Sunday, June 20, 2010

Dr Wee Tak Tahu Bila Hari Bapa

KELUARGA BAHAGIA... Wee Ka Siong (kanan) bersama isterinya, Datin Jessica Wee and anak-anaknya, Yun Xuan (kiri) dan Yu Hao (kanan) ketika bercuti di Europah tahun lepas.

BILAKAH sambutan Hari Bapa? Itu adalah soalan pertama yang terpacul dari mulut Datuk Dr Wee Ka Siong apabila Mingguan mStar membuat permintaan untuk menemu ramah beliau pada Khamis lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, beliau hanya menyedari ketibaan Hari Bapa apabila anak-anaknya menelefon untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepadanya.

“Mereka juga akan menghubungi datuk mereka untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa,” kata Dr Wee mengenai anak perempuannya, Joan Wee Yun Xuan, 10 dan anak lelaki, Julian Wee Yu Hao, 7.

Ditanya sekiranya beliau mempunyai rancangan bagi menyambut Hari Bapa, Ahad ini Dr Wee, 42 berkata: “Seperti sebelum ini, saya jarang mempunyai masa untuk sambut Hari Bapa. Tahun ini juga tidak terkecuali.”

Dr Wee yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, beliau perlu menghadiri kem lampias otak MCA selama tiga hari di sebuah kem di Port Dickson yang akan bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Ahli Parlimen Air Hitam itu menambah beliau dan isteri, Datin Jessica Wee, 37, percaya konsep meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Isteri dan anak-anaknya menetap di Johor Baru manakala Dr Wee bertugas di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada hari bekerja.

Justeru itu, Dr Wee hanya akan pulang melawat kawasannya pada hujung minggu.

“Kebiasaannya, saya akan tiba di rumah pada waktu tengah malam dan anak-anak sudah tidur.

“Apabila saya bangun dan keluar untuk melawat kawasan, mereka juga masih tidur,” katanya dan menambah perjalanan dari Air Hitam ke Johor Baru mengambil masa selama sejam.

“Isteri saya merupakan seorang peguam yang kini bertukar menjadi suri rumah untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak kami.”

Tidakkah anak-anak merindui bapa mereka?

Sudah pasti, akuinya dan beliau akan meluangkan masa berbual dengan anak-anak menerusi telefon setiap hari.

Datuk Dr Wee Ka Siong bersama anak-anaknya, Yun Xuan (kiri) dan Yu Hao (kanan) sebelum beliau bertolak ke Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apakah topik yang dibualkan?

“Adakah Daddy mempunyai majlis pada malam ini? Tiada majlis?,” kata Dr Wee mengenai soalan lazim anak-anaknya.

“Apabila saya menjawab saya ada majlis pada malam itu, mereka akan bertanya bilakah majlis itu akan tamat,” tambahnya.

Anak-anak beliau menerima kenyataan bahawa ayah mereka sentiasa sibuk.

Setiap kali cuti sekolah anak-anak akan membuat permintaan istimewa seperti jika Dr Wee boleh meluangkan sehari dua bersama mereka.

Beliau memberitahu akan cuba untuk menunaikan permintaan itu tetapi sebagai seorang ahli politik beliau belajar untuk tidak berjanji dengan anak-anak dalam hal berkaitan percutian atau sambutan.

Dr Wee menambah keluarganya akan berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersamanya pada hujung tahun ini.

Ditanya hajatnya untuk Hari Bapa tahun ini, Dr Wee menjawab: “Saya berharap bapa saya yang dimasukkan ke Hospital Melaka kerana masalah kesihatan akibat kemalangan pada 1988 akan sembuh segera.”

Bapanya Wee Lie Pin, 64, bekas penoreh getah pernah berada dalam keadaan koma selama tiga minggu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1988.

Lie Pin yang berasal dari Kampung Air Baruk, Jasin sedang menghantar roti kepada keluarga pasangan Melayu yang buta di Simpang Kerayong kira-kira empat kilometer dari rumahnya semasa kemalangan itu berlaku.

“Bapa saya sedang menunggang motosikal apabila dilanggar oleh kereta,” imbasnya.

Beliau dan bapanya sering melawat keluarga miskin dan membawa makanan seperti beras atau menghulurkan wang ringgit sebagai sumbangan buat mereka.

Bagi Dr Wee, konsep 1Malaysia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri dan keluarganya dan beliau mengucapkan Selamat Hari Bapa dan semoga gembira untuk semua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: