Sunday, June 20, 2010

Fiq kekok berlakon




SUDAH agak lama menyepi, itu hakikatnya perjalanan Mohd. Firdaus Abdul Halim, 28, yang lebih mesra disapa Fiq Mentor. Namun bak pepatah diam-diam ubi berisi, Fiq kini muncul dengan album baru berjudul Diagnostik. Fiq mengerti ada peminat yang menunggu buah tangan darinya setelah dia bertapak dalam dunia seni menerusi platform Mentor.

Kini Fiq yang cenderung dengan genre rock merealisasikan kehendak jiwa dan peminatnya dengan menyajikan genre tersebut dalam album terbarunya.

Fiq yang sebelum ini popular dengan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang dan Bukti kini muncul dengan single terbaru bertajuk Manifestasi Cinta.

Ujarnya, konsep yang dibawa melalui single terbaru ini tidak jauh berbeza dengan naskhah seni terdulu, namun terdapat elemen-elemen baru yang diketengahkan diharap dapat meluahkan sisi kematangannya.

Salah satu elemen itu adalah elemen timur tengah. Fiq turut berduet dalam satu lagu dengan kumpulan nasyid iaitu Mirwana bagi memberi isyarat dakwah dan rock mampu bergerak seiring.




"Saya mahu tonjolkan sedikit kelainan dalam album ini, itu sebenarnya yang saya mahu tampilkan. Ianya masih berentak rock, namun gabungan dengan Mirwana menambahkan rentak pop harmoni yang menunjukkan kesesuaian dengan lirik lagu tersebut," kata Fiq yang gemar bergaya santai di hadapan kamera.

Ujarnya, lagu Manifestasi Cinta mengisahkan dunia yang penuh kekacauan tetapi dengan adanya cinta, terutamanya cinta kepada Tuhan dan manusia, segalanya dapat mengatasinya dengan mudah.

Menurut Fiq, lagu hitnya telah diputarkan di corong-corong radio manakala pelancaran albumnya juga telah dilakukan.

Apa yang diharapkan, kemunculannya akan diterima oleh para peminat. Dia yang kini sibuk dengan promosi album tersebut turut berada di Sabah baru-baru ini untuk membuat persembahan.

"Saya harap semua peminat samada peminat lama ataupun baru dapat menerima muzik yang saya bawa ini. Saya harap naskhah ini dapat membuatkan mereka mengingatinya sampai bila-bila," ujar Fiq bersungguh-sungguh.

Kekok berlakon

Menghasilkan album terbarunya bukan sahaja memerlukan Fiq melontarkan suara tetapi ia turut menuntut dirinya berlakon dalam klip video Manifestasi Cinta.

Mengakui dirinya terasa keras dan kekok di hadapan lensa tetapi Fiq menganggap itu cabaran untuk menjayakan klip video tersebut.

"Klip video ini memerlukan saya berlakon dan saya kekok kerana saya tidak biasa," katanya yang menjalankan pengambaran tersebut dengan pelakon Wan Sharmila.

Menurut Fiq, dia sebenarnya malu untuk berlakon dan suatu masa dulu dia pernah menolak tawaran untuk berlakon kerana tidak yakin dapat menjadi seorang pelakon yang baik.




"Saya berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian dan berpeluang, saya ingin mencipta lagu sendiri," kata Fiq yang menyimpan hasrat untuk berduet dengan mentornya, iaitu vokalis kumpulan Search, Amy.

Akhiri zaman bujang

Fiq yang kini mencecah umur 28 tahun merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya pada umur 30 tahun. Itu semua bergantung kepada jodoh yang ditentukan-Nya.

Menurut Fiq dia kini sedang mencari teman hidup yang sesuai bagi mengisi ruang hatinya.

Baginya, tempoh perancangan mungkin singkat, namun jika jodohnya sudah sampai, dia akan menerima seadanya.

"Saya memang sedang mencari teman istimewa, tetapi sebagai artis, saya memerlukan teman hidup yang benar-benar memahami kerjaya saya.

"Saya juga tidak kisah dengan paras rupa tetapi cukup dengan mempunyai hati yang ikhlas untuk bersama saya," doa jejaka yang berasal dari Sandakan, Sabah ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: