Monday, June 28, 2010

Harry Mulakan Lawatan Ke AS Dengan Menyertai Latihan Kadet Di West Point

WEST POINT (New York): Prince Harry mempamerkan kecekapannya mengendalikan senjata api apabila menyertai kadet tentera berlatih menembak.

WEST POINT (New York): Putera Harry, anak kedua Putera Charles mempamerkan kecekapannya mengendalikan senjata api apabila beliau menyertai pasukan kadet di akademi tentera terkemuka Amerika, West Point di sini.

Beliau memulakan lawatan selama tiga hari ke New York.

Harry yang berada di hirarki ketiga pewaris takhta Britain mengenakan pakaian seragam tentera sebaik sahaja tiba di sini dengan helikopter pada 1.30 petang, Jumaat.

Ketibaannya disambut oleh Superintendan Leftenan Jeneral Franklin L "Buster" Hagenbeck dan lain-lain pegawai kanan.

Beliau dilihat menaiki kereta pelbagai fungsi, Humvee, dan menukar topi (beret) berwarna biru muda dengan helmet tempur.

Putera Harry selepas itu dilihat menuju ke tempat latihan menembak di hutan yang berdekatan.

Harry yang berkhidmat di Afghanistan pada 2008 melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang jenis M-4 bersama sepasukan kadet West Point.

Mereka menembak ke arah sasaran yang terletak dalam lingkungan 15 meter hingga 300 meter jauhnya.

Kolonel Casey Haskins, pegawai yang mengendalikan latihan itu berkata, tembakan Harry agak baik kerana mengenai beberapa sasaran dengan tepat.

"Dia tahu secara jelas apa yang dibuatnya, Dia tahu bagaimana untuk menembak serta melakukan pergerakan," katanya.

Sejurus itu, Putera Harry mengekori sekumpulan kadet ke hutan untuk latihan perang tetapi tidak melibatkan diri.

Harry menuntut di Akademi Tentera Diraja di Sandhurst, England dan merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera Britain.

Semasa di Afghanistan, beliau memainkan peranan penting sebagai pengawal trafik udara.

Kebocoran rahsia itu pada media menyebabkan beliau memendekkan tempoh perkhidmatannya di sana demi untuk mengelakkan daripada menjadi sasaran Al-Qaeda.

Bulan lalu, Putera Harry telah melalui proses latihan untuk menjadi juru terbang helikopter tempur Apache.

Harry ialah anak bongsu kepada Putera Charles dan mendiang Puteri Diana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: