Friday, June 25, 2010

Pucuk muda AF8




LONTARKAN apa jua pandangan tentang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Sama ada ia melakar sejarah sebagai program realiti edisi paling gagal atau tidak meraih sambutan membanggakan, itu hanya kata-kata segelintir pihak menjatuhkan hukuman tanpa menyertakan bahan bukti.

Bagi tiga pemain gelanggang rancangan itu - Shahir, Adira dan Daus, AF8 punya pengaruh tersendiri dalam dunia baru mereka.

Bahkan, masing-masing tidak berupaya menolak signifikan menuntut segudang ilmu selama tiga bulan ditemani Norman Abdul Halim, Fatimah Abu Bakar, Siti Hajar, Adnan Abu Hassan, Que Haidar dan Linda Jasmine itu.

Pada awalnya, hati sang juara, naib juara dan pemenang posisi ketiga itu sedikit terkilan dengan persepsi kurang bijak dilontarkan buat AF8.

Namun, lama-kelamaan mereka sedar, ia menjadi lumrah yang tidak mampu dibendung ditambah AF sudah 'berusia' apabila menginjak angka lapan tahun bersiaran.

Enggan terus selesa di 'langit' sendiri, Shahir, Adira dan Daus yang sebelum ini menerima sederet komen negatif berbanding positif, menjunjung misi usai menamatkan pengajian.

Sebarang situasi buruk atau pengalaman kurang enak menimpa graduan AF lain selama ini, ia tidak dianggap penghalang kepada mereka menghayun langkah mewarnai kanvas industri.

Sinar baru Shahir




Mengikut jejak langkah juara musim pertama iaitu Vince, Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7), Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi sebelum ini berdepan banyak kesulitan sebelum mencapai kejayaan pada AF8.

Jejaka berusia 22 tahun itu pernah melanjutkan pengajian dalam kursus Asasi Kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2006. Memasuki semester ketiga, Shahir yang berdepan masalah peribadi terpaksa pulang semula ke kampung halaman.

"Kemudian, saya merancang hendak buka perniagaan berupa pusat futsal. Sebagai anak sulung daripada lima adik-beradik, sudah pasti saya mahu bantu meringankan beban keluarga. Tetapi, malangnya saya tidak cukup modal biarpun soal pengurusan tanah mendirikan premis itu telah diselesaikan.

"Alhamdulillah, dalam berdepan pelbagai cabaran, saya diterima masuk AF8 dan seterusnya bergelar juara. Dalam sepantas kilat, ia benar-benar mengubah kehidupan saya," katanya yang membawa pulang sebuah kereta Peugeot 207, trofi, jam tangan, pakej percutian ke Disneyland Hong Kong, dua tiket pelancongan ke New York dan telefon mudah alih LG Prada.

Sambung pelontar lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan Edry KRU, dia merancang untuk mengumpul wang sebanyak mungkin bagi merealisasi semula hasrat membuka bisnes sendiri yang tergendala beberapa bulan lalu.

"Saya sasar tempoh lima tahun lagi untuk terus bekerja keras sambil menyambung pengajian yang tertangguh. Kalau boleh, saya mahu menunaikan impian keluarga yang ingin lihat saya menggenggam segulung ijazah," jelas Shahir yang bercita-cita hendak bergelar penyanyi berjalur balada disegani suatu hari nanti.

Mengulas tentang kehidupan baru selepas melangkah keluar dari AF8, anak kelahiran Kampar, Perak yang baru diangkat sebagai ikon negeri tersebut itu mengaku berdepan masalah membahagikan masa untuk diagihkan untuk kerjaya dan keluarga.

"Sebelum ini saya ada saja masa lapang. Sekarang semua berubah kerana saya terikat dengan jadual disusun pihak Astro termasuk persembahan pentas dan mengadakan sesi fotografi dengan pihak media," jelas Shahir yang pada mulanya mengalami sedikit kejutan budaya selepas keluar AF8 dan kini masih cuba membiasakan diri bergelar insan dikenali umum.

Hala tuju Adira




Jika sesetengah graduan AF berlumba-lumba mahu mencuba pelbagai cabang seni seperti berlakon dan mengacara, lain pula halnya dengan Adira atau Siti Adira Suhaimi. Gadis manis berusia 19 tahun itu sebaliknya hendak memberi fokus dahulu kepada bidang nyanyian yang diminatinya sejak kecil lagi.

"Buat masa ini, biarlah saya menumpukan kecintaan terhadap nyanyian. Lagipun, banyak perlu diperbaiki dalam proses mahu menjadi seorang penyanyi berjaya. Kalau ada kelapangan, saya hendak memasuki kelas vokal kerana pengalaman selama tiga bulan di AF8 masih tidak mencukupi."

"Terus terang, saya tidak punya banyak beza dengan penyanyi lain kalau bercakap aspek kelainan atau keunikan. Setiap artis ada kelebihan masing-masing. Cuma, boleh dikatakan, saya memiliki semangat tinggi untuk menempuh dugaan mendatang dalam dunia serba glamor ini."

"Kalau diberi peluang buat album sendiri, saya lebih cenderung menyanyikan lagu dalam genre R&B. Tetapi, jika kena bawa jalur lain, saya bersedia mencuba demi menampilkan variasi pada bakat nyanyian," luah Adira yang membawa pulang sebuah kereta Satria Neo 1.6 cps, baucer percutian, barangan elektrik dan trofi.

Pemilik single berjudul Ku Ada Kamu ciptaan penuh Edry itu memberitahu, dia menjalani pengalaman baru apabila melibatkan diri dalam proses rakaman lagu di studio.

"Sebelum ini, saya anggap macam mudah hendak merekod lagu. Rupa-rupanya, ketika ingin rakam lagu ini, saya dapati ia memerlukan banyak kesabaran daripada semua pihak. Demi menghasilkan impak terbaik, saya harus melakukan beberapa kali sehingga komposernya berpuas hati."

"Tanpa disedari, lagu Ku Ada Kamu mengambil masa selama empat jam untuk diselesaikan," jawab anak kelahiran Kundasang, Sabah itu yang sudah menyiapkan mental dan fizikal melayari kehidupan sebagai pemain seni.

Daus kembangkan bakat




Berpersonaliti kelakar dan peramah, Muhd. Shahril Firdaus Eli atau lebih dikenali sebagai Daus menganggap AF8 sebagai landasan terbaik memperlihat bakatnya kepada umum. Tidak seperti artis lain yang harus membina tapak, peluang mengecap populariti segera di akademi ingin diguna dengan sebaik mungkin.

"Selain menjadi penyanyi, saya mahu mengembangkan bakat tidak seberapa dengan mencipta lagu sendiri dan dinyanyikan artis lain. Contoh terdekat, saya teruja tengok Aizat yang mencipta kejayaan dari semasa ke semasa. Walaupun dia sudah keluar AF sejak tiga tahun lalu, namanya terus mengharum sampai ke saat ini.

"Paling penting, saya juga kena bekerja keras dan jangan mudah putus asa. Saya tahu hakikatnya, tidak mudah, tapi saya kena melakukan yang terbaik," kata graduan Diploma Kejuruteraan, Politeknik Kuching, Sarawak yang selesa mempersembahkan karya jalur brit pop.

Selain melampias seluruh bakat yang ada dalam bidang seni, pemuda berusia 22 tahun itu juga sudah merencana masa depannya. Mencuba agar nasibnya tidak sama dengan sesetengah bekas pelajar AF yang terus tenggelam, Daus juga bercita-cita ingin membuka perniagaan sendiri demi meningkatkan taraf hidup dan keluarga.

"Saya mahu membangunkan studio produksi atau kedai makan. Saya harus beringat dari sekarang selepas tengok ada graduan AF hidup susah kerana gagal meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Oleh itu, saya kena kerja kuat," terang Daus yang merangkul hadiah antaranya wang tunai RM25,000, pakej percutian, barangan elektrik dan trofi.

Kini, Daus sedang mempelajari cara berinteraksi dengan khalayak terutama pihak media serta memperbaiki bahasa Inggeris. Jelasnya, ia penting kerana tanggungjawab penyanyi bukan sekadar menghibur. Tetapi, memerlukan skil komunikasi terutama menjayakan persembahan pentas.

"Saya tahu keluar dari AF8 ibarat permulaan karier seni. Ia bukan waktu untuk bersenang-lenang atau terus alpa dengan populariti segera yang dinikmati," akhiri Daus yang menghadiri uji bakat AF8 sekadar mahu mencuba nasib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: