SEBAHAGIAN pelanggan memilih kain di pasar panas di kawasan perniagaan Nadi Kota, Bandar Jengka.
BANDAR JENGKA: Kewujudan ‘pasar panas’ yang menjual pakaian, tudung, tekstil dan peralatan rumah di sini memberi impak positif kepada penduduk kawasan FELDA Wilayah Jengka untuk memperoleh barangan keperluan harian masing-masing dengan harga lebih rendah. Tawaran harga borong di pasar berkenaan yang dibuka sejak tiga tahun lalu juga membabitkan kira-kira 40 pemborong dari Lembah Klang dan beberapa negeri lain itu semakin mendapat sambutan daripada penduduk Felda di situ.Tinjauan Edisi Timur mendapati perniagaan yang beroperasi setiap Sabtu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu menarik minat bukan saja penduduk tetapi juga peniaga kecil-kecilan termasuk dari Jerantut, Maran dan Temerloh untuk mendapatkan bekalan masing-masing.
Difahamkan, kawasan perniagaan itu dikenali ‘pasar panas’ kerana pemborong hanya menggunakan khemah untuk menjual barangan perniagaan mereka di kawasan menyebabkan keadaan bersesak dan panas.
Seorang pengunjung yang juga penjual kain kecil-kecilan di tanah rancangan FELDA Wilayah Jengka, Rahimah Sidek, 45 berkata, ramai rakannya turut mendapatkan bekalan barangan di situ.
Katanya, pemborong biasanya menawarkan harga rendah bagi memastikan mereka memperoleh keuntungan untuk menjalankan kegiatan perniagaan.
“Sebelum adanya ‘pasar panas’ ini, kami mendapatkan bekalan pakaian dan kain di Kuala Lumpur, Tangkak, Johor serta Segamat serta pembekal sekitar Kuantan dan Jerantut.
“Ramai kalangan peniaga mampu meraih keuntungan setimpal hasil kegiatan perniagaan berikutan harga barangan yang dibeli lebih rendah,” katanya.
Seorang penduduk, Kamaruddin Ahmad, 54, berkata penduduk turut berpeluang membeli pakaian dan barangan keperluan harian yang dibawa pemborong dengan harga rendah sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka.
“Penduduk mempunyai banyak pilihan membeli pakaian kerana pemborong yang datang dari pelbagai tempat termasuk dari Kelantan, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Mereka bukan saja dapat membeli barangan harga rendah sebaliknya berpeluang bertemu dengan pemborong dari serata pelosok negeri,” katanya.
Sementara itu, seorang pemborong pakaian, Latif Muhammad, 45, berkata perniagaan yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan peniaga pakaian di sekitar FELDA Wilayah Jengka.
Katanya, pemborong menawarkan harga rendah kepada pembeli terutama peniaga kecil supaya mereka juga dapat memperoleh keuntungan semasa menjalankan perniagaan di premis masing-masing.
“Oleh demikian, kita yakin kaedah ini boleh membantu peniaga dan pengguna mendapatkan barangan pakaian dengan harga rendah serta tidak membebankan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: