DITERBITKAN dengan matlamat untuk mencari jalan keluar permasalahan di samping untuk memberi informasi berguna yang mampu menimbulkan keinsafan dan kesedaran kepada remaja, ibu bapa dan seluruh masyarakat tentang gejala sosial buang bayi, Zuriat Kita sesungguhnya sarat dengan hasrat murni.
Program berkonsepkan majalah keluarga TV itu adalah usaha terbaru MFDM Holdings, Persatuan Jaksa Pendamai Selangor dan Syarikat Penerbitan Karyawan Bestari Sdn. Bhd. yang bakal mula disiarkan 18 Julai depan, pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106).
Menurut pengarah program itu, Abdullah Abdul Hamid, antara segmen menarik yang terdapat dalam Zuriat Kita termasuklah persepktif yang akan membongkar dan mengumpulkan pelbagai maklumat fenomena buang bayi, termasuk pengakuan remaja yang pernah terlibat dalam kes tersebut.
Katanya, segmen itu juga turut menyelitkan temu bual eksklusif bersama ibu bapa, remaja dan pihak berkuasa.
"Zuriat Kita bakal memaparkan tentang hebatnya hidup bersama anak-anak, anak-anak yang lahir sebenarnya menambahkan rezeki keluarga selain memberi kebahagiaan, penghilang duka dan pendamai rumah tangga ketika berhadapan dengan krisis.
"Kami membawakan banyak kisah menarik termasuk kisah sedih seorang ibu yang membesarkan anak cacat dan kisah insan prihatin anak-anak di Chow Kit untuk dipelihara," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program itu di One World Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini yang telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tambahnya, selepas menonton Zuriat Kita penonton akan mengetahui bagaimana indah dan kompleksnya proses penciptaan makhluk bernama insan oleh Allah.
"Zuriat Kita akan mengutamakan pendidikan dalam programnya disamping mengutarakan pelbagai pendapat dan saranan yang boleh digunapakai sebagai kaedah penyelesaian gejala buang bayi.
"Ia akan mencerminkan konsep mencegah itu lebih baik daripada mengubati," tegasnya.
Menariknya, antara keunikan Zuriat Kita ialah menghimpunkan ramai artis yang sukarela menyertainya sebagai hos rancangan.
Program itu juga akan didokumenkan dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk dijadikan model penyelesaian gejala buang bayi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: