Thursday, June 17, 2010

Kesedaran, ikutan atau lepas tangan?


Peserta kem ibadah Kanak-Kanak anjuran Masjid Negara dibimbing oleh fasilitator berpengalaman.


KEM Super Muslim, Kem Perkasa Diri, Kem Anak Soleh, Kem Smart Solat, Kem Insan Cemerlang, Summer Camp, Kem Smart Al-Quran, Kem Sains, dan Kem Motivasi & Bina Kecemerlangan antara program-program yang sinonim dengan musim cuti sekolah.

Selain yang berasaskan agama, ada banyak lagi kem lain termasuk yang berbentuk fizikal dan rekreasi.

Walau apa pun namanya, matlamat penganjuran kem-kem seperti itu adalah sama - mengisi masa cuti para pelajar dengan aktiviti bermanfaat.

Malah kem ini dikatakan menjadi landasan terbaik untuk membentuk jati diri kanak-kanak dan remaja agar seimbang rohani dan jasmani. Sekali gus sejajar dengan keperluan pendidikan negara.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan kem-kem tersebut? Adakah ia benar-benar mencapai matlamat yang ditetapkan? Adakah kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke situ kerana kesedaran? Atau mereka sekadar terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat. Mungkin juga ia satu pelepasan mahupun pelarian (escapism) ibu bapa daripada dibebani kerenah anak-anak di sepanjang cuti tersebut?

Atau, mungkinkah kerancakan penganjuran program-program yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan hanya bermotifkan keuntungan oleh pihak penganjur?

Penolong Pengarah Pembangunan Sahsiah, Masjid Negara, Kuala Lumpur, Amru Alhaz Adnan berkata, penganjuran program-program berbentuk kem, sebenarnya sudah menjadi lumrah atau kebiasaan setiap kali menjelangnya musim cuti persekolahan.

Beliau akui, memang ia sudah menjadi satu trend atau budaya kepada masyarakat, waima apa pun bangsa dan latar belakang status kehidupan mereka.

Disebabkan permintaan yang tinggi katanya, ia membuka peluang kepada pihak pengendali untuk menganjurkan pelbagai bentuk program perkhemahan sekali gus mengaut keuntungan yang tidak sepatutnya.

Tetapi katanya, tidak boleh dinafikan kewujudan program bertitik tolak daripada kesedaran ibu bapa itu sendiri.

" Malah budaya ini boleh dikira sebagai sesuatu yang membawa kepada situasi menang-menang," kata Amru ketika ditemui pada majlis penutup 'Kem Ibadah Kanak-Kanak Siri I' anjuran Masjid Negara, Kuala Lumpur sempena cuti sekolah baru-baru.

Katanya, sambutan hangat terhadap program itu terbukti dengan tawaran kerjasama yang diterima oleh Masjid Negara sendiri.

"Sejak pihak masjid menganjurkan kem ibadah sama ada untuk kanak-kanak mahupun remaja iaitu dari tahun 2000, ramai pengendali atau syarikat perunding swasta yang menawarkan kerjasama. Ia cukup menyakinkan kita bahawa program ini bukan lagi ikutan dari barat tetapi sudah membudaya di negara ini.

"Apabila kita sebut pengendali swasta, yang terbayang di kepala kita, ia berorientasikan keuntungan sehingga mengenepikan soal keberkesanan. Seperkara yang perlu ditegur adalah harganya yang boleh dikategorikan agak membebankan terutamanya kepada yang beranak ramai.

"Walaupun pengisiannya berkualiti, namun kekurangannya ialah ia tidak ada program susulan. Hakikatnya, tempoh kurang tiga hari itu, adalah bukan jaminan untuk mengubah seseorang itu, apa lagi tanpa pemantauan selepasnya," tegas Amru. Justeru ibu bapa perlu mengutamakan aspek pengisian dalam pemilihan program.

Mengulas sikap segelintir ibu bapa yang memperlekehkan perubahan anak-anak mereka dengan kata-kata sindiran, hangat-hangat tahi ayam. Pesan Amru: "Itu adalah satu tindakan yang merugikan."

Sikap tidak sihat itu berpunca daripada sikap ibu bapa meletakkan tanggungjawab mendidik dan membentuk anak-anak mereka di bahu guru dan fasilitator.

Lantaran itu, sokongan ibu bapa penting dalam meneruskan kesinambungan ilmu yang diperoleh ketika mengikuti kem-kem cuti sekolah.

Menyentuh tentang program Kem Ibadah di Masjid Negara, kata Amru, program tiga hari yang bermula 4 hingga 6 Jun lalu disertai 92 kanak-kanak, usia 10 hingga 12 tahun sekitar Lembah Kelang.

Sebelum ini katanya, kem-kem ibadah banyak dilaksanakan di luar premis masjid. Jika ada pun jumlahnya tidak banyak.

Justeru ujarnya, ia sebagai satu cara menarik kalangan kanak-kanak dan golongan remaja mendekati masjid. Sekali gus mengubah persepsi mereka tentang peranan sebenar masjid yang bukan hanya sebagai tempat melaksanakan ritual agama seperti solat wajib atau solat sunat, tadarus bulan Ramadan, sambutan hari kebesaran dalam kalendar Hijrah.

Tetapi sebenarnya, secara tidak langsung, menjelaskan bahawa masjid adalah sebuah tempat komuniti, di mana dianjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti; tuisyen, kelas-kelas agama dan tidak terkecuali kem-kem ibadah, bila tibanya cuti penggal persekolahan.

Oleh itu, kata Amru, penekanan di dalam program ini adalah menjurus kepada kefahaman dan penghayatan tentang akidah.

"Ini kerana kefahaman kepada perkara asas ini akan dapat mencetuskan rasa 'Tahu, Mahu dan Mampu' melaksanakan ibadat kepada Allah SWT.

"Sebab itulah, kalau program-program sebelum ini, pendekatannya lebih kepada teori di dalam kelas tetapi pada siri pertama tahun ini, kita cuba selitkan dengan pengisian yang menarik.

"Antaranya; 'Riadah Berkonsep', 'Bisikan Nurani', 'Smart Solat', 'Mutiara Iman' dan 'Anak Soleh Permata Bonda'.

"Harapan kami, apabila tamat nanti, kanak-kanak ini taat perintah Allah, ibu bapa dan guru.

"Selain itu, membentuk generasi yang berakhlak mulia dan jati diri tinggi dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar," katanya mengakhiri perbualan.

Sementara itu, pada majlis penutupan program, Penolong Pengarah Kanan, Unit Pendidikan Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni mewakili Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyampaikan sijil kepada fasilitator dan peserta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: