Thursday, June 10, 2010

Inspirasi fesyen 40-an


Penggunaan fabrik renda mencetus aura mewah pada setiap rekaan.


WALAUPUN Hari Raya Aidilfitri masih jauh, pereka-pereka fesyen tanah air sudah mula menghasilkan rekaan fesyen terkini bagi menyambut hari kebesaran umat Islam itu.

Pereka fesyen terkenal, Datuk Bernard Chandran misalnya tampil dengan Koleksi Petang Raya 2010/2011. Gayanya adalah glamor, lebih feminin dengan sedikit sentuhan urban.

Mengambil inspirasi daripada fesyen tahun 1940-an, rekaan kali ini lebih tulen, berimaginasi dan ringkas tetapi masih nampak moden dan elegan. Jika dilihat, pilihan warna Bernard untuk koleksi petang raya merupakan warna-warna lembut.

''Pilihan warna untuk tahun ini adalah warna-warna lembut seperti coklat muda, warna tembaga, ungu muda, karamel, merah jambu, biru muda dan kuning kerana saya inginkan kelainan gaya.

"Walaupun namanya Koleksi Petang Raya namun koleksi ini cantik dipakai pada bila-bila masa dan di mana saja.

''Potongan kali ini lebih moden di mana baju pendek potongan lurus dipakai bersama kain berpotongan seperti yang dipakai oleh nenek dan ibu kita dahulu,'' kata Bernard ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Potongan yang dipilih pula supaya si pemakai nampak lebih muda.

''Saya buat pembaharuan supaya cara pemakaiannya boleh dipelbagaikan. Jika tidak mahu dipakai sepasang, bajunya boleh dipakai bersama jeans dan sebagainya.

"Begitu juga dengan bib atau alas dada baju yang dihiasi manik yang boleh ditanggalkan jika tidak mahu.

''Selain menggunakan pelbagai jenis fabrik renda, saya turut menggandingkan dengan renda kapas dan organza. Fabrik seperti ini lebih selesa, lembut, jarang, nipis dan nampak seksi.

"Kebiasaannya kita lihat fesyen raya sama sahaja pada setiap tahun dan saya mahu menjadi trendsetter dan memberikan kelainan.

''Perincian hiasan seperti reben, bulu burung, kristal, tali dan alas dada glamor memberikan gaya yang lebih terkini pada koleksi ini,'' jelas Bernard.

Selain koleksi Petang Raya, Bernard turut menampilkan koleksi kasut bertumit tinggi yang dihiasi dengan batu-batu permata berkilauan dan memukau pandangan.

Kata Bernard, tumit kasut rekaannya itu diimport dan hiasannya dibuat di Malaysia.

''Koleksi ini tentang wanita yang glamor dan romantik namun berkeyakinan. Rekaan saya juga tentang keanggunan dan kewanitaan yang diinginkan oleh semua wanita,'' ujarnya.

Koleksi Petang Raya yang dikategorikan sebagai koleksi mewah, Harganya bermula dari RM3,500.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: