Thursday, June 24, 2010

Remaja wanita mudah terikut


Syarikat-syarikat rokok kini menyasarkan wanita sebagai salah satu pasaran terbesar mereka.


Walaupun tabiat merokok di kalangan wanita dikatakan berpunca dari banyak faktor, kajian secara psikologi yang dijalankan pakar tempatan mendapati ia berpunca daripada empat faktor utama.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, wanita, terutama dalam usia remaja mudah terikut sikap dan penampilan rakan sebaya.

"Naluri seseorang sememangnya suka berkawan, jadi wanita terutama remaja akan tertarik untuk berkawan dengan ramai orang termasuk menyertai sesebuah kumpulan rakan.

"Bagi memastikan mereka diterima sebagai kawan, mereka akan melakukan apa yang diperlukan atau apa yang diminta rakan lain.

"Ia termasuk sanggup melakukan aktiviti yang tidak baik seperti merokok," katanya ketika dihubungi MEGA baru-baru ini.

Beliau berkata, faktor kedua disebabkan pelbagai tekanan yang dialami seseorang termasuk persekitaran, guru dan peperiksaan bagi pelajar, kewangan, pasangan hidup serta rakan.

Menurut Mariani, seseorang juga mengamalkan tabiat merokok untuk mendapatkan ilham melalui sedutan dan hembusan dalam melakukan sesuatu kerja.

"Faktor lain dilihat untuk menunjukkan gaya, penampilan dan perwatakan lebih moden.

"Wanita mempunyai naluri untuk tampil hebat jadi mereka menganggap melakukan aktiviti sosial seperti merokok mampu menunjukkan 'style'.

"Sesetengah wanita pula menganggap merokok adalah bersesuaian dengan zaman ini jadi jika tidak melakukannya, mereka merasakan diri ketinggalan zaman atau berfikir orang lain akan menganggap mereka sebagai wanita kolot," ujarnya.

Sementara itu, sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyatakan, perokok termasuk wanita seringkali memberi satu punca yang dianggap kukuh mengapa mereka merokok namun mereka seperti tidak menyedari alasan itu menyumbang kepada 1001 keburukan kepada diri sendiri.

Antara keburukan besar tabiat merokok adalah pembaziran wang dan pengamalnya berisiko tinggi menghidapi pelbagai penyakit respiratori, barah, jantung serta kesuburan.

Golongan wanita mempunyai risiko lebih banyak berbanding lelaki apabila merokok atau menyedut asap rokok kerana mereka terdedah bahaya semasa mengandung dan melahirkan, keguguran, bayi tidak cukup bulan serta bayi meninggal dunia di dalam rahim.

Laporan AADK juga menunjukkan, amalan merokok adalah punca utama kepada pertambahan jumlah penagih dadah di negara ini kerana penagihan dadah bermula dari tabiat merokok.

Selain itu, tabiat berkenaan mampu menyebabkan seseorang perokok ketagih dan ia menyumbang kepada pertambahan bilangan rokok yang dihisap.

Dari segi sesebuah negara, tabiat merokok secara meluas di kalangan penduduknya yang kebiasaannya bermula sejak usia belasan tahun akan merugikan kerana negara bakal memiliki pelapis yang kurang sihat dari segi tubuh dan minda, mempunyai tabiat sosial yang tidak baik serta jangka hayat rendah.

Bagi mengatasi tabiat merokok, AADK giat menjalankan pelbagai program antimerokok dan kesedaran bagi 'mengeluarkan' perokok daripada gejala sosial itu.

Satu daripada kaedah pendekatan dianggap paling berkesan yang digunakan AADK adalah melalui ceramah dan maklumat pendidikan di sekolah-sekolah bagi memupuk pemikiran positif di kalangan remaja serta guru supaya mereka menjauhi atau berhenti merokok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: