Tiz Zaqyah
HAMPIR semua akhbar hujung minggu memaparkan kisah Tiz Zaqyah menjadi penggoda. Dia juga dikatakan berebut lelaki dengan Fasha Sandha. Pelakon muda ini tidak cepat melenting apabila ditanya perkara itu. Malah sepanjang perbualan dengan Hip, suara Tiz yang namanya mula dikenali menerusi drama Nurkasih, ini cukup tenang. Baginya, sejak ada angin lintang yang membawakan perkhabaran kononnya dia seorang yang miang apabila cuba mengganggu kekasih pelakon terbabit dengan menghubungi jejaka itu menerusi telefon pada jam 4 pagi untuk tujuan melepak, dia sudah bersedia untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan.
Memegang prinsip berani kerana benar, Tiz Zaqyah berkata tidak ada apa perlu yang disembunyikan kerana dia tidak pernah melakukan perkara seperti yang dihebohkan ramai pihak itu. Malah, dia yakin hubungannya dengan Fasha masih berjalan seperti biasa kerana dia tidak pernah mempunyai masalah dengan pelakon itu.
Tegas Tiz, kehadirannya di dalam industri ini bukanlah untuk mengganggu keharmonian mana-mana pihak. Sebaliknya, dia hanya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya lakonannya yang baru hendak bermula.
Hip: Apakah benar Tiz ada menghubungi kekasih Fasha pada jam 4 pagi seperti yang dihebohkan ketika ini?
Tiz: Tidak. Saya tidak pernah melakukan perkara itu. Saya mendapat tahu mengenai gosip ini pun apabila ada seorang teman memberitahunya. Memang terkejut kerana perkara itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri hairan bagaimana gosip seperti ini boleh timbul.
Hip: Bagaimana dengan cerita kononnya lelaki yang dikaitkan dengan Tiz itu sanggup membuat pinjaman dengan sebuah bank semata-mata untuk menghadiahkan Tiz kereta?
Tiz: Iya ke? Setahu Tiz, kalau ibu dan bapa Tiz yang nak menjadi penjamin untuk Tiz beli kereta adalah (ketawa). Sebenarnya, untuk pengetahuan, ketika ini saya memang tidak ada kereta. Kalau mahu bergerak ke sana, ke mari pun saya menggunakan teksi saja. Saya tak fahamlah kenapa orang suka buat cerita yang tak betul fasal saya. Saya sendiri pun masih tak ada lesen memandu. Jadi macam mana saya nak bawa kereta yang kononnya dihadiahkan seseorang itu.
Hip: Tiz kenal dengan lelaki yang digosipkan dengan Tiz itu?
Tiz: Ya, saya kenal dan kami pernah keluar beramai-ramai dengan kawan-kawan lain termasuk Fasha sendiri. Disebabkan kami adalah kawan, mana mungkin saya tergamak untuk mengkhianati kawan sendiri.
Hip: Jika betul Tiz tidak melakukan perkara itu, Tiz berani untuk bersemuka dengan Fasha untuk menjelaskan perkara yang sebenar.
Tiz: Saya tak ada masalah dengan Fasha. Sejak mengenalinya beberapa bulan lalu, saya anggap Fasha macam kawan-kawan saya yang lain. Mungkin saya bertemu dengan Fasha untuk bertanyakan perkara ini tetapi bukanlah untuk masa terdekat ini. Tidak perlu tergesa-gesa kerana ia memang tidak pernah berlaku.
Hip: Kalau begitu, mungkin Tiz ada pesanan buat Fasha yang boleh melegakan hati pelakon itu?
Tiz: Saya rasa tak perlu untuk saya sampaikan apa-apa pesanan di sini. Tak sesuai. Biarlah apa yang ingin katakan nanti, saya katakan secara berdepan dengannya jika saya berpeluang bersemuka dengannya satu hari nanti.
Hip: Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan Tiz dan cuba merosakkan imej Tiz dengan menyebarkan cerita ini?
Tiz: Itu saya tidak pasti. Tapi sebagai artis, saya anggap apa yang berlaku ini adalah satu dugaan buat saya. Mujurlah keluarga dan peminat banyak memberi sokongan meskipun pada awalnya mereka sendiri terkejut dan tidak senang hati dengan gosip seperti ini. Bagaimanapun selepas diberi penjelasan, barulah mereka memahami kedudukan yang sebenar.
Hip: Masih berdepan dengan sikap sesetengah pihak yang tidak dapat membezakan antara Tiz Zaqyah dan Nur Amina dan mengharapkan Tiz menjadi Nur Amina sampai bila-bila?
Tiz: Memang ada. Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah lepas dari membuat kesilapan. Tiz sedar watak Nur Amina memang memberi impak yang besar tapi mereka harus ingat, itulah hanyalah sebuah lakonan. Jadi, Tiz mahu semua pihak terima diri Tiz sebagai Tiz Zaqyah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: