Thursday, June 17, 2010

Kerjaya: Pereka grafik

PEREKA grafik harus kreatif dalam menterjemah reka letak bahan  berdasarkan golongan sasaran.
PEREKA grafik harus kreatif dalam menterjemah reka letak bahan berdasarkan golongan sasaran.
Cetusan inspirasi harus kreatif, mempunyai tarikan tersendiri

REKA letak grafik yang menarik pada akhbar, majalah mahupun kulit buku memberi inspirasi kepada pembaca untuk meneruskan bacaan mereka. Rekaan yang kreatif bukan hanya menarik perhatian malah menggamit minda untuk terus mendapatkan maklumat yang terkandung di dalamnya.

Menyedari pentingnya susun atur grafik yang kreatif dalam sesebuah penerbitan, pereka grafik perlu memastikan hasil reka letak mampu menari perhatian pembaca untuk meneruskan bacaan. Menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat dan komunikasi menerusi perisian komputer, hasil rekaan menjadi lebih kreatif. Satu kepuasan apabila hasil grafik siap dan terhampar reka letak kreatif dan mempesonakan. Pereka grafik Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa (BHKA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Akmanizam Abd Latiff, 34, mengakui kerjaya sebagai grafik artis begitu mencabar kerana dia perlu menghasilkan sesuatu yang menarik dalam menyuntik semangat umum untuk terus membaca.

Beliau berkata, pereka grafik perlu kreatif dalam menterjemahkan reka letak berdasarkan golongan sasaran bagi setiap bahan bacaan yang diterbitkan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Alor Gajah, Melaka dan berkhidmat di UPSI sejak 2002, Akmanizam menganggap minat mendalam penting jika ingin menjadi pereka grafik yang baik.

“Saya mula meminati bidang ini sejak di bangku sekolah. Lukisan saya lebih menjurus kepada keindahan alam selain mengilhamkan keunikan sesuatu rekaan. Minat melukis diterjemahkan dalam setiap susun letak grafik.
“Daya imaginasi yang tinggi mendorong saya menggambarkan sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Segala ilham diterjemahkan dalam bentuk susun letak pada bahan terbitan,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu mempunyai pandangan dan terjemahan berbeza, hasil reka letak bergantung kepada kreativiti. Perasaan marah, suka mahupun duka boleh dilihat berdasarkan hasil reka letak.

Katanya, seorang artis tidak perlu memikirkan identiti tersendiri dalam menghasilkan karya grafik hingga khalayak mengenali siapa perekanya bila melihat sesuatu penerbitan.

“Saya mendapat kepuasan apabila menggabungkan seni halus dan grafik dalam menghasilkan rekaan susun letak lebih santai. Elemen ini pastinya mewujudkan suasana tenang,” katanya.

Akmanizam berkata, individu yang berminat menceburkan diri dalam perekaan grafik perlu membina minat yang tinggi kerana bidang itu menguji ketahanan mental kerana berhadapan dengan tekanan tugas yang perlu disiapkan segera.

“Banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta menawarkan pengajian bidang berkenaan, terpulang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dalam pada itu, peluang pekerjaan sebagai pereka letak grafik masih terbuka luas kepada pemegang ijazah berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: