KEPAYAHAN hidup yang dilaluinya kala zaman kanak-kanak membuatkan wanita kental ini lebih menghargai setiap peluang yang diterima terutama selepas dinobatkan Ratu Universe Malaysia tahun lalu.
GELARAN BERMAKNA...dinobatkan sebagai ratu cantik menjadi landasan untuknya melebarkan sayap dalam kerja kebajikan.
Justeru, wanita yang bakal berusia 22 tahun pada 24 Jun ini nekad bekerja dan melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di kolej sejurus tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2005.
"Saya tiada pilihan kerana bapa tidak mampu menanggung pembiayaan pelajaran saya. Bapa bekerja sebagai mekanik, memperbaiki kereta dan penyaman udara di bengkel berhampiran rumah kami.
"Gajinya pula tidak lebih daripada RM2,000 setiap bulan dan wang itu digunakan untuk menyara keluarga.
"Sememangnya bapa saya tidak mampu membayar yuran pengajian yang mencecah RM40,000 dan jika saya berkeras mahu teruskan pengajian, saya rasa tindakan itu seperti membunuhnya."Jadi, saya ambil keputusan untuk bekerja bagi membantu keluarga. Selepas SPM, saya menjalani Program Khidmat Negara. Tamat program itu, saya bekerja sebagai jurusolek dan model sambilan.
"Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab memastikan adik-adik mendapat pendidikan sebaiknya," ujarnya.
Namun, karier modelnya nyaris berkubur selepas Joannabelle terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan wanita berasal dari Penampang, Sabah itu terbakar tahap kedua dengan lecur hampir keseluruhan badan.
"Setiap kali keluar rumah, saya hanya memakai pakaian berlengan panjang dan baju berkolar leher penyu (turtleneck) untuk melindungi kesan lecur itu.
"Insiden itu turut menyebabkan saya hilang keyakinan diri dan sering rasa rendah diri kerana berasakan diri serba kekurangan," katanya.
Perkara itu berlarutan sehingga setahun hingga akhirnya Joannabelle bekerja sebagai pegawai hartanah di sebuah bank tempatan, namun tidak lama selepas terlihat iklan mencari Ratu Universe Malaysia edisi 2009.
"Saya hanya sempat bekerja di bank itu cuma lima bulan. Saya minta pelepasan cuti tanpa gaji untuk menyertai pertandingan itu tapi tidak dibenarkan.
"Jadi, saya terus berhenti kerja walaupun ramai yang tidak bersetuju. Tapi, keluarga amat memahami dan mereka terus menjadi penyokong setia saya," katanya.
Kejayaan Joannabelle dimahkotakan gelaran itu nyata membawa kembali keyakinan dalam dirinya, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi meningkatkan kehidupannya.
"Saya meletakkan sasaran untuk menjadi ahli perniagaan berjaya. Saya seorang yang berorientasikan wang. Dalam usia muda dan gelaran yang ada, saya mahu meraih sebanyak mungkin peluang untuk membantu keluarga.
"Saya baru berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membuka spa di Kuala Lumpur (KL). Saya harap dapat mengembangkan perniagaan dalam bidang berlainan," ujarnya.
Pada masa sama, kejayaan yang diraihnya itu akhirnya mencetuskan idea kewujudan Jo-B Care, iaitu kempen mengumpul dana bagi membantu orang yang lebih memerlukan.
"Saya faham dengan penderitaan dan kesusahan mereka kerana saya sendiri pernah melalui saat itu. Saya tidak mahu menjadi ratu cantik yang hanya melakukan aktiviti kemasyarakatan dalam tempoh setahun bergelar ratu.
"Selepas ratu baru dimahkotakan, ratu yang sebelumnya terus hilang dan tenggelam tanpa sebarang aktiviti. Saya sebolehnya tidak mahu berada dalam kategori itu.
"Idea mengumpul dana ini sudah lama dirancang cuma kini saya baru dapat merealisasikannya kerana tidak lagi terikat dengan acara rasmi sebagai ratu.
"Saya dan beberapa rakan pernah membawa 30 anak yatim ke restoran makanan segera untuk makan tengah hari. Saya menangis apabila menyaksikan mereka makan bersungguh-sungguh hingga ada yang berebut-rebut untuk mengambil hidangan rakan lain.
"Perkara itu amat menyentuh perasaan saya. Saya pernah hidup dalam kekurangan tapi mereka lebih susah daripada saya. Jadi, kempen Jo-B Care ini diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan bagi meningkatkan kualiti hidup yang lebih baik.
"Saya memulakan kempen ini kerana ingin melihat sejauh mana kemampuan saya menganjurkan aktiviti kebajikan dalam skala besar.
"Gelaran sebagai Ratu Universe Malaysia memang memberi banyak kelebihan dalam menjayakan kempen ini dan saya harap ia dapat menyuntik kesedaran kepada masyarakat untuk tampil membantu projek ini," katanya.
Kempen Jo-B Care, sempena singkatan namanya, adalah projek bagi mengumpul dana yang dicetuskan Joannabelle dengan kerjasama Fametis Management & Associates Sdn Bhd. Hasil yang diperoleh dalam kempen itu kelak akan diagihkan kepada lima persatuan kebajikan sekitar Selangor dan KL.
Berteraskan slogan Kongsi untuk Prihatin (Share to Care), kempen itu dianjurkan dalam dua peringkat - satu terbuka untuk orang ramai, semalam (17 Jun) di Pavilion dan satu lagi lebih kepada acara korporat pada 24 Jun ini menerusi Malam Gala yang akan dipenuhi selebriti, ahli perniagaan dan barisan kenamaan.
Menerusi kempen pertama ini, Jo-B Care mensasarkan kutipan RM100,000 dan memilih Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCASFT), Rumah Victory, Persatuan Pencegahan Kekejaman ke atas Haiwan Selangor (SPCA Selangor), Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman (Pernim) serta Persatuan Ibu Tunggal Masmerah sebagai penerima dana.
Profil
NAMA: Joannabelle Ng Li Vun
ASAL: Penampang, Sabah
TARIKH LAHIR: 24 Jun 1988
TINGGI/BERAT: 174sm / 55kg
ANTARA PENCAPAIAN:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: