Sunday, June 27, 2010

Konvoi hampir tamat


PENGEMBARAAN jarak jauh menuju ke Tanah Suci yang dipenuhi cabaran.


KONVOI bermotosikal Ekspedisi 1Malaysia Kembara ke Bumi Suci 2010 kini tiba di Jordan selepas lebih 40 hari memulakan pengembaraan untuk mengerjakan umrah.

Perjalanan darat ke Madinah dan Mekah sejauh kira-kira 15,000 kilometer itu telah melepasi Thailand, Loas, China, Kyrgystan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Turki.

Sehingga Khamis lalu, jarak perjalanan dilalui kumpulan yang terdiri daripada 11 penunggang dan empat orang dari unit sokongan itu sudah melebihi 80 peratus daripada jarak keseluruhan.

Ketua Ekspedisi, Mohamed Assir A. Mohamed Ariff berkata, berdasarkan semangat peserta dan keadaan jentera yang masih baik konvoi dijangka dapat ditamatkan mengikut jadual pada 15 Julai ini.

“Harapan kita adalah untuk sampai ke tanah suci seperti yang dirancang dan mengerjakan ibadah umrah.

“Selepas 40 hari mengembara, kami bersyukur kerana banyak urusan dipermudahkan dengan bantuan pelbagai pihak walaupun kadang-kala berdepan dengan keadaan yang cukup getir,” ujarnya melalui kiriman emel.

Sementara itu, Pengurus Penganjur, Azman Baharuddin berkata, sebahagian daripada cabaran berjaya dilepasi sebaik sahaja konvoi keluar dari negara China.

“Sebahagian besar daripada laluan menunggang di China adalah laluan yang sangat mencabar. Ketahanan mental dan fizikal adalah paling utama,” jelasnya.

Memasuki Asia Tengah

Selepas 20 hari, konvoi melepasi sempadan Kyrgyzstan sekaligus bersedia menempuh perjalanan di kawasan tanah tinggi dan cabaran suhu di bawah paras beku.

Di Kyrgyzstan, kesan daripada perjalanan yang lasak di China mula memberi kesan pada beberapa buah jentera. Salah sebuah daripada motosikal terpaksa diangkut menggunakan pacuan empat roda akibat kerosakan klac.

Selepas empat hari, konvoi melepasi sempadan Uzbekistan melalui Suusamir dan Fergana. Di Tashkent, peserta meluangkan masa untuk melakukan penyelenggaraan dan pemeriksaan pada jentera masing-masing.

Ketibaan kumpulan yang mencipta rekod mengerjakan umrah melalui jalan darat di negara itu disambut oleh Timbalan Menteri Sukan dan Kebudayaan yang hadir bersama Duta Malaysia di Uzbekistan iaitu Abdul Aziz Harun.

Pada hari ke 28, perjalanan konvoi di bumi para cendikiawan Islam tiba di Samarkand dan Bukhara, dua buah kota lama yang dipenuhi seni bina Islam yang menakjubkan di Uzbekistan. Peluang yang ada tidak dilepaskan untuk melawati Masjid Imam Al-Bukhari dan Dataran Rajistan.

Keesokan harinya, pengembaraan melepasi satu lagi sempadan iaitu Mary, menandakan konvoi memasuki Turkmenistan. Seperti biasa, proses menyeberangi sempadan di negara Asia Tengah itu memakan masa yang agak lama.

Walaupun keadaan jalan raya di negara bekas jajahan Soviet Union itu boleh dibanggakan, cabaran menunggang berdepan depan cuaca panas yang mencecah suhu 45 darjah Celsius terutama ketika konvoi menuju ke kota pentadbiran, Ashgabat.

Pada hari ke 31, kumpulan tiba di Iran melalui Marshad selepas penantian enam jam menanti proses pelepasan imigresen dan kastam. Proses itu menurut Azman adalah tempoh yang paling membosankan setiap kali melalui sempadan.

Di Iran, peserta Kembara ke Bumi Suci 2010 sekali lagi tersentuh dengan layanan dan kemurahan hati penduduk Islam. Ada yang sanggup memberikan makan dan minuman selepas mengetahui kumpulan adalah jemaah umrah dari Malaysia.

“Kami cukup terharu apabila mekanik di sana membaiki pacuan empat roda kami tanpa mengenakan sebarang bayaran,” ujar Azman.

Namun cabaran sepanjang pengembaraan tidak ‘cerah’ sepanjang hari. Cabaran dan ujian datang tanpa mengira waktu dan tempat.

Antara pengalaman pahit yang terpaksa dilalui semasa berada di negara itu adalah penahanan salah seorang daripada ahli konvoi selepas ditangkap kerana merakamkan gambar di kawasan bandar.

Dalam kejadian itu, mangsa yang melakukan kesalahan tanpa sengaja itu digari dan ditutup mata sebelum dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Pasport dan kamera turut dirampas sebelum dipulang semula di kedutaan Malaysia di Iran.

Pengembaraan diteruskan ke Turki dan Syria. Sepanjang perjalanan di bumi para nabi itu, peserta berkesempatan melawat masjid-masjid bersejarah seperti masjid Khaleed Al-Walid, masjid utama Damascus (Umaiyyah), masjid Al-Ayubi da tempat kelahiran Nabi Ibrahim.

Jordan merupakan negara terakhir sebelum konvoi memasuki Arab Saudi dan menamatkan pengembaraan mengikut jadual pada 15 Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: