Monday, June 14, 2010

Hiodanagn laut segar South Sea


BUKAN saja makanan laut, hidangan daging dan ayam juga menyelerakan. Cuba rusuk kambing panggang ini.


IKAN kerapu raksasa, udang kara Australia, ketam labah-labah dan geoducks (sejenis kepah besar Mexico). Itu antara tarikan unik Restoran Makanan Laut South Sea yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Menariknya, kesemua spesies yang mendiami perairan laut sejuk itu masih hidup dan diletakkan dalam akuarium khas. Pengunjung boleh memilih sendiri apa yang mereka mahu untuk dimasak dalam variasi menu yang menyelerakan.

Pengurus Besar, Terence Wong berkata, Restoran South Sea yang sudah beroperasi lebih 20 tahun menjadi destinasi popular penggemar makanan laut segar sejak dulu lagi.

“Kini dengan ruang restoran yang lebih luas dan menarik, pengunjung boleh menikmati hidangan kegemaran mereka dalam suasana lebih selesa,” katanya.

Antara yang menarik, set hidangan sashimi makanan laut yang mengandungi isi geoduck, udang kara, kapis dan abalon dihiris halus.

Makan secara mentah dengan celup ke dalam sos soya Jepun dan wasabi terasa manis kesegaran isinya. Atau boleh juga direbus seketika dalam sup herba berkhasiat yang dihidang bersama.

Selain itu jangan lupa menikmati keenakan isi empurau yang dikenali sebagai ikan tawar paling mahal di Sarawak. Hanya mendiami sungai-sungai bersih sekitar negeri itu, dikatakan harga sekilo spesies itu boleh mencecah hingga RM1,000.

Penulis turut berpeluang merasai keenakan ikan empurau yang dimasak stim dengan sos soya, halia dan daun bawang itu. Isinya lembut, manis dan mudah lerai. Menariknya sisik ikan itu juga boleh dimakan dan rasanya rangup seperti bawang goreng.

Selain itu, ketam goreng istimewa South Sea antara hidangan yang disukai ramai. Ketam diperap dengan pes cili campuran dan daun kari menghasilkan aroma dan rasa yang memikat.

Akhiri hidangan dengan menikmati yee mee kepala udang kara. Kata Wong, untuk tidak membazir kepala udang kara yang digunakan untuk sashimi tadi dipotong kecil dan dimasak bersama mee.

Sebagai pembekal makanan laut segar kepada restoran di sekitar Lembah Kelang, selain kepelbagaian hidangan, pastinya South Sea turut menjanjikan harga yang kompetitif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: