PERSATUAN Karyawan dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) kini bergabung bagi menganjurkan makan malam Berkat Bersama Artis.
Makan malam yang bakal berlangsung di Dewan Utama Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur itu berkonsepkan konsert amal dengan tema persembahan bersifatkan kerohanian. Ia diadakan bertujuan untuk kutipan dana.
Hasil daripada jualan meja dan sumbangan yang diperoleh sepanjang penganjuran majlis yang akan berlangsung pada pukul 8 malam 18 Julai depan akan memberi manfaat kepada 1,200 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di bawah Pertis.
Menurut Naib Yang Dipertua Pertis, Zakaria Yahya, dana yang diperoleh nanti akan digunakan untuk menghasilkan al-Quran dalam bentuk tulisan Braile yang mencecah kos sebanyak RM200 setiap set.
Katanya, al-Quran yang dihasilkan itu akan diagihkan kepada setiap ahli Pertis bagi mencapai misi mereka iaitu '1 OKU Penglihatan 1 al-Quran Braile'.
"Pada masa yang sama kami di Pertis amat memerlukan sumber kewangan yang mencukupi dalam menanggung kos pentabiran, emolumen dan sewa premis tetap persatuan.
"Justeru itu, dana yang diperoleh dengan penganjuran majlis ini diharap dapat menampung segala kos untuk merealisasikan usaha ini secara berterusan.
"Di samping itu, kami juga mengadakan pusat latihan hafazan al-Quran untuk OKU penglihatan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Sime Darby baru baru ini.
Tambahnya, majlis makan malam itu akan dihadiri oleh artis artis tersohor tanah air seperti Ramli Sarip, Amy Search, Mawi, Datin Paduka Julie Sudiro, Radhi OAG, Bienda dan ramai lagi artis.
"Selain itu majlis ini turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa di kalangan ahli-ahli Pertis yang membuat persembahan," tambahnya.
Majlis itu akan diadakan dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat selaku penaung majlis itu.
Pihak karyawan pula akan membantu menjayakan majlis itu dari segi pengurusan pentas dan persembahan artis serta dari sudut promosi dan pemasaran.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Halijah Yahaya.
Zakaria memberitahu, mana mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan atau penajaan meja boleh menghubungi Puan Bariah di talian 019-3644468 atau melayari laman web www.karyawan.com.my untuk memuat turun borang tempahan.
Segala penajaan atau sumbangan ikhlas juga boleh disalurkan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia melalui Bank Islam dengan nombor akaun 14014010086992.
Meja-meja untuk 10 orang boleh dibeli atau ditaja dengan harga RM10,000 untuk Platinum, Berlian (RM5,000), Emas (RM3,000) dan Perak (RM1,500).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: