Monday, June 7, 2010

Dres paling diingati 5 dekad




APABILA berbicara mengenai dunia fesyen hari ini, tanyalah kepada sesiapa sahaja, gaya futuristik penyanyi Lady Gaga pasti menjadi bualan hangat. Menyatukan elemen seksi dan misteri ditambah dengan persembahan muzik luar biasa, gaya Lady Gaga mudah menangkap pandangan mata sesiapa sahaja.

Namun, menyingkap kembali 50 tahun era fesyen glamor, ternyata bukan sedikit nama selebriti yang menjadi pilihan, bahkan telah menolak jauh nama Lady Gaga daripada pilihan utama.

Mereka terdiri daripada pelakon, penyanyi, model, wanita kenamaan sehinggalah ratu cantik yang pernah menduduki carta pemakai dres paling diingati sepanjang tempoh lima dekad ini.

Lantaran meraikan lima dekad era fesyen moden itu, sebuah peruncit fesyen dalam talian, offerssupermarket.co.uk membuat bancian dan mendapati terdapat 10 dres paling istimewa yang telah mendapat perhatian pembaca di Amerika Syarikat (AS).

Aura Hepburn

Ternyata biarpun sudah hampir 50 tahun, aura pelakon veteran Audrey Hepburn yang menggayakan dres labuh berwarna hitam pada tahun 1961 masih sukar untuk dikikis daripada ingatan.

Potongan dres yang mendapat sentuhan jenama Givenchy itu bukan sahaja membangkitkan sosok seksi Hepburn bahkan menyuntik kejelitaan luar biasa pada hasil fotografinya.

Meskipun sudah bertahun-tahun lamanya, dres tersebut masih menjadi bualan golongan wanita di seluruh dunia.

Lebih menarik, poster Audrey sewaktu menggayakan dres tersebut hangat di pasaran.

Gaya klasik yang ditonjolkan benar-benar terpahat sehingga hari ini walaupun dres labuh itu sebenarnya dijahit tanpa sebarang aksesori tambahan.

Kehebatan Audrey menggayakan dres tersebut berlangsung sewaktu menghadiri majlis anugerah berprestij Breakfast at Tiffany.

Sementara itu, undian dalam talian itu turut menyaksikan nama aktres seksi Marilyn Monroe tidak tercicir daripada takhta penyarung busana paling diingati.

Gaun yang menggunakan fabrik sutera mewah dengan batu permata itu dipakai oleh pelakon berambut perang tersebut ketika mendendangkan lagu Happy Birthday kepada Presiden John F. Kennedy.


AURA seorang wanita terseksi, Monroe saat menyarung dres sutera daripada Jean Louis pada tahun 1962.


Majlis yang berlangsung di lokasi penuh bersejarah iaitu Madison Square Garden, New York pada tahun 1962 itu, mendapat perhatian lensa kamera dan tetamu yang hadir apabila Monroe yang juga model terkenal mengenakan gaun sendat itu tanpa memakai pakaian dalam.

Gaun itu telah dillelong oleh Christie's New York pada harga RM4 juta sekali gus menjadikannya sebagai harta peribadi aktres terbabit.

Madonna ala pengantin

Penyanyi terkenal Madonna pula menerima pujian apabila kehadirannya ke Anugerah Muzik Video MTV dengan memakai dres ala pengantin telah tercalon sebagai ikon fesyen menawan.

Biarpun ketika itu Madonna sedang berhadapan dengan krisis judul lagunya iaitu Like A Virgin, dia tetap mendapat perhatian.

Dres yang digayakan pada tahun 1984 itu dijadikan busana persembahan pentas dengan menggabungkan tali pinggang ranggi yang tertera perkataan Boy Toy.

Setelah selesai membuat persembahan, gaun bintang pop itu tersenarai dalam ikon fesyen antarabangsa.

Penyanyi latin, Jennifer Lopez juga tidak kurang hebatnya kerana dres hijau seksi yang digayakannya begitu mengghairahkan.

Ini kerana potongan fesyen yang direka oleh jenama mewah Versace cukup menawan. Penggunaan fabrik sifon yang jarang itu mendedahkan bahagian dada hingga ke paras pusat isteri penyanyi Marc Anthony itu.

Lopez memilih menggayakan dres lengan panjang itu ketika menghadiri Anugerah Grammy 10 tahun lalu. Dres itu didakwa merupakan busana karpet merah penuh memori dan paling seksi pernah digayakan selebriti.


GAUN merah jambu Paltrow di karpet merah Anugerah Academy tahun 1999.


"Saya tidak menyangka dres ini berjaya mendapat perhatian," ujar ringkas pemilik jenama Versace, Donatella Versace.

Selain itu, tuah wanita bernama Jacqueline Kennedy iaitu isteri kepada Presiden Amerika Syarikat ke-35, John F. Kennedy sememangnya tiada tandingan. Dia dianggap sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat yang paling bergaya.

Dirinya yang begitu meminati fesyen menempah pakaian dengan pereka Oleg Cassini.

Meskipun turut menggunakan perkhidmatan jenama lain seperti Chanel, Givenchy, Dior dan Hermes, wanita itu masih menjadikan gaun Cassini sebagai ikon fesyennya.

Ia terbukti apabila undian memilih dres satin kembang sentuhan Cassini ketika Jacqueline menghadiri Gala Perdana pada tahun 1961 sebagai dres Jacqueline yang paling dikenang.

Sementara itu, kehadiran penyanyi bersuara serak Cher pada Anugerah Academy 1986 dengan dres seksi rekaan Bob Mackie amat sesuai dengan penampilannya.

Ditugaskan untuk mengumumkan nama pemenang, Cher memberitahu audiens bahawa dia sudah pandai bergaya seperti seorang bintang berjaya.

Penampilannya yang berani dengan memakai aksesori rambut yang tajam dan kembang kelihatan begitu mengujakan.

Wanita seterusnya yang tersenarai dalam carta itu ialah Bianca Jagger iaitu bekas isteri pertama vokalis kumpulan Rolling Stones, Mick Jagger.

Kejelitaan wanita itu menjadi tumpuan setelah dia mengadakan parti ulang tahun di sebuah kelab malam terkenal, Studio 54.


GAYA Jagger yang juga dikenali sebagai selebriti seksi dan anggun.


Pada malam tersebut, dia hadir dengan penuh pesona dan memakai dres seksi yang mendedahkan bahagian bahu.

Model dan aktres Edie Sedwick pula tampil dengan dres ringkas tetapi masih kelihatan trendy.

Pakaian sendat yang dipakai oleh penari balet pada 1965 itu turut terpilih sebagai ikon fesyen.

Kelihatan bagaikan seorang puteri, pelakon Hollywood, Gwyneth Paltrow menyarung gaun Ralph Lauren berwarna merah jambu tidak ketinggalan menerima undian daripada pembaca offerssupermarket. co.uk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: