Wednesday, June 23, 2010

Dengarnya...: Pungutan Budak Setan cecah RM4 juta

TARANTELLA Pictures nampaknya memang gembira sakan apabila filem ketiga terbitan mereka secara kerjasama dengan Astro Shaw, Lagenda Budak Setan, mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan sebaik saja filem lakonan Lisa Surihani, Farid Kamil, Que Haidar dan Shiqin Kamal itu mula menemui penonton lebih dua minggu lalu.

Sebelum ini, dua filem keluaran mereka, Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri kurang menjadi apabila diputarkan di pawagam. Namun, kemunculan Lagenda Budak Setan nampaknya mengubah sedikit keadaan, yang tentu sekali melegakan kedua-dua syarikat penerbitan berkenaan. Baru-baru ini, Pengarah Urusan Tarantella Pictures yang juga pengarah filem terbabit, Sharad Sharan, menghantar e-mel kepada rakan wartawan di meja hiburan Berita Harian untuk meluahkan sendiri ucapan terima kasihnya atas sokongan diberikan media kepada filem cinta itu."Kami amat bersyukur dan berbangga, kerana dengan sokongan pihak media sekalian melalui sebaran maklumat mengenai filem ini, ia dapat menarik perhatian peminat filem tempatan dari segenap pelosok negara.

"Komen dan pandangan positif yang diberikan meninggalkan impak yang baik ke atas sambutan penonton, seterusnya meningkatkan jumlah pungutan tiket," katanya.

Menurut pengarah itu, sepanjang dua minggu filem itu ditayangkan, kutipannya mencecah angka RM4 juta dan masih menerima sambutan hebat daripada peminat. Filem ini mula berputar di pawagam pada 3 Jun lalu.

"Justeru, keterujaan kami ini akan memberi lebih dorongan untuk menerbitkan filem lebih bermutu dan menghiburkan pada masa depan," tegasnya.
Dia juga memaklumkan pihaknya kini bersedia untuk memulakan penggambaran filem terbaru, sebuah adaptasi dari novel Ombak Rindu, karya Fauziah Ashaari pula. Sebuah majlis pelancaran akan diadakan sedikit masa lagi.

Cik Normah sememangnya mendoakan semoga Sharad dan pasukannya terus berjaya menghasilkan filem yang menepati kehendak masyarakat semasa. Jika filem adaptasi daripada novel yang diinginkan peminat, maka hasilkan filem sedemikian. Cik Normah selalu percaya, kisah yang diangkat dari novel lebih kukuh dan meyakinkan dari segi penceritaan. Kreativiti seseorang pengarah pula pasti membantu mencantikkan lagi filem berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: