|
|
SEREMBAN 23 Jun - Gerai Pendidikan akhbar Utusan Malaysia terus mendapat sambutan hangat pengunjung sempena Karnival Hari Guru peringkat negeri yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.
Pengarang Pendidikannya, Wahid Hashim berkata, ekspo yang berlangsung selama dua hari yang berakhir hari ini menyaksikan lebih 1,000 buku Latih Tubi ADaP (Akhbar Dalam Pembelajaran) keluaran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. habis dijual.
''Buku-buku ini terbukti berkesan digunakan di dalam bilik darjah kerana silibus pelajarannya terkini dan mengikut piawaian serta diperakui Kementerian Pelajaran akan keberkesanannya.
''Selain itu, kami juga sedang memperkemaskan lagi kandungan supaya lebih bersistematik dan memudahkan pelajar mengulang kaji pelajaran di sekolah mahupun di rumah," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya kini sedang merangka pelan yang lebih efektif dengan mewujudkan perpustakaan mini bergerak bagi mempromosikan produk pendidikan keluaran Utusan Malaysia.
''Perpustakaan mini bergerak itu dijangka dilancarkan pada hujung September ini di ibu negara dan selepas itu kita akan memulakan siri jelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia.
''Usaha ini akan memberi peluang kepada semua golongan dalam mendapatkan buku latih tubi ini sama ada penduduk bandar dan luar bandar," ujarnya.
Hal ini turut diperakui sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli.
Menurut beliau, bahan tambahan pembelajaran di dalam kelas terbukti berkesan dalam meningkatkan pemahaman dan prestasi pelajar di dalam kelas.
''Saya berhasrat untuk memperluaskan bahan tambahan pembelajaran keluaran Utusan Malaysia ini ke sekolah di setiap daerah di negeri ini dalam meningkatkan prestasi pelajar," ujarnya.
Salah seorang pengunjung, Nurin Farzana Muhammad Fauzi, 12, berkata, sisipan ADaP Utusan Malaysia itu mampu memudahkannya memahami pelajaran.
''Saya telah menggunakan sisipan dan buku ini sejak awal tahun lalu dan ia mampu membantu dalam membuat persiapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan datang tidak lama lagi," katanya.
Rakannya, D. Kirisha, 12, berkata, sisipan ADaP Utusan Malaysia dan buku latih tubinya mudah difahami dengan gambar rajah yang menarik.
''Grafik yang menarik serta kandungan yang tidak padat memudahkan saya memahami dan mengulang kaji dengan pantas dan sekali gus persiapan peperiksaan dapat dilakukan dengan lebih awal," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: