi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib. Ibu Halimah, Dara Latiff, terlalu banyak petua dan pantang larangnya.

Disebabkan amalan dan petua ibunya itu, Halimah mengambil keputusan untuk berkongsi bersama wanita-wanita lain dengan menubuhkan syarikat Jamu Mak Dara Sdn. Bhd..

Cerita Halimah, sejak mengandung sehingga melahirkan anak, pelbagai amalan berpantang perlu dipatuhi olehnya.

"Memang sampai ke satu tahap saya tidak tahan. Tapi kerana inginkan tubuh kembali cantik luar dan dalam selepas bersalin, amalan tersebut terpaksa dilakukan.

"Jika tidak berpantang, kita mudah mendapat penyakit," katanya yang mempunyai enam orang anak tetapi masih memiliki badan yang langsing biarpun sudah berusia 66 tahun.

Walaupun pelbagai amalan telah diamalkan Halimah semasa mengandung untuk memudahkannya bersalin, perasaan takut menantikan detik kelahiran tetap membelenggu diri.

Lebih-lebih lagi usia Halimah baru mencecah 13 tahun ketika melahirkan anak pertama.

"Memang sakit sangat ketika bersalin. Sakit yang tidak boleh digambarkan tetapi Alhamdulilah sakitnya tidak lama. Cukup tiga hari selepas bersalin, Halimah mula berpantang.


KEPAYAHAN peraturan berpantang akan memberi kebaikan buat si ibu yang baru bersalin.


Mandi serai wangi

"Membuang air kecil dan besar pun terpaksa sambil bersimpuh selama 44 hari. Lebih menyukarkan, saya tidak boleh meneran.

"Walaupun luka sudah baik, ibu saya tetap suruh bersimpuh. Katanya, peranakan akan jatuh jika meneran dan tidak bersimpuh.

"Saya juga disuruh mandi dengan pelbagai jenis daun. Antaranya daun kunyit, serai wangi, pisang emas dan pisang batu untuk mencergaskan serta mewangikan badan," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Selepas mandi, Halimah akan menyapu seluruh badannya dengan param yang dibuat oleh ibunya. Param adalah ramuan yang seakan-akan bedak dengan campuran halia bara, kunyit dan lada hitam.

Perutnya juga disapu air limau dengan kapur dan kemudiannya dibarut dengan bengkung.

"Tujuan kita berbengkung selepas bersalin adalah untuk merapatkan kelengkang, punggung dan rahim. Bengkung juga boleh mencantikkan perut dan pinggul yang jatuh selepas bersalin seperti sediakala.

"Selepas berbengkung, ibu saya akan meletakkan pilis pada dahi saya. Pilis ini dibuat daripada campuran kulit kayu manis yang dicampurkan dengan sedikit bawang putih.

"Tujuannya untuk mengelakkan 'darah meroyan' naik ke kepala atau mata menjadi kabur ketika tua nanti. Selepas itu, saya akan menyapu bedak sejuk di seluruh muka.

"Bukan itu sahaja, selepas siap berbengkung dan berpilis, saya perlu minum air daun jati Cina. Ibu saya kata, tujuannya adalah untuk mengempiskan perut, mengurangkan kolesterol dan melawas air kecil dan besar," katanya.

Jelasnya, dia juga kena berpantang dari segi pengambilan makanan. Setiap hari, dia akan makan ayam rebus halia padi atau halia Cina. Air rebusan tidak perlu terlalu banyak.

Tambah ibunya, wanita berpantang tidak elok minum terlalu banyak air. Halimah juga akan makan pegaga mentah yang telah dipotong tanpa dimasak atau direbus.


NORSHAZUANIE (kanan) dan suaminya, Mohd. Idzham bersama anak mereka, Amirul Afiq.


Ibunya menambahkan hidangan ayam rebus dan pegaga tadi dengan membuat satu lagi hidangan iaitu ikan bilis singgang dengan bawang dan kemudiannya diperah dengan air asam jawa.

"Memang saya rasa mahu menangis ketika berpantang. Saya juga dilarang bercakap dan gelak terlalu kuat kerana takut rahim akan mengembang. Selain itu, saya juga ada makan jamu yang dibuat sendiri oleh ibu.

"Ada cara untuk makan jamu. Ketika telan jamu, angkat kedua-dua belah payu dara dengan menggunakan lengan kiri. Tujuannya untuk mengelakkan jamu mengalir pada payu dara.

"Jika tidak, anak yang menyusu akan termakan jamu dan akan mendapat alahan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: