Wednesday, June 23, 2010

Latih anak jadi pencuri

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tergamak melatih dua anak perempuan kecilnya menjadi ‘toyol cilik’ yang dipergunakan sebagai pencuri kad kredit daripada orang ramai.

Difahamkan, suri rumah berkenaan berjaya melatih dua anaknya masing-masing berusia dua dan 12 tahun sebagai pencuri profesional hingga mereka mampu hidup mewah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata suri rumah berusia 39 tahun itu mula bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan kerap menggunakan modus operandi dengan berpura-pura berborak dengan pelanggan bank.


Menurutnya, taktik terbabit menyebabkan mangsa leka.


“Pada masa sama, anak perempuannya akan bertindak menyeluk poket seluar atau beg dipegang mangsa untuk mengambil serta melarikan dompet tanpa disedari.


“Selepas berjaya memperoleh apa diidamkan, suspek biasanya akan menggunakan kad kredit dicuri itu untuk berbelanja besar termasuk membeli barang kemas dari sekitar pasar raya dan pusat beli belah di sekitar ibu kota.


“Bagi mengelak perbuatannya dikesan, wanita licik itu biasanya mengehadkan jumlah pembelian kad kredit mangsa dengan jumlah tidak melebihi RM2,000,” katanya.


Bagaimanapun, kegiatan suspek berjaya ditumpaskan selepas sebuah bank di Cheras menyedari jenayah dilakukan sebelum membuat laporan polis.


“Susulan maklumat diterima itu, sekumpulan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya mengesan suspek sebelum memberkasnya ketika mangsa sedang berada di sebuah bank di Seri Kembangan, petang kelmarin,” katanya.


Menurutnya, suspek yang ditahan kira-kira jam 3.15 petang itu dipercayai sedang merancang untuk melakukan jenayah manakala dua anak perempuannya menunggu di dalam kereta.


“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis kemudian menemui beberapa telefon bimbit dan kamera dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan jenayah berkenaan.“Agak menyedihkan apabila anak perempuan suspek berusia 12 tahun sengaja tidak dihantar bersekolah dan paling kerap dibawa oleh wanita itu untuk melakukan jenayah,” katanya.


Beliau berkata, suspek yang aktif melakukan jenayah di Lembah Klang itu turut dikesan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes yang sama dilaporkan di Puchong dan Ampang.


“Dua anak suspek kemudian diserahkan kepada bapa mereka yang bekerja sebagai peniaga untuk dijaga,” katanya.


Abdul Rahim berkata, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: