Thursday, June 17, 2010

Gaya Hidup: Pelihara alam sekitar

KEMUDAHAN tong kitar semula di lokasi strategik memudahkan pelajar  INTI mengamalkan tabiat kitar semula.
KEMUDAHAN tong kitar semula di lokasi strategik memudahkan pelajar INTI mengamalkan tabiat kitar semula.
MENGGUNAKAN mangkuk tingkat atau bekas sendiri untuk membawa pulang makanan dibeli di kafeteria menjadi amalan pelajar Universiti Antarabangsa INTI (INTI) di kampus Nilai.

Ini kerana mereka mahu mengelak dikenakan caj tambahan 30 sen bagi penggunaan bekas makanan kertas disediakan berikutan pemansuhan penggunaan bekas makanan `styrofoam’ yang tidak boleh dikitar semula. Tong kitar semula aluminium, plastik, kaca dan kertas disediakan di sekitar kampus universiti itu juga sentiasa ada sampah di dalamnya, menunjukkan kemudahan itu digunakan pelajar. Sememangnya amalan kitar semula adalah komponen utama gaya hidup pelajar INTI sebagai sumbangan mereka kepada kelestarian alam sekitar.

Amalan bermula secara serius dua tahun lalu sejak penubuhan Kelab Green Knights bertujuan menggalakkan tabiat kitar semula di kalangan warga universiti itu.

Presiden kelab itu, Mishal Kothari, berkata pada awal penubuhannya, kempen kepentingan mengamalkan kitar semula dijalankan secara agresif bagi meningkatkan kesedaran pelajar universiti supaya memupuk tabiat itu.

Katanya, kempen berjalan lancar dengan sokongan pihak universiti yang menyediakan kemudahan berkaitan terutama tong kitar semula di lokasi strategik sekitar kampus seperti di kawasan asrama dan fakulti.
“Daripada takrifan kitar semula iaitu `Reduce’, `Reuse’ dan `Recycle’, jelas bahawa daripada 3R itu, hanya 1R saja memerlukan penggunaan tong, manakala 2R iaitu `Reduce’ dan `Reuse’ tidak langsung membabitkan penggunaan tong kitar semula.

“Bagi menjayakan usaha berkenaan, caj tambahan 30 sen bagi penggunaan bekas makanan kertas dilaksanakan bagi menggalakkan pelajar menggunakan bekas sendiri yang boleh digunakan berulang kali berbanding bekas yang perlu dikitar semula.

“Kempen kami mendapat kerjasama `Student Government’ yang antara lain menetapkan cetakan perlu dibuat di kedua-dua helaian kertas bagi mengelak mengelak pembaziran,” katanya ketika ditemui di kampus Nilai, baru-baru ini.

Sementara itu, pelajar American Undergraduate Program, Muhammad Afif Najib Zol Sohaili, berkata pada mulanya sukar untuk memupuk amalan itu tetapi apabila melihat semakin ramai pelajar komited melaksanakannya, ia lebih mudah menjadi ikutan.

Pada mulanya beliau berkata, memang berasa janggal hendak menjinjing plastik sampah hingga berjumpa tong kitar semula tetapi ia menjadi lebih mudah apabila melihat orang ramai berbuat demikian.

“Tabiat lama sukar dikikis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. Kita harus menjadi teladan kepada orang lain untuk turut sama mengamalkan kitar semula.

“Malah, ada kalangan rakan yang membawa mangkuk tingkat untuk memudahkan membeli nasi campur di kafeteria dan mengelak penggunaan bekas makanan kertas,” katanya.

Sementara itu, pelajar South Australian Matriculation, Karee Chan, berkata amalan kitar semula seperti menjual baju terpakai memberi pendapatan sampingan kepada pelajar.

“Pelajar perempuan lazimnya mempunyai banyak baju terpakai yang mungkin sudah tidak muat atau tidak sesuai. Tahun lalu saya dan rakan membuat jualan baju terpakai dan dengan mudah memperoleh RM300 daripada hasil jualan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: