Sunday, June 27, 2010

Satu pergi tiga di sisi




LUKISAN senyuman yang mengaburi garis kecewa di wajah manisnya sangat indah. Di bibirnya pula, ada rekahan delima merah yang menguntum penuh reda. Dia tahu, hidup ini tidak seindah khayalan, dan kalau pun bermimpi, impian bahagia yang hadir terakam, bukan sesuatu yang kekal sifatnya.

Mengakui separuh daripada catatan hidupnya berlaku atas ketentuan takdir dan separuh lagi daripada kesilapan sendiri, Anne Ngasri sedia meneruskan hari mendatang tanpa perlu mengunci diri.

Dia tidak mahu bersembunyi, menjauhkan diri daripada khalayak media jauh sekali. Anne, wanita muda yang sedang beralih fasa, daripada seorang isteri kepada status ibu tunggal.

Satu status yang paling ingin dijauhi wanita muda sepertinya, apatah lagi ada benih bernyawa yang sedang membesar di dasar rahimnya. Kiri dan kanan tangannya pula terpimpin dua anak kecil yang belum kenal dilema perasaan.

Anne persis pengemudi di atas kapal yang ditinggalkan nakhoda. Berbekal kejora diri sebagai penunjuk arah, Anne yakin gelora kehidupan yang harus ditongkah bukan mustahil untuknya bertemu sebuah destinasi.

"Sumpah, perceraian ini berlaku bukan atas rancangan saya," terletus satu pengakuan yang seakan mempertahankan sesuatu.


KELETAH anak-anaklah yang menjadi kekuatan Anne untuk meneruskan perjuangannya sebagai ibu tunggal. Biarpun tidak mudah, itu hakikat yang harus diterima penuh reda. Mungkin ada hikmah di sebalik setiap kejadian.


Selaku orang luar yang mendekati Anne semata-mata untuk menagih sebuah bingkisan, hati terpaut rasa kagum. Jika ketentuan itulah yang tersurat atas diri sendiri, tiada jawapan yang hendak dikhabarkan. 'Minta selisih malaikat 44', detik hati tanpa tanpa diundang.

'Awak sangat kuat', bisik saya ke wajahnya. Dia tersengih mempamerkan gigi putihnya yang rapi tersusun. Di sebalik dua kelopak bundar yang dikatakan sering 'tersenyum' itu, anak matanya bersinar bagai tiada setitis duka.

Melepas sebuah renungan untuk zuriat kecil yang riang bergurau sesama sendiri, anak kelima dalam keluarga bekas juruhebah terkenal Ngasri Sain itu meletuskan kata-kata.

"Saya reda atas apa yang berlaku. Kadang-kadang terdetik di dalam hati, tidak guna sesebuah hubungan suami isteri itu dipaksa bertahan semata-mata untuk anak-anak sedangkan kasih sayang suami isteri itulah yang paling besar dan harus diperkukuhkan dahulu.

"Di situlah letaknya 'kebesaran' sesebuah perkahwinan, untuk suami isteri dan anak-anak sebagai anggota.

"Tidak ada pasangan yang mahukan perceraian, tanyalah sesiapa pun. Tetapi itulah yang berlaku terhadap saya. Masalah yang saya hadapi sudah berpanjangan dan sangat rumit untuk dirungkaikan.

Talak tiga, pindah rumah

"Mungkin disebabkan kami sama-sama muda, sama-sama naif," kata pemilik nama Naszriah Ngasri, 26, ini berlingkar optimis.

Bohonglah jika dia tidak bersedih namun perasaan itu harus dibuang jauh-jauh. Ibarat patah sayap bertongkatkan paruh, Anne harus menjadi wanita matang yang sedia berjuang demi anak-anak.

"Sedih memanglah sedih tapi tidaklah sampai memudaratkan diri. Semua perasaan itu disimpan dalam hati sebab hidup saya tidak pernah kesunyian dengan adanya, Warits dan Wafri. Mereka kekuatan saya. Lagipun dalam keadaan yang sedang hamil ini, saya kena sayangkan diri saya.

"Lagi satu, saya tidak akan pernah bersendirian sebab anak dalam kandungan saya ini sentiasa mendampingi saya. Lebih dekat jadinya saya dengan anak-anak dan Tuhan," getusnya mampu merawankan rasa.

Membungkus kemas punca permasalahan daripada pengetahuan umum, Anne enggan berdepan risiko. Barangkali bimbang ratapan jiwanya kelak memulangkan paku buah keras.

Dia tidak mahu memutuskan silaturrahim yang telah terlangsung antara dua keluarga. Berkahwin dengan cara paling baik dan bercerai pun juga haruslah dilakukan atas jalan terbaik.

"Biarlah yang berpisah kasih hanya saya dan Wafi, bukan Wafi dengan anak-anaknya, bukan saya dengan bekas ibu mentua saya.


DUA kali bercerai dan dua kali rujuk tanpa pengesahan mahkamah, talak ketiga yang diucapkan Wafi pada 25 Mac lalu menamatkan ikatan perkahwinan Anne bersama bapa kepada anak-anaknya. Talak tiga sudah disahkan, tamatlah sudah siri cerai dan rujuk buat Anne dan Wafi.


"Banyak perasaan yang harus dijaga, lagipun agama kita sendiri mengutuk sikap membuka keaiban sesama sendiri," penuh hati-hati Anne bertegas.

Turun naik mahkamah untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai yang pernah diucapkan Wafi, dua kali dalam tahun 2009 dan kali ketiga pada 25 Mac lalu, Anne kini sah bercerai talak tiga bersama bekas suaminya Abdul Wafi Hassan, 29.

Ibarat dakwat pun masih belum kering, perkara itu baru sahaja diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Anne sendiri sudah mendapat petunjuk awal. Sebagai isteri, dia tahu, talak terakhir yang diucapkan Wafi sebelum ini bakal meninggalkan impak yang besar.

Dia nekad meninggalkan kediaman yang diduduki selama dua tahun di Shah Alam, dan kembali ke pangkuan keluarganya, di Taman Billion berhampiran Batu Cave, Selangor.

Tidaklah sampai tinggal sebumbung di rumah kedua ibu dan ayah tetapi berada di kejiranan yang sama memberi jaminan keselamatan buat Anne tiga beranak.

"Saya sudah pindah ke sini sejak dua bulan lepas. Senang sikit bila keluarga ada berdekatan. Warits pula sudah ke tadika, saya hantarnya ke sekolah setiap pagi manakala balik dijemput oleh neneknya (ibu Anne)," cerita Anne.

Karier seni

Soal kasih bapa terhadap anak-anak, ujar Anne, Wafi masih menjalankan tanggungjawab seorang bapa. Tambahan pula, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2, masih terlalu kecil untuk menghidu masalah mereka.




"Bila berjumpa, mereka ketawa dan riang ceria. Seminggu sekali, biasanya hujung minggu Wafi akan datang menjenguk dan mengambil anak-anak.

"Saya dan Wafi sendiri tidak bermasam muka, kami masih boleh berkawan dan berkomunikasi tanpa masalah," katanya yang mengakui rapat dengan ibu Wafi dalam merujuk masalah yang dihadapi.

Ucapnya penuh sifat matang: "Selama ini, saya tidak mahu menyusahkan keluarga. Saya hanya merujuk kepada orang-orang yang arif dalam soal agama. Lagipun orang kata, hanya seorang ibu yang dapat memahani sikap anak lelaki sendiri."

Bakal muncul menerusi drama bersiri Legenda Budak Setan tidak lama lagi, duta produk penjagaan kulit Aleema ini tidak pernah terfikir untuk beralih profesion. Waima dalam usia kandungan yang mencecah lima bulan, Anne sedia turun ke lokasi jika dihulurkan tawaran.

"Kemahiran saya hanya berlakon, itulah satu-satunya mata pencarian saya untuk membesarkan anak-anak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: