|
|
BOLEH dikatakan, wanita yang diperkenalkan menerusi teater Naga Tasik Chini ini memanjat tangga-tangga populariti bukanlah berdasarkan bakat lakonan semata-mata. Empat tahun dalam industri, Jue, 27, sudah likat dengan banyak cerita kurang manis. Pernah juga dia digelar penggoda dan simbol seks.
Sejarah percintaan dengan dua lelaki popular, Ako Mustapha dan Jehan Miskin juga antara faktor yang memanaskan nama wanita seksi ini. Dialah Jue Aziz, dramatis yang kini menjadi taruhan terbaru Feroz Khan selaku pengarah drama Janji Kekasih.
Sering dipersembahkan dalam rona-rona manja, romantis dan bersopan-santun di tirai kaca, Jue sendiri bukan seorang yang pemilih dalam mencari karakter untuk diterjemahkan. Namun, terlibat dalam penggambaran drama bersiri yang kini bersiaran menerusi slot Zehra itu, banyak memberi ilmu terhadapnya.
“Saya ada banyak ruang untuk berekspresi dengan emosi. Mula-mula saya bimbang sebab watak Karina menuntut saya menjadi gadis lasak dan liar tetapi kalau diikutkan, sebelum ini saya pernah bawa watak tomboi dalam satu telemovie,” ujar Jue yang memainkan watak Karina dalam Janji Kekasih.
Karina anak orang kaya yang kehilangan arah ekoran kedua-dua ibu bapanya sibuk mengejar duniawi. Dia berazam keluar daripada kemelut keluarga dengan membuat keputusan tinggal di asrama sehingga tamat pengajian.
“Walaupun Karina gadis lasak, dia masih mahu dicintai oleh lelaki. Pertemuannya dengan Shah (Fezrol Khan) memberi sinar baru buat Karina yang sebelum itu ligat menunggang motosikal besar bersama rakannya, Erry Putera,” ulas Jue terhadap naskhah yang menemui penonton setiap Jumaat pukul 9 malam sejak 11 Jun itu.
Drama bersiri itu diperkuatkan oleh Ayu Raudhah (Aliyah), Datuk Jalaluddin Hassan (Haji Safuan), Erma Fatima (Hajah Hashimah), Mustafa Kamal, Erry Putera, Almy Nadia, Iqram Dinzly serta Puteri Sarah.
Jue memilih watak tomboi untuk mencurahkan segala emosi yang selama ini jarang ditonjolkan.
“Semua orang kata saya seksi dan asyik bawa watak gedik sahaja. Jadi kalau diberi pilihan, saya mahukan watak pengkid atau tomboi sepenuhnya. Jika diberi skrip yang betul-betul meyakinkan, saya sanggup memotong pendek rambut demi menghidupkan watak itu,” tegasnya yang sentiasa berambut panjang, lurus dan mengurai sejak melangkah ke dunia lakonan.
Mahu terus berlakon tanpa tersekat dengan cerita kontroversi, baru-baru ini, ruangan gosip menyatakan Jue sudah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jehan.
Tempat Jehan diisi oleh pendatang baru, Amar yang pernah menyertai program realiti Anak Wayang. Khabarnya, hubungan itu sekali lagi tidak kesampaian. Barangkali Jue belum bertemu lelaki gagah untuk menemaninya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: