Monday, June 14, 2010

Bayu Ayu perkenal 20 produk baru


KALTHOM menunjukkan sebahagian daripada produk keluaran syarikatnya di Shah Alam baru-baru ini.


SHAH ALAM - Bayu Ayu Sdn. Bhd. (Bayu Ayu), syarikat pengeluar produk berasaskan lemon myrtle, bercadang untuk memperkenalkan lebih daripada 20 produk baru menjelang akhir tahun hadapan.

Menurut Pengarah Urusan Bayu Ayu, Kalthom Abu Bakar, pertambahan produk itu seiring dengan permintaan dan potensi pasaran terhadap kepelbagaian produk berasaskan lemon myrtle.

Lemon myrtle merupakan sejenis herba yang mempunyai bau sitrus seperti buah lemon yang menyegarkan dan mempunyai komponen antibakteria, virus dan kulat serta membantu melindungi sel badan.

Ia juga merupakan sejenis tumbuhan natif di Australia dan mempunyai pelbagai kegunaan untuk diproses dalam produk makanan dan minuman, penjagaan diri dan kesihatan serta ejen pembersih.

"Kami merancang untuk memperkenalkan dua produk baru setiap dua bulan di dalam pasaran.

"Ia termasuk empat jenis minuman teh kesihatan, sabun mandi, syampu, pewangi bilik, deodoran, ubat gigi, sabun pembersih lantai dan meja," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Pada masa sekarang, Bayu Ayu mengeluarkan tiga jenis minuman teh di bawah jenama Nature's Taste iaitu Lemon Myrtle Tea, Lemon Myrtle Green Tea dan Lemon Myrtle Black Tea.

Selain itu, syarikat juga mengeluarkan produk untuk mengawal berat badan iaitu Amida Weight Control Tea di bawah jenama Amida, gel mandian True Beauty dan sabun antibakteria Australian Lemon Myrtle dan gel penyahkuman untuk tangan dalam rangkaian Bioactive.

"Kesemua produk kami telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan ia jelas tertera pada nombor kelulusan dan pelekat hologram yang terdapat pada produk yang berkenaan," tegas Kalthom.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: