Saturday, June 19, 2010

Lamaran indah di pawagam


CIUMAN Sally tanda bersetuju menerima lamaran kekasihnya.


KISAH percintaan mereka tidaklah sehebat Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun yang sanggup menggadaikan jiwa raga demi mempertahankan kasih sayang.

Namun, Eric Tan ingin mengabadikan sesuatu yang indah sebagai kenang-kenangan sepanjang hayat bersama kekasihnya, Sally Tong saat berhajat membuka fasa baru percintaan mereka.

Setelah setahun menyulam perasaan cinta, Eric yakin Sally merupakan insan yang dipilih untuk bertakhta di hatinya dan membulatkan tekad mengunci hati gadis itu dengan lamaran.

Pasangan berusia 23 tahun ini mula berkenalan sejak setahun lalu setelah berkenalan di laman sosial Friendster.

Menyedari dirinya bukan lelaki romantis, Eric yang gusar bagaimana untuk meluahkan isi hati kepada insan yang disayangi itu akhirnya memilih untuk membuat lamaran di pawagam yang menjadi lokasi pertama pertemuan mereka.


SALLY tergamam saat dikejutkan dengan kehadiran Eric di dalam pawagam di Plaza Gurney.


Seperti dirancang, Sally yang tidak mengetahui perkara tersebut diajak adiknya untuk menonton sebuah filem di pawagam yang terletak di Plaza Gurney, Pulau Pinang baru-baru ini bagi menemaninya menghabiskan cuti hujung minggu.

Kira-kira setengah jam selepas filem ditayangkan, skrin bertukar 'cerita' apabila menayangkan video pendek mengenai kisah percintaan Eric dan Sally yang ditayangkan menerusi sistem projektor ke skrin layar.

Eric pula muncul dari luar pawagam memakai sut serba putih menuju ke arah Sally bersama sejambak bunga mawar merah sambil menyanyikan lagu Married With Me yang dipopularkan oleh artis Hong Kong, Alex Thoo.

Suasana bertukar menjadi gamat apabila kira-kira 90 penonton yang sebenarnya adalah rakan-rakan pasangan kekasih itu bersorak gembira sambil bertepuk tangan apabila Eric melutut di hadapan Sally menghulurkan sebentuk cincin emas.


ERIC memilih cara yang unik dan tersendiri untuk melamar kekasihnya.


Sally yang kelihatan terkejut hanya mampu menangis kegembiraan dan menyambut lamaran kekasihnya itu sebelum kedua-duanya berpelukan mesra sebelum satu ciuman mesra dihadiahkan Eric ke pipi buah hatinya itu.

Malah kehadiran ibu Sally, Seow Yeok See secara senyap-senyap ke pawagam itu ditemani seorang lagi anak perempuannya untuk memberi kejutan sebenarnya memberi tanda dia merestui percintaan pasangan tersebut.

Eric, yang mengusahakan sebuah syarikat pengiklanan di sini memberitahu beliau sebenarnya gementar dengan rancangan tersebut kerana bimbang sekiranya tidak disukai kekasihnya itu yang bertugas di sebuah bank.

Mengakui jatuh hati tatkala kali pertama bertentang mata dengan Sally setelah sebulan berkenalan di laman maya, dia memberitahu gadis itu sarat dengan ciri-ciri wanita yang diimpikan sebagai isteri.


ERIC melutut saat menghulurkan sebentuk cincin tanda lamaran untuk Sally bergelar isterinya.


"Pawagam ini menyimpan kenangan cinta kami. Di sinilah kami berdua sering menghabiskan masa hujung minggu menonton filem-filem kegemaran dan perlahan-lahan mengenali hati budi masing-masing.

"Walaupun bergelar kekasih, tapi saya masih ragu-ragu jika dia enggan menerima lamaran ini tetapi saya nekad kerana telah tiba masa untuk meluahkan isi hati.

"Lalu saya dan rakan, Jordan Soot terfikir mengenai idea ini dan kami rancang semuanya dengan bantuan kawan-kawan lain sejak dua minggu lalu.

"Walaupun perlu berbelanja RM3,000 untuk menyewa pawagam ini, saya benar-benar puas hati kerana hajat untuk melamar Sally termakbul," ujarnya ceria.

Ini merupakan kali pertama pasangan kekasih membuat lamaran di dewan pawagam tersebut sejak enam tahun ia beroperasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: