SAMA seperti bapa yang lain, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar tidak terkecuali menerima kejutan daripada isteri dan tiga anaknya setiap kali sambutan Hari Bapa.
Bagaimanapun, sambutan kali ini sedikit berbeza kerana anak lelaki tunggalnya, Muhammad Shafiqal, 20, tiada di sisi meraikan hari penuh bermakna itu.
“Iqal berada di Mesir kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Namun anak kedua, Dania Sofia dan adiknya, Ailin Husna ada di sisi. Mereka berdua selalu ada rancangan dan buat kejutan kepada saya,” kata Azlan ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.
Azlan memberitahu hati ayah mana yang tidak tersentuh jika menerima kejutan istimewa daripada anak-anak tersayang.
Namun ketika mengimbas kembali sambutan Hari Bapa pada tahun sebelumnya, Azlan sudah dapat membayangkan apa yang selalu dilakukan kedua-dua anak perempuannya itu hari ini.
“Saya dapat bayangkan mereka akan masuk ke bilik, berlari sambil membawa hadiah, kek dan kad ucapan. Selepas itu kami akan berpeluk-pelukan walaupun mereka sudah meningkat dewasa,” katanya.
Meskipun tertanya-tanya apakah hadiah yang akan diberikan mereka kelak, Azlan memberitahu memiliki isteri, Mariayani Yusof dan tiga anaknya itu adalah anugerah Tuhan paling berharga.
“Dengan adanya isteri saya, saya dapat menjadi bapa kepada tiga orang anak yang comel dan cantik. Lebih manis apabila saya menerima panggilan bapa daripada anak-anak saya,” jelasnya.
Menurut Azlan, dia ingin menjadi seorang bapa yang berjaya seperti arwah bapanya, Johar Abdullah.
Selain itu, dia mahu melihat keluarganya berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah keluarga bahagia.
Katanya, zaman dulu-dulu tiada istilah sambutan Hari Bapa tetapi dia tetap menghargai pengorbanan dan kata-kata nasihat yang diberikan bapanya.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip jujur, tidak dengki dan menganiayai orang lain yang ditekankan bapa saya. Oleh itu, saya amat menekankan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak saya,” ujarnya.
Sebagai seorang bapa katanya, semua perlu memberi tauladan dan menekankan nilai-nilai kebapaan bukan saja kepada anak-anak tetapi sesiapa saja. Apa gunanya jika berpelajaran tinggi dan berpangkat tinggi jika tidak tahu menghormati orang tua.
“Saya mahu anak-anak saya sentiasa jujur dalam kehidupan mereka. Dengan adanya nilai ini, mereka akan berjaya dalam hidup dan menjadi manusia yang sempurna,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: