Wednesday, June 23, 2010

Jawablah!: Aizat, Liyana selisih faham?

AIZAT nafi dakwaan bermusuhan dengan Liyana sambil mengakui  hubungan mereka hanya kawan biasa bukan sebagai pasangan kekasih.
AIZAT nafi dakwaan bermusuhan dengan Liyana sambil mengakui hubungan mereka hanya kawan biasa bukan sebagai pasangan kekasih.
SECARA zahir, ramai yang menganggap pasangan remaja ini sedang hangat dilamun cinta. Kerap kelihatan bersama, malah sering digandingkan untuk mana-mana sesi fotografi membuatkan pelbagai pihak menyangka Aizat dan Liyana Jasmay adalah pasangan kekasih. Kesudian Aziat untuk memberikan lagu kepada Liyana dan berduet juga mengundang persepsi mereka memang ada ikatan, cuma tidak mahu atau belum bersedia mendedahkannya kepada khalayak.

Namun, secara tiba-tiba timbul cerita yang kononnya hubungan penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Aku Tak Percaya Cinta kini sudah tinggal sejarah. Disebabkan perpisahan itu, mereka sudah tidak boleh bertemu muka. Kononnya Aizat meletakkan syarat bahawa dia tidak menerima sebarang persembahan kalau turut membabitkan Liyana. Jadi, lupakan saja jika ada pihak yang ingin menggandingkan mereka dalam satu sesi fotografi kerana itu juga dielakkan Aizat. Pendek kata, sudah tidak ada ruang langsung untuk Liyana di hati Aizat. Apakah puncanya ia berlaku? Tidak pula diketahui walaupun ada yang mengatakan semua itu disebabkan penyanyi serta pelakon berbakat itu yang kini menjalinkan hubungan intim dengan vokalis kumpulan dari seberang iaitu Pasha Ungu serta tidak mendapat restu keluarga Aizat.Menemui Aizat sewaktu penyanyi ini menjayakan konsert Inspirasi Muzik-Muzik pada Sabtu lalu, dengan penyanyi muda ini tenang menyatakan, tidak ada sebarang perselisihan faham antara mereka. Malah tegas Aizat, antara dia dengan Liyana masih berkawan baik dan tidak ada masalah untuk bergambar bersama pada masa akan datang.

Hip: Khabarnya Aizat dan Liyana sudah tidak ada apa-apa dan Aizat didakwa tidak mahu dikaitkan dengan Liyana dalam apa juga acara.

Aizat:
Mana dengar cerita ini? Semua itu tidak benar kerana Aizat dan dia masih bersahabat baik. Sebenarnya kami sendiri tidak pernah pun kata sedang bercinta. Semua kenyataan itu andaian semata-mata. Saya rapat dengan Liyana sebab saya terbabit dengan pembikinan albumnya. Kebetulan kediaman kami berhampiran dan pula selalu digandingkan di dalam sesi fotografi. Mungkin itulah yang menyebabkan hubungan kami menjadi rapat. Itulah sebabnya saya terkejut apabila ada gosip yang menyatakan kami putus cinta walaupun cerita itu tidak benar. Hakikatnya saya dan Liyana memang tidak ada apa-apa masalah.

Hip: Tapi ada khabar yang menyatakan Aizat tidak mahu bergambar dengan Liyana serta tidak mahu berkongsi pentas dengan penyanyi itu dalam mana-mana persembahan.
Aizat:
Gosip ini juga tidak betul. Perkara itu mungkin disebabkan sebelum ini kami pernah menolak untuk mengadakan sesi fotografi bersama. Bukannya kami tak mahu tetapi masalah jadual yang tak selari membuatkan kami tak mampu memenuhi permintaan itu. Saya tiada sebarang masalah untuk bergambar dengan Liyana dan tidak kisah untuk berkongsi pentas dengan dia. Malah sehingga kini hubungan saya dengan Liyana tetap baik dan saling menghubungi antara satu sama lain. Selepas ini kalau ada pihak yang ingin mengadakan sesi fotografi saya dan dia, saya bersedia asalkan jadualnya tidak bertembung dengan komitmen lain.

Hip: Betulkah perkara ini ada kena mengena dengan orang ketiga yang menggugat hubungan kalian serta keluarga Aizat yang tak merestui perhubungan ini?

Aizat:
Saya tak anggap soal orang ketiga itu ada kaitan dengan saya. Soal Pasha Ungu yang dikatakan kekasih Liyana, saya tak pernah langsung bertanyakan hal ini kepadanya. Itu hal peribadi Liyana. Saya tidak pernah masuk campur. Mengenai dakwaan kononnya keluarga saya tidak suka Liyana, itu tidak benar sama sekali. Keluarga saya jenis yang terbuka dan tidak kisah saya berkawan dengan sesiapapun.

Hip: Jika benar tiada apa yang berlaku, bagaimana gosip seperti ini boleh tersebar?

Aizat:
Saya rasa perkara ini ada kena mengena dengan status yang saya kemas kini di laman sosial Facebook dan Twitter. Mungkin tulisan saya di status sudah disalah mengertikan oleh pelbagai pihak dan menyangkakan ia ada kaitan dengan kisah cinta saya. Perkara seperti ini pernah berlaku pada kawan saya apabila statusnya di Facebook sudah disalah anggap dan menimbulkan kekeliruan dan saya percaya perkara yang sama berlaku pada saya. Jadi selepas ini, saya akan lebih berhati-hati menulis status supaya perkara yang sama tidak berulang.

Hip: Sejujurnya apakah Aizat rasa selesa apabila sering dikaitkan dengan Liyana?

Aizat:
Bukan soal selesa atau tidak, cuma antara kami hanyalah kawan biasa saja. Buat masa ini, saya lebih senang menumpukan perhatian terhadap kemunculan album terbaru saya yang bakal dilancarkan pada 7 Julai depan. Album yang berjudul Urusan Aizat Amdan ini unik kerana bukan saja dilancarkan pada 7 Julai tetapi juga mengandungi tujuh buah lagu yang semuanya adalah hasil ciptaan saya sendiri. Saya akui, agak tertekan untuk menghasilkan album ini berikutan kejayaan album pertama saya. Apapun saya harap peminat dapat menerima kehadiran album ini dan terhibur apabila mendengarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: