Thursday, June 10, 2010

Manfaatkan sumber tempatan


Produk Taharah yang menggunakan sumber semula jadi terutama tanah liat sebagai bahan utama.


MISI menjadikan Malaysia sebagai hab produk kosmetik halal di rantau ini malah di dunia bukan sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dicapai.

Persekitaran kita yang terlalu banyak dengan bahan-bahan semula jadi hanya menunggu untuk dieksploitasi oleh pengusaha-pengusaha kecantikan.

Halangannya mungkin untuk mengubah minda masyarakat yang masih tebal dengan anggapan segala yang datang dari Barat adalah yang terbaik.

Industri kosmetik tempatan sebenarnya tidak perlu lagi berkiblatkan formula-formula Barat kerana benua itu itu sendiri sedang mengalami angin perubahan apabila penggunanya kini semakin prihatin dengan produk-produk yang berasaskan alam semula jadi.

Produk berasaskan semula jadi ini pula seperti herba dan sebagainya banyak terdapat di negara ini.

Justeru, kesempatan yang ada harus diambil oleh pengusaha-pengusaha produk kosmetik tempatan untuk menghasilkan produk berkualiti, dan halal untuk pasaran global yang saban tahun mencecah nilai trilion ringgit.

Antara pelopor awal dalam pembuatan kosmetik tempatan berasaskan bahan-bahan semula jadi ialah Taharah Global (M) Sdn. Bhd. yang pertama kali memperkenalkan sabun daripada tanah liat.

Pengarah Urusannya, Zakiah Abu Kasim, percaya pengusaha produk tempatan perlu mengambil kesempatan daripada sumber semula jadi yang banyak terdapat di negara ini untuk dimajukan sebagai bahan utama dalam produk yang dikeluarkan.

Dengan cara ini katanya, bukan saja produk tersebut selamat digunakan bahkan terjamin kesuciannya di sisi Islam.

"Kita tidak perlu terikut-ikut dengan jenama-jenama antarabangsa yang menggunakan bahan-bahan yang tidak tentu kesuciannya seperti kolagen haiwan dan sebagainya.

"Sebaliknya gunakan daya kreativiti dan inovasi sendiri untuk menghasilkan produk yang berasaskan bahan-bahan tempatan," kata pengasas produk sabun berjenama Taharah yang berasaskan tanah liat

Menurut Zakiah, pengeluaran sabun Taharah pada awalnya adalah atas niat fardu kifayah iaitu untuk memudahkan masyarakat Islam di Malaysia dan luar negara untuk bersamak.

"Sukar untuk mencari tanah liat untuk bersamak lebih-lebih mereka yang tinggal di rumah pangsa, apartmen atau kondominium,'' ujarnya.

Sabun tanah liat Taharah mendapat pesanan pertamanya dari negara Jerman dan bukannya Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu dan bermula daripada situ, syarikat ini terus bernafas sehingga ke hari ini.

Syarikat Jerman itu menurut Zakiah mengetahui mengenai sabun tersebut daripada Internet dan kemudian meminta sampel untuk dicuba.

''Mereka memang berkeyakinan bahawa tanah liat adalah bagus untuk kecantikan dan mahukan produk yang asli, tidak mempunyai bahan kimia, tiada kesan sampingan dan sesuai untuk semua jenis kulit. Daripada pesanan pertama, mereka terus membuat pesanan sehingga sekarang,'' jelasnya.

Menurut Zakiah, Jabatan Mufti Kedah telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2004 bahawa sabun Taharah boleh digunakan untuk menyamak bagi menyucikan diri daripada najis berat.

Fatwa ini turut diperakui oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun yang sama disusuli oleh Jabatan Mufti Terengganu.

Jawatan kuasa fatwa juga menetapkan kuantiti tanah sebanyak 90 peratus hendaklah dikekalkan dan kaedah pemprosesan secara manual saja dibenarkan manakala cara penggunaan sabun itu untuk samak hendaklah mengikut syarak.

Katanya, semasa bekerja dengan sebuah syarikat Jerman yang mengeluarkan produk ubat-ubatan dan bahan seramik, dia melihat seorang pekerja yang menghadapi masalah kulit teruk, sembuh daripada penyakitnya kerana setiap hari bergelumang dengan tanah liat.

Dari situ beliau terfikir kemungkinan tanah liat dapat membantu menyembuhkan penyakit kulit.

Zakiah kemudian berhenti kerja dan mengambil kursus di Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (Porim) tentang cara-cara membuat sabun.

Melalui pengetahuan yang dimiliki, beliau membuat penyelidikan sendiri bagi menghasilkan sabun ini yang dibuat daripada tanah liat, minyak kelapa sawit, rumpai laut dan pewangi.

Memiliki Ijazah Ekonomi dan pengkhususan pengajian dalam bidang tanah liat serta geologi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan sarjana dalam bidang rumpai laut, usaha Zakiah untuk menghasilkan sabun daripada rumpai laut juga i mudah.

Tambahan pula beliau mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menanam rumpai laut di kawasan laut bebas di Semporna, Sabah.

Dengan modal permulaan sebanyak RM150,000 dengan dua orang rakan kongsi,Zakiah bersyukur kerana keuntungan yang diperoleh kini berlipat kali ganda.

''Sabun ini adalah killer product saya kerana daripada seketul sabun, ia boleh dipelbagai gunakan untuk penyakit kulit dan kebersihan. Justeru mereka yang telah mencubanya akan terus sambung menggunakan," ujar Zakiah.

Kini dalam masa sebulan, sebanyak 200,000 ketul sabun Taharah dijual. Bukan setakat di Malaysia malah sabun Taharah menerima pesanan daripada Hong Kong sebanyak satu kontena setiap bulan bagi kegunaan pembantu rumah Islam di sana serta untuk tujuan kecantikan.

Bermula dengan sabun samak yang berharga RM5.90 sebuku, Taharah Global kini telah mengeluarkan produk-produk lain seperti sabun muka, losen, syampu, skrub badan, produk kebersihan wanita dan sebagainya.

Selain Hong Kong dan Jerman, Taharah Global turut menerima pesanan daripada United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Ia membuktikan bahawa produk halal yang dihasil menggunakan sumber tempatan mampu menembusi pasaran global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: