TARIKH keramat 19 Jun 2010 menjadi memori indah buat adik ipar kepada Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin apabila Carlf, jejaka yang dikenalinya selama tujuh tahun rupa-rupanya adalah insan yang bakal melayari bahtera rumahtangga untuk sepanjang hayat.
Majlis berlangsung sempurna dengan adat-istiadat, indah dengan pantun dan gurindam Melayu yang menyedapkan telinga tetamu serta meredakan gundah-gulana pasangan mempelai yang telah disatukan, Elisa Nani Hanafi, 26, akhirnya selamat diijab kabul dengan jejaka pilihan hati, Carlf Iskandar Izman Ismail, 29.
Elisa yang lebih senang disapa sebagai Shasha tampak anggun dengan busana putih di samping Carlf yang segak bersut hitam pada majlis persandingan yang bertemakan 'Fantasi dan Thumbelina', secocok sekali dengan wanita manis berperwatakan manja ini.
Teruja tatkala suami tercinta selamat melafaz akad, Shasha bagaimanapun masih terbayang-bayang detik-detik indah tatkala Carlf melamar untuk menjadikannya sebagai permaisuri hati, 1 Januari lalu ketika mereka sama-sama meraikan kedatangan 2010.
"Cuba bayangkan Carlf, yang nampak macho dan pemalu itu tiba-tiba bertukar menjadi seorang lelaki romantis. Dia telah melamar saya pada tahun baru di hadapan kawan-kawannya yang ramai. Bagai tak percaya dia sanggup melamar saya dengan cara sebegitu dan saya amat menghargainya.
"Bagi saya, saat itu adalah saat 'extravaganza' indah yang akan saya ingat selama-lamanya," kata adik kepada Datin Emilia Hanafi ini.
Saat sebentuk cincin dipersembahkan oleh Carlf sebagai tanda lamaran, seiring itu jugalah air mata kegembiraan Shasha menitis tanpa diduga.
"Bermula dari saat dia melamar saya itulah saya sedar bahawa Carlf adalah lelaki paling bermakna dalam hidup saya dan saya bersedia menjadi isterinya yang abadi," katanya.
Mengimbas tentang detik pertemuan mereka berdua, Kota Melbourne menjadi saksi cinta mereka.
Shasha, yang dibesarkan di Texas, Amerika Syarikat, bertemu Carlf ketika sama-sama menuntut di Melbourne.
Berbicara tentang perasaannya setelah bergelar isteri, Shasha mengaku masih gugup dan gementar, tetapi dalam masa yang sama berasa sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.
"Saya rasa tidak sabar. Tidak sabar untuk menghabiskan hari-hari saya bersama suami tercinta bermula hari ini, esok dan selama-lamanya," katanya dalam nada gembira.
Bagi menunaikan janji, menyatukan dua hati yang saling menyayangi, Carlf membawa bersama sembilan dulang hantaran untuk dipersembahkan kepada isteri tercinta, juga sebagai pelengkap majlis.
Turut teruja menantikan kehidupan mendatang sebagai pasangan suami isteri, jejaka kacukan Norway-Melayu itu berbangga memiliki Shasha sebagai pasangan hidupnya.
"Banyak yang istimewa tentang Sasha. Dia seorang yang memahami dan selama tujuh tahun kami melalui susah dan senang bersama-sama.
"Kami saling bertukar pendapat. Dia (Elisa) banyak menguruskan diri saya dari segenap aspek. Dia bantu saya membeli-belah, fikirkan pakaian dan gaya rambut yang sesuai untuk saya," jelasnya tanpa berselindung.
Menurut Carlf, dia bersyukur kerana sepanjang tujuh tahun bersama Shasha atas 'tiket' kekasih, mereka akhirnya berjaya melepasi segala halangan dan cabaran sehingga selamat diijab kabul.
"Selama dua tahun kami bercinta dari jarak jauh. Dia di Melbourne dan saya di KL. Halangan juga datang dari segi kerja dan masa.
"Tapi, walaupun sibuk saya akan pastikan dapat berjumpa dengannya sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu," katanya.
Memilih untuk berbulan madu di kawasan pelancongan yang belum pernah dijejaki kedua-dua mereka iaitu Maldives atau Fiji, ahli perniagaan ini tidak berselindung tentang cahaya mata penyeri rumahtangganya bersama Sasha.
"Kami akan pergi berbulan madu dalam masa terdekat. Tentang anak, kami tidak pernah merancang. Paling minimum saya mahu dua orang, tapi semuanya bergantung pada rezeki," katanya.
Majlis persandingan Elisa dan Carlf berlangsung meriah di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) dan menerima seramai kira-kira 300 tetamu.
Turut hadir sebagai tetamu ialah bapa kepada Carlf, Reidar Andersen yang sanggup terbang dari Norway semata-mata untuk menyaksikan persandingan anak lelakinya.
"Bapa saya sudah 25 tahun tidak datang ke KL, tetapi hari ini dia bersama saya. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepadanya," katanya.
Persandingan tersebut menjadi lebih bermakna buat kedua mempelai apabila ianya turut menerima kunjungan Tengku Putri Arafiah Sultan Abd Aziz Shah, Timbalan menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup dan isteri, Puan Seri Zaleha Ismail dan tetamu VIP lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: