Thursday, June 10, 2010

Joannabelle bantu golongan susah


Joannabelle turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan modelnya.


JIKA pertama kali bertemu dan mengenali secara lebih dekat personaliti yang memegang gelaran Ratu Cantik Malaysia Universe 2009 ini, pasti ramai akan terpesona. Bukan saja pada kejelitaan yang dimiliki, bahkan budi bahasa dan keramahan yang dipamerkan.

Nyata gelaran ratu yang dimahkotakan tidak membuatkan Joannabelle Ng Li Vun lupa diri apatah lagi berasa terlalu hebat sehingga tidak tidak berpijak di bumi nyata.

‘Menjelajahi’ latar belakang dan cerita di sebalik penampilan luarannya, gadis berusia 22 tahun ini, masih teguh dengan hati yang cukup ikhlas dalam membantu orang lain terutama golongan susah.

Sifat dalamannya itu sekali gus menafikan kata-kata nakal kecantikan tanpa akal yang kerap dilemparkan pada gadis-gadis cantik bergelar ratu sepertinya.

Mengimbas secara ringkas perjalanan hidupnya, gadis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu memulakan pembabitan dalam dunia peragaan pada usia 16 tahun apabila memenangi tempat pertama pertandingan pencarian model. Ia menjadi batu loncatan buatnya terus aktif secara serius dalam bidang berkenaan.

Joannabelle menganggap kejayaannya dalam bidang peragaan sebagai anugerah daripada Tuhan.

Dengan itu, katanya ia memberi peluang lebih besar untuk mendekati orang susah melalui cara paling tepat.

Justeru tidak hairan, walaupun pernah terbabit dalam kebakaran beberapa tahun sebelum penyertaannya di pencarian model yang menyebabkannya mengalami kecederaan peringkat kedua, Joannabelle tetap menyahut cabaran dan ingin membuktikan beliau sentiasa bersemangat menyertai pertandingan itu demi impiannya membantu golongan yang memerlukan.

“Selepas berjaya menjadi juara, ia umpama laluan berliku yang kembali lurus. Kejayaan itu memberi saya pengalaman berharga apabila mula dapat mencapai impian.

“Satu daripada pengalaman membantu golongan susah yang tidak akan saya lupakan adalah apabila saya dan seorang rakan melakukan kerja sukarela dengan membawa 30 orang anak yatim ke restoran makanan segera untuk makan tengahari.

“Melihat mereka makan sehingga kenyang membuatkan saya menangis kegembiraan,” katanya ketika berucap pada pelancaran kempen mengumpul dana, Jo-B Care di Pusat Membeli-belah Pavillion baru-baru ini.

Kempen Jo-B, yang diambil daripada singkatan namanya, adalah projek bagi mengumpul dana yang dicetuskan Joannabelle dengan kerjasama Fametis Management & Associates Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada persatuan kebajikan yang memerlukan.

Lebih membanggakan, usahanya mendapat sokongan rakan-rakan rapatnya yang ada antaranya turut terbabit dengan dunia peragaan termasuk model terkenal, Amber Chia.

Dengan mengetengahkan slogan, Kongsi untuk Prihatin (Share to Care), kempen itu akan dianjurkan pada 12 Jun ini melalui acara menarik yang mana orang ramai dijemput datang beramai-ramai untuk menjayakan.

Buat permulaan, kempen Jo-B memilih lima buah rumah kebajikan sebagai penerima dana iaitu Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCASFT), Rumah Victory, Persatuan Pencegahan Kekejaman ke atas Haiwan Selangor (SPCA Selangor), Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman (Pernim) dan Persatuan Ibu Tunggal Masmerah.

Menurut Joannabelle, beliau mengharapkan orang ramai tampil menjayakan aktiviti yang dianjurkan kerana sedikit sumbangan yang dihulurkan pada acara itu pastinya mampu memberi kehidupan lebih sempurna kepada penerima.

Pada acara berkenaan, pihaknya akan membuka sebuah gerai kutipan dana di pusat membeli-belah itu dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

Selain itu, ujarnya, pengunjung akan berpeluang menemui selebriti, artis dan model terkemuka negara sepanjang waktu kempen.

“Sempena kempen itu, kami mensasarkan kutipan dana berjumlah RM100,000 dan saya sangat berharap ia mampu dicapai,” katanya.

Joannabelle menegaskan, usaha mengadakan kempen itu bukan kerana nama tetapi bagi memenuhi minatnya membantu golongan susah, menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan ingin penerima menjalani kehidupan lebih baik.

“Mana-mana individu yang menderma RM50 dan ke atas, akan menerima sehelai kemeja-T edisi terhad tertera ‘Share to Care’ manakala mereka yang sudi menderma RM100 dan ke atas, bakal menerima sehelai kemeja-T sama serta jemputan ke Malam Gala Jo-B Care,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: