Wednesday, June 16, 2010

Panggil Adila saja

ADILA masih mengutamakan bidang nyanyian dan lakonan hanya  sampingan.
ADILA masih mengutamakan bidang nyanyian dan lakonan hanya sampingan.
Tukar imej, aliran muzik lebih agresif untuk pecah tembok suram populariti

“Panggil saja Adila,” demikian ungkap penyanyi yang sebelum ini menggunakan nama Nas Adila sejak enam tahun lalu. Penyanyi yang sejak 2006 berjinak-jinak dalam dunia lakonan itu melakukan perubahan atas kelangsungan memberi penjenamaan semula kepada dirinya.Sekalipun ada yang memandang sinis terhadap apa yang dilakukannya, ia sedikit pun tidak memberikan sebarang kekurangan kepada dirinya. Malah ada juga yang menganggap dengan mengubah nama sekalipun masih belum mampu memecah tembok kesuraman profilnya.Menyorot perjalanan kerjaya seninya, Adila, 24, pernah muncul dengan dua album berjudul Kekasih Kerinduan berkonsepkan tradisional dan Istana Janji. Perubahan genre lagu juga antara sebahagian penjenamaan semula namanya.

Single terbarunya, Bidadari Syurga dipetik daripada album EP yang dilancarkan awal tahun lalu sudah bertukar genre muzik. Lagu itu terarah kepada pop dance. Selain lagu itu, dua lagu lain yang dimuatkan ialah I Love You dan Maaf.

“Bukan hanya nama saja yang ditukar, aliran muzik juga berbeza. Album penuh yang diterbitkan syarikat saya sendiri, Nas Adila Event & Entertainment (NAEE)) dijangka berada di pasaran penghujung tahun ini.

“Secara keseluruhannya, album itu berkonsepkan pop. Muzik saya lebih agresif dan imej lebih matang, lebih feminin, seksi tetapi dalam masa sama masih ada kelembutannya. Saya nak dikenali dengan nama Adila,” katanya yang hadir ke Balai Berita minggu lalu dan cantik disolek jurusolek, Chot.
Terlanjur berbicara mengenai lagu Bidadari Syurga, Adila meluahkan sedikit rasa kekecewaan yang terbuku di hatinya dek pembikinan klip video lagu itu yang dirakamkan di Jakarta Timur Mac lalu. Klip video itu menerima sentuhan pengarah bernama Kiky ZKR.

Kiky yang pertama kali mengarah klip video itu sebelum ini pernah terbabit dalam pengarahan filem seperti Kiamat Sudah Dekat dan Lorong Waktu. Menurut Adila, hasrat mencuba angin baru dengan membuat klip video di sana berakhir dengan sedikit rasa tidak puas hati.

“Kami diperkenalkan kepada Kiky melalui Kohar Khahlir dari Indonesia juga, yang turut menyusun muzik bagi lagu Bidadari Syurga. Bagaimanapun apa yang dirancang tak jadi kenyataan. Hasil yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

“Akhirnya, saya terpaksa merombak semula idea asal supaya dapat menyesuaikan klip video itu dengan konsep muzik. Selepas perbincangan, kami akan melakukan penggambaran semula untuk beberapa babak. Penggambaran akan dilakukan di Malaysia,” katanya yang kini sedang giat berlatih untuk pementasan teater muzikal KITA dipentaskan pada 17 hingga 27 Jun ini.

Sememangnya nama Adila masih belum meninggalkan impak. Namanya pernah naik seketika dek kisah putus tunang dengan lelaki yang dikatakan kerabat diraja Kedah. Penyertaannya dalam Akademi Fantasia (AF)7 sedikit sebanyak membuatkan namanya diingati kembali.

Tapi semuanya tidak kekal lama. Biarpun rezekinya untuk bersinar ke peringkat yang lebih membanggakan belum tiba, ia tidak sesekali mendorongnya mengundur diri. Atau dalam erti kata lain, cukup-cukuplah Adila, lebih baik berhenti saja jadi artis.

“Saya percaya setiap daripada kita ada bahagian masing-masing dalam hidup ini. Saya masuk bidang ini pun sebab betul-betul minat sedari kecil lagi. Cuma saya harus terus bertahan, nasib dan rezeki untuk menyerlah memang agak lambat.

“Saya tak pernah terfikir untuk berhenti jadi artis. Memang kadang-kadang tidak ada semangat apabila usaha kita tidak mendatangkan hasil. Tapi saya kena perlu terus berusaha. Saya tak pernah menyesali. Saya tak boleh leka dengan masalah ini,” katanya yang memegang prinsip akan terus berusaha selagi belum mendapat kejayaan.

Berlagak kaya?

Adila ditanya mengenai status diri yang kononnya berlagak kaya. Dia mengakui baru pertama kali diaju pertanyaan ini. Katanya, mungkin kerana penampilannya menyebabkan ada membuat pelbagai andaian.

“Saya daripada keluarga sederhana. Saya juga membantu keluarga mencari rezeki.
Saya terkejut bila perkara ini ditanya. Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap lebih selesa,” kata anak kedua daripada empat beradik itu yang menetap bersama keluarganya di Kota Kemuning.

Adila juga menjelaskan dia masih belum bertemu pengganti. Selepas putus tunang pada Julai tahun lalu, dia lebih selesa memberi perhatian kepada kerjaya seninya.

“Dalam hati saya tak bermimpi pun untuk berkahwin dengan kerabat atau golongan VIP,” katanya sambil memberitahu peminat boleh berhubungan dengannya di laman sesawang, www.bidadarisyurga.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: