Sunday, June 20, 2010

Hidup Sempurna Setelah Bergelar Bapa

Tony bersama anaknya, Totto dan Titti.

LAIN pula ceritanya, dengan figura politik, Tony Pua Kiam Wee, 38. Baginya sambutan Hari Bapa memberi makna yang tersendiri, lebih-lebih lagi selepas beliau sendiri bergelar ayah.

Ayah kepada dua cahaya mata ini berkata kehidupannya dirasakan cukup sempurna dengan selepas beliau dikurniakan seorang puteri dan putera, Pua Xin Ying, 6 dan Pua Yi Zhe,1.

“Kedua-dua anak saya masih kecil, jadi mereka perlukan lebih perhatian daripada saya dan isteri, Yow Ting Fong. Biar sibuk macam mana sekalipun, saya akan tetap luangkan masa untuk anak-anak. Jika orang lain pilih hujung minggu untuk bercuti dengan keluarga saya pulak sebaliknya.

“Sebagai ahli politik saya terpaksa menghadiri seminar dan program parti pada hujung minggu maka saya memilih untuk keluar makan atau bawa anak-anak bersiar di pusat membeli-belah pada hari-hari biasa,” katanya kepada Mingguan Mstar baru-baru ini.

Biarpun bergelar ketua keluarga, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini tidak kekok untuk memandikan dan membuat susu untuk anak bongsunya, Yi Zhe yang lebih manja dengan panggilan Didi (adik).

“Apa salahnya membantu isteri untuk menjaga anak, bagi saya ini tanggungjawab bersama. Saya tidak kekok kerana saya anak sulung dalam keluarga. Saya sudah biasa kerana dulu saya yang jaga adik-adik saya ketika mereka masih kecil,” katanya.

Menceritakan pengalaman sejak bergelar ayah, wakil rakyat DAP ini berkata, pasti ramai yang tidak percaya bapa muda ini mudah menitiskan air mata.

Tony Pua melayan keletah dua anaknya, Titti dan Totto.

Namun usah salah anggap, beliau hanya menangis apabila menonton babak antara anak yang sering melawan ayah mereka terutamanya dalam drama mahupun filem.

“Kadang-kadang saya pun pelik kenapa saya mudah simpati dan akhirnya saya akan menangis apabila menonton babak pergaduhan antara ayah dan anak,” katanya.

Bagi anak kelahiran Batu Pahat ini, pendekatan yang digunakan oleh ibu dan ayahnya akan diterapkan kepada kedua permata hatinya itu.

“Ibu dan ayah saya ajar kami adik beradik untuk saling hormat-menghormati dan mengamalkan budi pekerti yang baik.

“Saya percaya jika kita dapat tanam sikap tersebut dalam diri kita pasti akan jadi insan yang berjaya,” katanya.

Ditanya kenangan manis ketika beliau kecil bersama ayahnya, Tony Pua berkata, beliau sangat bangga apabila dapat tahu bahawa ayahnya, Pua Lak Tee, 67, merupakan ahli bina badan terkenal pada 1960-an.

Tony Pua dan puteranya, Pua Yi Zhye.

“Yang peliknya, saya empat beradik tidak ada seorang pun yang jadi ahli sukan. Ayah pernah rangkul kejuaraan Mr Universe dan Mr Asia.

“Ayah seorang yang tidak pernah paksa saya atau adik beradik yang lain jadi peguam atau doktor. Dia beri kebebasan sepenuhnya kepada saya untuk tentukan jalan hidup saya sendiri.

Dia mendidik kami supaya amalkan akhlak yang baik dan jauhi perkara-perkara negatif,” ujar bekas graduan Universiti Oxford ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: