Thursday, June 17, 2010

Gurung pereka fesyen dari Nepal


Prabal Gurung bersama model-model yang memperagakan fesyen rekaannya di New York, baru-baru ini.


PEREKA fesyen muda dari Nepal, Prabal Gurung pernah dipelawa majalah gaya ternama dunia dan mendapat pujian tertinggi di atas rekaannya untuk beberapa pelakon wanita terkenal Hollywood.

Malah wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut memakai pakaian rekaan Gurung.

Ia menjadi bukti kepada ibu bapanya bahawa pereka muda itu sudah berjaya mencapai impiannya yang selama ini dianggap mustahil.

Kedua ibu bapanya yang menetap di Kathmandu sering tidak mempercayai keupayaan anak mereka iti.

"Ibu akan berkata, beritahu ibu apabila Michelle Obama memakai satu daripada rekaan awak.

"Dia adalah orang pertama yang saya hubungi apabila saya mendengar berita itu," kata Gurung yang menetap di New York kepada AFP ketika lawatan singkatnya ke kampung asalnya, di Nepal.

Gurung, yang enggan mendedahkan usia sebenarnya hanya memaklumkan berumur dalam lingkungan 30-an, adalah seorang daripada pereka fesyen muda paling berjaya di New York.

Sebelum ini, pelakon terkenal Hollywood, Demi Moore memuji rekaannya. Rachel Weisz mengenakan pakaian ciptaannya ketika berjalan di karpet merah dan Pengarang majalah berpengaruh American Vogue, Anna Wintour juga menyokong kerjayanya.

Bagaimanapun, di Nepal, kerja menyiapkan pakaian lebih sinonim sebagai kerja untuk buruh wanita dan golongan kasta rendah tetapi dia membuktikan kejayaannya yang jarang sekali dikecapi penduduk Nepal.

"Sudah tentu saya tidak terkenal (di Nepal) seperti pelakon terkenal , Bhuwan KC," gurau Gurung.

Hasil rekaan pakaian Gurung juga tidak murah, Dilaporkan ia dijual pada harga AS$1,400, iaitu hampir empat kali ganda purata pendapatan tahunan penduduk Nepal.

Gurung yang pulang ke Nepal setiap tahun untuk berjumpa keluarga, mengabadikan kejayaannya dalam industri fesyen kepada ibu dan kakaknya. Mereka mengusahakan sebuah kedai pakaian di Kathmandu ketika dia membesar.

"Orang yang menjadikan saya berjaya seperti hari ini adalah keluarga saya terutama ibu," ujar Gurung yang mana ibu bapanya menentang kelaziman adat perkahwinan kerana kedua-duanya berasal dari latar belakang berbeza.

Ibunya berasal dari dinasti politik Rana yang memerintah Nepal pada abad ke-20, manakala bapanya dari keluarga kelas pekerja biasa.

Pasangan itu berhijrah ke Singapura selepas berkahwin tanpa persetujuan ibu bapa dan Gurung dilahirkan di negara utu dan hanya pulang ke Nepal setelah remaja.

Sama seperti kebanyakan rakyat Nepal dari golongan pertengahan, dia menerima pendidikan di India dalam pengurusan hotel sebelum mengikuti kursus di Institut Teknologi Fesyen Negara di New Delhi.

Ketika menuntut di institut itu, Gurung menyedari dia sudah menemui apa yang mahu dilakukannya. Selepas tamat belajar, dia bekerja dengan pereka fesyen Mumbai, Manish Arora, yang memodenkan pakaian tradisi India sehingga menerima penghargaan antarabangsa.

Gurung bagaimanapun, ingin lebih mendalami industri fesyen antarabangsa dan pada 1999, selepas menetap beberapa ketika di London dan Sydney, dia berpindah ke New York dan bekerja sebagai pelatih kepada pereka, Donna Karen.

Langkahnya dalam industri fesyen terus selesa apabila dia mereka pakaian untuk beberapa pusat fesyen di New York termasuk untuk Cynthia Rowley dan Bill Blass. Seterusnya dia dinaikkan pangkat menjadi pengarah rekaan.

Tahun lalu, impiannya untuk memiliki produk sendiri tercapai apabila melancarkan perniagaan sendiri dan menganjurkan pertunjukkan fesyen pertamanya ketika Minggu Fesyen New York Februari lalu.

"Saya masih ingat ketika remaja, saya menonton sebuah pertunjukkan fesyen di televisyen dikenali Style by Elsa Klench di saluran CNN dan saya tidak pernah terfikir saya mampu melakukan perkara yang sama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: