PESERTA Program Pertukaran Pelajar UNITEN-IITU bergambar kenangan di kampus UNITEN, Kajang, baru-baru ini.
PROGRAM Pertukaran Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) - Universiti Antarabangsa Teknologi Maklumat (IITU), Almaty, Kazakhstan diadakan baru-baru ini sebagai aktiviti sulung selepas memorandum persefahaman (MoU) dimeterai kedua-dua pihak Mac lalu.
Koordinator program, Naziffa Raha Md Nasir, berkata seramai 35 pelajar dan empat pensyarah IITU menyertai program dua minggu di kampus UNITEN, Kajang. Beliau berkata, aktiviti utama adalah kuliah teknologi maklumat (IT), pembangunan kemahiran komunikasi dan bahasa Inggeris serta sukan dan kebudayaan. Selain itu, katanya, rombongan pelajar IITU dibawa melawat ke tempat tarikan pelancong seperti bandaraya bersejarah Melaka, Kuala Lumpur City Centre, Genting Highlands dan Putrajaya.
“Aktiviti bertujuan menyokong Program Mobiliti anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha meningkatkan kerjasama pelajar dengan universiti antarabangsa serta mendedahkan mereka kepada sektor pengajian tinggi negara, keunikan budaya dan tarikan pelancongan.
“UNITEN adalah universiti pertama menjalin kerjasama dengan IITU dan dijangkakan lebih banyak aktiviti diadakan menerusi program ini pada masa depan. Ini termasuk kursus jangka pendek, program intensif bahasa Inggeris serta pemindahan kredit bagi membolehkan pelajar IITU melanjutkan pengajian di sini,” katanya.
Sementara itu, pelajar tahun satu program IT, IITU, Nursultan Kudaibergen, menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai pengalaman berharga kerana mendapat pendedahan pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Selama dua minggu di sini, banyak pengetahuan dan peluang praktikal diperoleh bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Saya berpeluang berkenalan dengan pelajar tempatan serta pelbagai negara lain yang mengikuti pengajian di UNITEN,” katanya.
Rakannya, Akzer Yeshmukhanbetova, berkata peluang bekerjasama dengan pelajar UNITEN dalam menyiapkan tugasan berkaitan IT membolehkan beliau mendapat pelbagai pengetahuan dan kemahiran baru.
“Saya belajar menggunakan pelbagai kemudahan IT canggih di universiti ini. Kami berkongsi idea baru dan mencari pendekatan terbaik mempersembahkan hasil perbincangan secara interaktif menerusi pendekatan multimedia,” katanya.
Tolkyn Bekesheva pula menyatakan kekagumannya terhadap kampus UNITEN yang luas dan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk pelajarnya.
“Saat awal memasuki kampus UNITEN, saya sangkakan ia adalah salah satu bandar di negara ini kerana ia sangat besar. Ternyata kemudahannya jauh berbeza dengan kampus IITU dan saya harap pelajar UNITEN akan mengunjungi universiti kami supaya dapat membalas jasa dan layanan baik mereka sepanjang berada di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: