Monday, June 14, 2010

Ida tak jemu MOnster Muffin


Elia Juaini (kanan) membantu kakaknya, Ida Marlina menyiapkan tempahan mufin.


SEJAK usia belasan tahun lagi, Ida Maslina sudah mula menunjukkan minat membuat mufin dan pelbagai jenis kek.

Berpandukan buku resipi dan majalah serta tunjuk ajar ibunya, gadis kecil itu tak jemu mencuba. Pengalaman mufin tidak menjadi, hangus, mengeras dan sebagainya sudah lumrah. Namun, dia tidak pernah berputus asa dan terus mencuba.

Berkat usaha tanpa jemu, akhirnya Ida menemui rahsia menghasilkan mufin yang enak, gebu dan cukup rasa. Hasilnya seluruh ahli keluarga berpuas hati dengan air tangannya. Pantang ada majlis tertentu, pasti sentuhan Ida diperlukan.

Namun minat itu terhenti seketika apabila dia berkahwin dan berkerja sebagai jurutera dengan sebuah syarikat swasta.

Setelah memperoleh anak pertama, Ida mula terfikir untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab barunya. Di samping itu, dia mula merancang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

“Adik saya, Elia Juaini mencadangkan agar kami menjual mufin melalui Internet kerana ketika itu tidak ramai yang mengusahakannya,” kata wanita berusia 30 tahun itu.

Dengan dibantu adiknya, mereka mula mengambil tempahan mufin secara kecil-kecilan daripada saudara dan kenalan rapat.

Tidak sangka dengan sambutan yang diterima, ada yang mula meminta Ida menghasilkan kek cawan dengan dekorasi menarik.

“Sebenarnya saya tidak belajar secara formal menghasilkan mufin dan kek, kerana itu saya tidak pandai membuat dekorasi pada kek. Namun disebabkan permintaan yang tinggi, saya mengambil keputusan mengikuti kelas menghias kek cawan untuk menambah kemahiran yang ada,” katanya.

Kini perniagaan mufin dan kek cawan Ida di bawah label Muffins Monster boleh dibanggakan kerana mula mendapat tempat pelbagai pihak termasuk syarikat korporat.

Walaupun hanya berbekalkan ketuhar di dapur rumahnya yang kecil, wanita itu mampu menghasilkan hingga 2,000 biji mufin dalam masa lebih kurang tiga hari.

Dalam pada itu, Ida turut memikirkan untuk membantu wanita lain dengan menyediakan pakej bagi memulakan perniagaan dari rumah.

Pakej itu menurutnya, merangkumi tepung pracampuran, bekas mufin, krim untuk dekorasi dan sebagainya.

“Kadangkala saya terpaksa menolak tempahan yang diterima kerana tidak menang tangan. Apa salahnya rezeki yang kami terima ini dipanjang-panjangkan kepada suri rumah lain pula,” katanya yang pernah menjayakan beberapa program televisyen dalam menunjukkan cara menghasilkan mufin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: