Sunday, June 27, 2010

Episod mahkamah Maya


SELAMA ini Maya sekadar memerhati dari kejauhan apabila ada selebriti menjadi tumpuan di mahkamah. Khamis lalu dan mungkin untuk tarikh-tarikh akan datang, Maya pula harus menerima hakikat tiada guna berselindung daripada kenyataan.


BERPISAH ranjang selama lebih enam bulan, Maya Karin dan Steven akhirnya bersatu di kamar mahkamah.Ketika mengumumkan perkahwinannya lebih dua tahun dahulu, kelopak hatinya kembang mekar, separuh teruja dan separuh lagi berdebar-debar.

Bagaimanapun, berbumbungkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu, perasaan yang berbeza pula membalut jiwa raganya.

Kerongkongnya tersekat dan Maya Karin, 31, ibarat pesalah yang harus dikunci mulut. Dia masih enggan berbicara berhubung keretakan rumah tangganya bersama Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 40, didedahkan kepada umum berikutan jalan penyelesaian sedang diambil melalui mahkamah.

Sudah namanya aktres tersohor, sebaik sahaja melangkah keluar dari kamar hakim, dia tidak mampu mengelak.

Puas diasak dengan pelbagai soalan daripada pihak media, namun dari pintu mahkamah berlanjutan sehingga ke pintu kereta mewah jawapan yang jelas terpacul daripada bibir Maya hanyalah: "Tiada komen."

Dalam nada yang tertahan-tahan, berkali-kali dia mengungkapkan: "Saya minta maaf, saya tidak boleh komen apa-apa. Saya takut tersalah beri kenyataan, tambah lagi bahasa Melayu saya tidak bagus, saya takut akan memburukkan keadaan."

Maya masih cuba untuk senyum namun kelat yang terpancar daripada wajahnya. Aktres filem Pisau Cukur itu juga tidak mahu mengulas lanjut butiran perbicaraan yang membabitkan mereka sepanjang menjadi tamu di muka pengadilan pada petang yang hangat itu.

Mereka hadir dan keluar berasingan. Kedua-dua mereka hanya berdiam diri tatkala diasak pertanyaan wartawan setelah perbicaraan itu diadakan secara tertutup.

Ditanya adakah kehadiran mereka berdua bertujuan memfailkan perceraian atau pengesahan perkahwinan mereka yang berlangsung di Lake Como, Bellagio, Itali pada 15 Ogos 2008 dulu, Maya memilih untuk terus berteka-teki.

"Tentang perbicaraan hari ini, saya tidak boleh cakap apa-apa. Saya sangat risau. Setakat ini tiada keputusan tetapi untuk hari depan, pasti ada perkara yang kita sendiri tidak tahu," katanya saat dirayu berhenti seketika sebelum meluru masuk ke pintu kereta.

Peguam syarie yang mewakili Maya, Nor Husniah Husin daripada Tetuan Zain & Co. juga enggan memberikan komen lanjut atas arahan anak guamnya itu.

"Saya tidak boleh beri komen mengenai kes ini, saya tiada kuasa untuk berbuat begitu," kata Nor Husniah sebelum kereta BMW yang dipandu sendiri Maya meninggalkan pekarangan mahkamah sekitar pukul 4.30 petang.


STEVEN atau Muhammad Ali enggan mengulas panjang tentang perbicaraan mereka, sebaliknya meminta media mendapatkan kepastian daripada Maya.


Setengah jam sebelum Maya keluar dari kamar hakim, Steven yang bersut hitam meninggalkan mahkamah hanya dengan komen ringkas.

"No divorce, the rest, please ask your Maya (Tiada perceraian, selebihnya, tanyalah pada Maya)," kata guru Matematik itu tanpa mengulas panjang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Shaiful Azli Jamaludin itu turut dihadiri oleh dua orang saksi lelaki berbangsa asing. Untuk informasi, ini adalah kes mahkamah pertama yang dihadiri Maya dan Steven setelah pengakuan keretakan rumah tangga mereka diumumkan pada 24 Februari lalu.

Perceraian cuma tidak disukai oleh Tuhan namun ia halal. Apa yang sebenarnya yang menggauli kemelut Maya dan Steven? Apakah faktor orang ketiga atau pertembungan fahaman, semua itu tidak diiyakan oleh Maya mahupun Steven.

Sekali berkunjung ke mahkamah, keputusan kes perkahwinan atau perceraian Maya akan berakhir di mahkamah juga. Hanya masa dan keadaan yang membuahkan kepastian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: