|
|
BERSANTAI di atas kapal semasa percutian! Mungkin ini jarang sekali dilakukan, malah tidak semua rakyat negara ini pernah melaluinya.
Namun, keadaan ini telah sekian lama dilakukan oleh rakyat dari kebanyakan negara luar yang menjadikannya sebagai budaya hidup.
Percutian di atas kapal bolehlah dianggap masih ‘baru’ di negara ini ekoran kemungkinan kurangnya penganjur atau pemilik kapal yang berminat menjalankan aktiviti tersebut.
Percutian menggunakan bot-bot kecil mungkin telah kerap kali dilakukan namun amat berbeza dengan percutian di atas kapal yang besar dan mewah.
Bercakap mengenai kapal besar, mungkin ada tanggapan bahawa ia melibatkan perbelanjaan yang besar.
Bagaimanapun tanggapan itu meleset sama sekali.
Sebaliknya percutian di atas kapal seperti yang terdapat di sekitar Pulau Sipadan, bolehlah dianggap mampu bagi rakyat negara ini.
Jika kita mampu pergi berbelanja dan bercuti dengan tinggal di calet atau resort yang terdapat di seluruh negara, maka aktiviti sama juga boleh dilakukan dengan bercuti di atas kapal besar.
Ini kerana perbelanjaannya tidak banyak berbeza.
Malah, jangan terkejut jika diberitahu bahawa bercuti di atas kapal besar mempunyai kelebihan tersendiri.
Inilah yang ditawarkan oleh kapal MV Celebes Explorer yang menawarkan pakej pelancongan dan percutian antara Semporna, Pulau Mabul, Pulau Sipadan, Kapalai serta beberapa pulau sekitarnya.
Sesuatu yang begitu menarik ialah apa sahaja yang ditawarkan jika bercuti di resort atau calet, maka kapal Celebes Explorer juga mampu melakukan perkara yang sama.
Malah, bagi menarik hati pelancong, kapal itu juga menawarkan aktiviti tambahan selama 24 jam.
Dengan kata lain, pelancong tidak akan jemu atau bosan ketika belayar dengan Celebes Explorer semasa menjelajah sekitar perairan Sipadan.
Kemudahan bercuti dan melancong menggunakan Celebes Explorer bukan hanya untuk para penyelam, sebaliknya ia juga sesuai bagi aktiviti berkeluarga.
Tidak mengira umur, kapal ini menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: