|
|
SABAN minggu para peserta Imam Muda diuji dengan pelbagai tugasan baru yang telah direncanakan buat mereka bagi memenuhi pengisian format program tersebut.
Berbekalkan minat yang mendalam, kesungguhan berserta tekad ampuh untuk bergelar Imam Muda global, para peserta tabah melalui apa jua tugasan diberikan.
Ini termasuklah mendekati golongan remaja yang berpeleseran bersama pasangan masing-masing di sekitar ibu negara pada malam Ahad lalu.
Tugasan itu menyusul selepas mereka dikehendaki mendekati golongan mat rempit di sekitar bandar raya Johor Baru, Johor pada minggu keempat.
Melalui tugasan terbaru itu, peserta bukan sahaja diminta untuk menyampaikan nasihat tetapi juga meningkatkan kesedaran kepada diri mereka sendiri.
Tujuan tema itu dipilih adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta berhadapan dengan golongan remaja yang dikatakan sukar menerima nasihat berikutan perubahan dan gaya hidup moden.
Bermula pukul 10 malam, para peserta dan 50 anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) telah mula berkumpul di pejabat Jawi.
Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan lokasi yang dituju di beberapa buah taman dan hotel sekitar ibu negara.
Seramai 11 pasangan berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun telah ditahan dalam operasi diberi nama Ops Cegah Maksiat itu yang berakhir pukul 7 pagi.
Menariknya, sebaik sahaja bertemu pasangan yang dalam keadaan mencurigakan, peserta diminta mendekati dan mentarbiah mereka.
Tugasan itu walaupun dilihat mudah namun sebenarnya merupakan satu cabaran dan jelas menguji kesabaran dan kemahiran berkomunikasi yang diperlukan oleh seseorang bergelar imam.
Lebih-lebih kemahiran berkomunikasi adalah kunci utama dalam usaha imam mentarbiah segenap lapisan masyarakat.
Bermula dengan ‘ta'aruf’ atau sesi suai kenal, peserta terlebih dahulu memperkenalkan diri masing-masing kepada pasangan berkenaan sebelum memulakan perbualan selanjutnya.
Menurut mursyid program Imam Muda, Shahrizan Daud, tugasan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada imam-imam muda bagi berhadapan dengan situasi sebenar berdasarkan tema “Remaja Menuju Dewasa”.
“Seperti yang kita tahu, pada peringkat inilah remaja mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat dan berunsurkan maksiat.
“Kita memberi panduan kepada mereka tentang cara-cara untuk berhadapan dengan situasi sebegini.
“Jadi mereka harus mengaplikasikan dengan memberi tarbiah dengan penuh adab, serius, dan pada masa yang sama tidak mengaibkan orang lain,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, secara keseluruhan para peserta telah menjalankan tugas dengan baik pada malam itu.
“Mungkin terdapat sedikit masalah tetapi itu adalah perkara normal kerana ia kali pertama mereka berhadapan dengan situasi sebegini. Apa yang penting adalah pendedahan.
“Tugasan malam ini mendedahkan peserta bahawa tugas seorang imam bukan sahaja di masjid. Imam sebagai pemimpin yang bersifat universal hendaklah sentiasa turun padang supaya tidak terlepas pandang perkara-perkara seperti ini,” tambah beliau lagi.
Beliau juga berharap program Imam Muda dapat menjadi medium hiburan berunsurkan Islam kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Ia kerana program seperti ini amat kurang yang membuatkan para penonton tercari-cari.
“Selain itu, program itu dapat mengangkat profesion seorang imam. Bukan kita mahu penonton menjadikan imam muda sebagai idola tetapi mahu menyedarkan masyarakat bahawa imam adalah wasilah kepada Rasulullah S.A.W.
“Dengan itu, kita harap ia dapat mengingatkan penonton kepada usaha yang telah dilakukan oleh rasul junjungan Nabi Muhammad SAW,” tambah beliau lagi.
Bagi seorang peserta, Ahmad Syakir Zamri, 19, tugasan itu amat memberi kesan terhadap dirinya kerana pertama kali terlibat dalam operasi mencegah maksiat.
“Kami semua betul-betul berada dalam situasi realiti. Jika dahulu hanya melihat dalam televisyen dan kini saya melaluinya.
“Pengalaman itu sangat berguna apabila menjadi seorang imam kelak, ia telah mengajar saya dan rakan-rakan bagaimana cara untuk mendekati dan menasihati mereka melalui pendekatan yang sebaiknya,” katanya yang merupakan peserta termuda program itu.
Tambah Ahmad, dia percaya mereka yang ditahan itu mungkin kerana disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup bebas dan desakan nafsu.
Sembilan peserta yang masih menyahut cabaran menerusi program terbitan saluran Oasis (saluran 106, Astro) ialah Amiril Md. Banin, 25; Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26; Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26; Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27 dan Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21 sebagai peserta.
Tidak ketinggalan ialah Nik Muhammad Adib Md. Amin, 22; Nuri Ali Arbain, 25;Ahmad Syakir Zamri, 19, dan Mohd. Taufek Mohd. Noh, 27.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: