SELEPAS Fasha Sandha, Tiz Zaqyah dan Lisa Surihani muncul antara bakat baru yang bersinar terang. Kini tiba giliran Nur Fathia Abdul Latiff mencuba nasib dalam dunia seni tempatan. Tidak keterlaluan jika dikatakan dengan pakej yang dimilikinya, Fathia bakal mendominasi pentas lakonan selepas ini.
Pelakon tinggi lampai itu berterima kasih kepada Pierre Andre yang dapat menilai kelebihan dirinya sehingga dia tidak ragu-ragu memberikan watak utama dalam filem arahannya, Hijab. Itulah permulaan buat Fathia menjadi teraju utama.
Menurut Fathia penggambaran drama itu hampir selesai. Ia akan mengisi slot Samarinda TV3 dan akan mula bersiaran 1 Julai ini.
"Penggambaran bermula 29 Mei lalu dan mengambil masa hampir sebulan juga. Peluang cuti semester daripada pengajian di UiTM (Universiti Teknologi Mara) saya gunakan untuk berlakon drama ini. Kalau tidak, susah juga kerana biasanya kalau ada tawaran berlakon saya akan menggunakan masa lapang dan cuti hujung minggu. Sudah minat berlakon, terpaksalah bijak membahagikan masa.
"Perasaan saya apabila berlakon drama ini sangat berlainan kerana banyak pengalaman dikutip terutama bekerja di bawah arahan Heykal. Banyak sekali ilmu mengenai lakonan yang saya belajar daripadanya. Bukan saya mahu memperkecilkan pengarah drama yang saya berlakon sebelum ini, tetapi kali ini ilmu yang dikutip sangat mendalam dan lengkap," katanya.Tambah Fathia, watak yang dibawanya memberi cabaran tersendiri kerana memerlukan dia menjadi perempuan solehah yang melalui pelbagai ujian hidup. Di sinilah keupayaannya tercabar.
"Watak saya sebagai Laila Asyikin bermula sebagai gadis remaja, selepas itu berkahwin dan memiliki dua anak. Ia watak yang berat tetapi saya sentiasa bersedia untuk belajar perkara baru. Agak penat membawa watak itu kerana ia penuh dengan permainan emosi.
"Saya menceburi dunia seni tanpa asas lakonan. Jadi saya perlu berusaha dengan sebaik mungkin untuk mempersembahkan yang terbaik. Saya tidak mahu menghampakan harapan pengarah dan peminat," katanya.
Berbeza dengan watak dibawa Fathia dalam drama Nur Kasih, Dea Sofea dan Bila Musang Berjanggut kerana ia dilihat agak mudah untuk dibawanya. Justeru apabila perlu menangis dalam Laila Asyikin, dia mengakui awalnya sukar melakukannya.
"Saya memang susah hendak menangis sehingga Heykal terpaksa mengajar saya untuk mendapatkan mood sedih. Sedikit demi sedikit saya dapat merasakannya. Malah selepas selesai penggambaran pun saya masih terbawa-bawa karakter Laila terutamanya dari segi percakapan. Saya sangat puas hati dengan apa yang ditampilkan.
"Inilah drama yang saya tunggu. Namun impian saya ingin melakonkan semua karakter. Saya mahu mempelbagaikan watak lakonan kerana dari situ baru dapat dinilai kehebatan seorang pelakon," katanya.
Ramai juga meramalkan Fathia bakal membayangi pelakon lain serta akan membolot peluang berlakon selepas ini. Bagaimanapun gadis itu bukan seorang yang mudah menerima pujian. Dia lebih senang merendah diri dan menganggap setiap pelakon ada keistimewaan masing-masing.
"Pelakon yang ada semuanya hebat belaka. Saya rasa diri saya biasa saja kerana baru sangat hadir dalam bidang seni. Pun begitu terpulang pada sesiapa hendak melontarkan pandangan mereka.
"Bagi saya pula masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya berlakon pun bukan mencari. Input yang diberikan oleh saya lebih penting daripada output yang akan diterima.
"Pembabitan saya bukan bermaksud hendak mengganggu gugat rezeki orang lain. Masing-masing ada ruang untuk menunjukkan bakat dan saya sangat menghormati semua pelakon tanah air dan kalau boleh ingin belajar dengan mereka. Hadirnya saya dalam industri ini juga bukan untuk bersaing dengan sesiapa," katanya.
Diminta mengulas komen sesetengah pihak mengenai penampilannya yang hanya bertudung dalam drama, Fathia berkata itu hanya karakter yang dilakonkan. Tambahnya dia tidak nampak kesalahan berbuat demikian dan tidak perlulah ia disensasikan," katanya
>PROFIL
Nama sebenar: Nur Fathia Abdul Latiff
Tarikh lahir: 1 September 1987
Tempat lahir: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Undang-Undang di UiTM, Selangor.
Drama dan telefilem: Nur Kasih, Dea Sofea, Bila Musang Berjanggut dan Laila Asyikin
Filem: Hijab
Iklan komersial: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua, Panasonic
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: