|
|
SESUNGGUHNYA kita perlu ingat bahawa Islam mengajar penganutnya supaya hormat kepada para tetamu dan orang yang menuntut ilmu. Justeru, seharusnya kita memberi galakan kepada saudara Muslim yang baru memeluk Islam agar proses mereka untuk menuntut ilmu serta mencari sinar Islam tidak terbantut.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Tengah 2010 bertempat di Concorde Inn, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 hingga 13 Jun lalu.
Sejajar dengan 1 Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan, program itu disertai oleh 70 peserta daripada pelbagai kaum iaitu India, Cina, Iban, Kadazan, Filipina, Siam, Indonesia dan Gurkha. Sebahagian besar daripada peserta hari itu telah memeluk Islam lebih dari dua tahun.
Program itu mendapat kerjasama Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Perkim Bahagian Selangor dan Pejabat Agama Islam Daerah Klang.
Menurut Penyelaras Program, Amran Abdullah, usaha yang dilakukan Perkim dan badan dakwah lain menganjurkan ijtimak ini adalah sesuatu yang cukup baik.
"Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengumpulkan semua saudara Muslim dalam rangka untuk membentuk perhubungan jitu serta memantapkan lagi sinar Islam.
"Melalui program tersebut saudara-saudara Muslim lebih berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenarnya, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program ini," kata Amran.
Amran yang juga merupakan Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program itu memberi peluang kepada saudara Muslim menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
"Ia juga ber tujuan mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan mereka supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jitu mengenai Islam," jelasnya lagi.
Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf (perkenalan) menjadi agenda pembuka acara seterusnya pelantikan penghulu iaitu Mohd. Yusof Abdullah dan pembahagian kepada 10 kumpulan.
Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, kuliah selepas waktu solat, diskusi, qiamulail hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti bola sepak, bola baling dan bola tampar.
Bagi meniup semangat saudara Muslim berhadapan dengan masyarakat Islam, pendakwah bebas, Muhammad Fitri Abdullah dijemput untuk berkongsi pengalaman melalui tajuk ceramahnya Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini.
Peserta dihimpunkan melalui perhimpunan berbentuk ilmu untuk meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui slot Halaqah.
Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dengan Rukun Islam dan Rukun Iman. Pemudah cara membantu peserta membaca serta menghafal pengertian lafaz syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.
Pada slot Halaqah kedua, peserta dibawa meneroka ilmu bersuci dan ibadah. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wuduk, azan, iqamah, solat jamak, qasar, masbuq dan sujud sahwi. Ia diikuti dengan slot Halaqah ketiga yang menekankan kepada jenis-jenis solat.
Peserta kemudian memperdengarkan bacaan dalam solat dalam slot Halaqah keempat seperti azan, iqamah, Surah Al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafirun, Al-Kauthar, Al-Asr dan Al-Fil.
Pertandingan azan, ayat lazim dan kuiz fardu ain menjadi satu acara kemuncak.
Sementara itu, Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun telah menyampaikan hamper kepada kumpulan Saidina Hamzah yang dianugerahkan sebagai pemenang keseluruhan.
Seterusnya, diikuti dengan ceramah Kewajipan Berpegang Kepada Pemahaman Arus Perdana Ajaran Islam yang telah disampaikan oleh Mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. Mohd. Nakhaie Hj. Ahmad.
Program terbabit diserikan dengan kehadiran Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi yang turut menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan sijil penghargaan.
Ariffin menyarankan agar penerima zakat itu dapat mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim Kebangsaan secara percuma pada setiap hari bermula dari pukul 5.30 petang hingga 9.30 malam yang dikendalikan guru bertauliah.
"Terdapat pelbagai mata pelajaran yang ditawarkan oleh Perkim antaranya; akidah, ibadah, hadis, akhlak, fekah, sirah Nabi, Iqra', Bimbingan Solat, Pasca Perkahwinan, Tafsir al-Quran, Pengajian Islam dan Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India," jelas Ariffin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: