Thursday, June 24, 2010

Bersikap reflektif


remaja Islam perlu mempelajari dan mengolahnya kembali secara kreatif supaya sesuai dengan aspirasi yang Islam.


DALAM menghadapi cabaran zaman, remaja hari ini harus mampu mengimbau masa lalu dan hari depan. Sikap reflektif adalah perlu kerana kewujudan zaman kini tidak dapat mengelak daripada mengetahui perkembangan lalu.

Yang lalu dan masa kini bakal membentuk masa depan. Yang lalu ada sejarah dan tradisi tersendiri. Hari ini kita menghadapi perubahan, tetapi tidak boleh terpisah dengan pengalaman lalu. Pengalaman lalu yang berguna adalah mata rantai menentukan kesinambungan pada hari ini dan masa depan.

Tradisi lalu tidak semua sifatnya ketinggalan, tetapi memberikan asas untuk pembaharuan hari ini. Apa yang kita lakukan pada hari ini, esok bakal menjadi tradisi. Oleh itu, tradisi yang baik dan bermanfaat elok digunakan sebagai landasan meneroka hidup pada masa kini dan juga masa depan.

Al-Quran memaparkan kisah-kisah para nabi dan rasul ribuan tahun terdahulu. Kisah-kisah itu merakam gelagat-gelagat manusia dan sejarahnya. Kisah-kisah itu lazimnya mengulangi jejak yang terjadi ribuan tahun dahulu, dan diulangi oleh manusia pada hari ini dan zaman depan.

Umpamanya Allah memberitahu dalam al-Quran bahawa sifat kejadian manusia ialah berpasang-pasang (al-Hujurat:13). Tetapi kaum Nabi Lut memilih melakukan hubungan sejenis sebagai asas perhubungan dalam kehidupan. Hal itu berbangkit semula pada hari ini dan telah banyak membawa kerosakan.

Remaja yang peka pastinya mempelajari kisah dalam konteks ibrah (teladan), hal yang sama berlaku tentang dakwah Nabi Musa a.s kepada Firaun di mana terdapat manusia yang sombong, angkuh, mengaku Tuhan memandang rendah terhadap orang-orang baik dan mulia hatinya. Kisah itu tidak hanya berlaku pada masa lalu, tetapi didapati terjadi pada masyarakat hari ini dan kemungkinan pada masa hadapan.

Oleh itu, bersikap reflektif adalah dituntut oleh agama. Mengetahui kekuatan tamadun Islam yang silam menuntut adanya sikap reflektif ini. Lazimnya remaja Islam hanya bersikap nostalgik tentang kesilaman.

Bersikap reflektif bermakna kita harus meneliti, mengkaji dan mengambil iktibar daripada kekuatan dan kelemahan silam untuk dijadikan pedoman pada hari ini.

Contohnya kekuatan Tamadun Andalusia didukung oleh kekuatan ilmu, penyelidikan dan penulisan. Ia telah mampu menghubungkan ulama dan umara' secara bijaksana. Lalu lahirlah tamadun yang menjadi contohan Barat.

Kecintaan terhadap ilmu pengetahuan umpamanya adalah sumber utama dalam setiap tamadun. Kemampuan tamadun Cina menghasilkan kertas, mesin cetak, bahan kimia dan lain-lain menjadi sumber sejagat yang dimanfaatkan oleh orang Islam.

Kehebatan al Biruni melakukan penjelajahan ke India dan mengagumi tradisi matematik mereka menyebabkan tradisi matematik Islam berkembang dengan kreatif. Begitu juga dengan kebijaksanaan Ibnu Sina dalam penerokaan dalam bidang perubatan sehinggakan kitabnya Qanun menjadi rujukan orang Eropah berabad lamanya dan diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain.

Semua ini mengajar kita bahawa interaksi antara tamadun adalah tradisi Islam dan Islam tidak menolak ilmu bermanfaat, tradisi berguna daripada tamadun lain.

Oleh itu, ilmu Barat yang berkembang kini perlu diberikan nilai dan etika, ilmu yang bersifat sekular perlu diberikan tasawur yakni pandangan semesta yang menjadikan ilmu itu berasaskan nilai (value added). Ilmu yang berteraskan fitrah dan nilai, bakal memberi pedoman kepada penggunanya supaya natijah ilmu itu berguna kepada manusia dan kemanusiaan.

Jika aspek ini diabaikan, maka gelombang globalisasi yang sedang melanda dengan hebatnya bakal menghanyutkan generasi akan datang dalam arus sekular dan liberal.

Reflektif terhadap tamadun Barat membawa kita memahami bagaimana ilmu Islam berkembang di Eropah selama hampir 700 tahun. Hari ini umat Islam menjadikannya sumber ilmu berbanding yang bermanfaat.

Umat Islam perlu mempelajari dan mengolahnya kembali secara kreatif supaya sesuai dengan aspirasi yang Islami. Di Perancis umpamanya terdapat empat cendekiawan terbilang seperti Roger Garaudy, pemikir intelektual Marxis, Maurice Bucaille, seorang pakar ilmu bedah, Jacquis Cocteu, ahli oseanografi dan Bruno Guiderdoni, pakar astrofizik terkemuka kembali kepada fitrah.

Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan. Maurice Bucaille, dalam bukunya, Al-Quran dan Sains Moden, menceritakan dengan banyaknya tentang keakraban kitab al-Quran dalam dunia sains moden.

Maka untuk melaksanakannya, perancangan masa depan dan berpandangan futuristik adalah perlu dan digalakkan dalam Islam, sebagaimana Rasulullah SAW merancang membina kota Madinah sebagai kota Islam dan usaha-usaha yang baginda lakukan untuk membangunkan kota Madinah dan Mekah.

Visi dan misi baginda telah berjaya mengembangkan syiar Islam sehingga berkembang menjadi tamadun Islam di seluruh dunia. Inilah yang perlu dicontohi.

Bersikap reflektif bukanlah hanya memandang sejarah secara nostalgik, tetapi mengumpul tinggalan dan kekuatan kisah silam untuk dijadikan pasak-pasak tamadun hari depan. Masa depan bergantung kepada sejauh mana kekuatan yang ada pada kita hari ini, dan kekuatan hari ini mesti dibina dengan perancangan yang strategik dan konsisten.

Remaja Islam harus lebih bijaksana untuk tidak menerima sesuatu dari Barat secara melulu dan membuta tuli. Sebaliknya dengan kekuatan kefahaman mengenai tasawwur, sejarah dan tamadun Islam, remaja Islam akan terus terpandu untuk memanfaatkan faedah berbanding yang terbaik dari Barat dan Timur.

Seterusnya mengungkap kembali dalam acuan sendiri secara bijaksana supaya manfaatnya tidak saja menyumbang kepada pembangunan diri tetapi juga kepada negara, umat dan masyarakat seluruhnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: