SELEPAS melihat kejayaan negara jirannya menjadi pengeluar kopi terbesar di peringkat global, Filipina kini berusaha untuk turut serta sebagai penanam tanaman kopi yang digeruni.
Barangkali ia suatu perkara yang sukar kerana populariti Filipina sebagai pengeksport kopi kelima tertinggi di dunia terhenti sekitar tahun 1880-an selepas Sepanyol membeli biji kopi dari negara itu.
Perkara tersebut turut diakui oleh Lembaga Kopi Filipina yang menyedari Filipina agak sukar untuk bersaing dengan negara yang menjadi pengeksport kopi utama seperti Indonesia dan Vietnam.
Atas faktor tersebut, Filipina berusaha menyasarkan pasaran baru yang mengkhusus kepada golongan mudanya yang suka melepak di kafe-kafe di negara yang mempunyai 93 juta penduduk itu.
"Kami memiliki banyak jenis kopi eksotik dan faktor ini memudahkan kami memperkenalkan produk kami," jelas Pengarah Lembaga Kopi, Josefina Reyes.
Pengerusi bersama Lembaga Kopi, Pacita Juan memberitahu, Filipina sudah lama mengamalkan budaya minum kopi berbanding teh dan budaya tersebut semakin berkembang pada zaman moden ini.
"Gaya hidup pada hari ini memperlihatkan orang ramai mula menikmati kopi dalam kehidupan seharian. Terutamanya pekerja di pusat panggilan yang bekerja selama 24 jam seminggu tanpa henti. Tugasan itu membuatkan mereka cenderung minum banyak kopi. Malah, pihak hotel turut menyediakan kopi asli yang terbaik berbanding kopi segera," katanya.
Pada masa yang sama, Badan Perlembagaan Kopi turut mempromosi Kape Isla yang bermaksud pulau kopi. Ia merupakan mercu tanda perkembangan kopi istimewa di Filipina.
Pada masa yang sama, ia membantu usahawan membuka kedai kopi kecil di seluruh negara yang membolehkan mereka menawarkan campuran kopi ciptaan mereka sendiri.
Melalui cara itu mereka boleh bersaing dengan syarikat besar seperti Starbucks yang menjual kopi dari Afrika dan Amerika Selatan.
"Penghasilan produk berasaskan kopi telah mendorong Filipina menawarkan kopi jenis premium arabica iaitu sejenis kopi campuran istimewa bersama biji barako yang digemari oleh rakyat Filipina," ujar Juan.
Filipina pernah merasai zaman kegemilangan penanaman kopi sekitar tahun 1980 apabila mendapat kuota eksport dan harga yang ditetapkan di bawah Perjanjian Kopi Antarabangsa.
"Sebelum ini mereka yang terlibat dalam industri kopi menjadi kaya-raya sehingga mampu membeli kelengkapan rumah seperti peti sejuk dan set televisyen," imbas penjual kopi Antonio Mawak yang berasal dari selatan Manila.
|
|
Kelumpuhan sistem kuota sekitar tahun 1989 menyebabkan rakyat Filipina sukar bersaing dan gagal menawarkan harga kopi yang murah seperti Vietnam.
"Kesannya kebanyakan peladang mula menebang pokok kopi dan memenuhi kebun mereka dengan nanas," jelas Mawak.
Walaupun harga kopi di peringkat global semakin meningkat tetapi penanaman kopi di Filipina sebaliknya. Situasi itu telah memberi peluang pada tanaman lain sehingga menyebabkan pihak berkuasa bergantung pada kopi yang diimport dari negara jiran.
Menurut statistik pakar pertanian dari Universiti Daerah Cavite, Alejandro Mojica jumlah kawasan yang digunakan untuk penanaman kopi mengecil sebanyak 130,000 hektar berbanding 70,000 hektar pada tahun 1989.
"Kami perlu memulih, membaja dan memperluaskan ladang-ladang ini," katanya.
Di bandar Amadeo yang terletak kira-kira 90 minit dari selatan Manila, kebanyakan industri kopinya bermasalah.
Kopi merupakan tanaman yang ditanam di kebun kecil dan ia perlu berkongsi ruang dengan tanaman yang lain seperti lada hitam dan pokok buah-buahan. Lazimnya biji kopi akan kering di bawah cahaya matahari dan dihantar kepada pengeluar untuk diproses.
Keuntungan berlipat ganda
"Anda tidak boleh hidup hanya dengan menjual kopi. Ia memerlukan kos yang tinggi sama ada untuk proses semaian, pembersihan dan pengangkutan," ujar Petronilo Romano, 72, sambil memetik kopi dengan tangannya.
Pada masa yang sama katanya, penjualan kopi mampu dijadikan sumber pendapatan dalam tempoh yang panjang.
"Hasil jualan buah pisang, kelapa dan nangka digunakan untuk perbelanjaan harian, malangnya kami terpaksa menjualnya pada harga yang rendah.
"Namun dengan menjual kopi anda boleh memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. Dengan kopi juga anda boleh menyimpan stok selama dua tahun sehingga ia ditawarkan pada harga yang terbaik," kata Romano.
Kebanyakan peladang kopi sudah meninggalkan kerja-kerja menanam kopi tetapi tidak bagi petani veteran kerana mereka sukar mendapatkan individu yang boleh menjaga ladang mereka.
"Saya bertuah kerana mempunyai seorang anak lelaki yang berusia 40 tahun untuk menceburi bisnes ini. Namun rasa agak sedih apabila mengenangkan nasib petani lain yang tidak mempunyai anak bagi meneruskan usaha ini," ujar Romano.
Sementara itu, Juan berkata Lembaga Kopi Filipina berharap negara terbabit mahu merampas kembali proses pengeluaran kopi supaya mereka tidak perlu lagi mengimport kopi seperti yang berlaku di Vietnam dan Indonesia.
|
|
Berdasarkan jumlah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Filipina penghasilan kopi di negara itu menurun sebanyak 97,435 tan pada tahun 2008 berbanding 112,271 tan pada tahun 2001.
Namun lembaga kopi yakin dengan penanaman benih yang baru dan promosi secara besar-besaran akan membuahkan hasil yang memberangsangkan.
"Pada tahun 2010, saya menjangkakan eksport kopi dari Filipina akan meningkat sebanyak dua kali ganda," ujar Juan yang berharap agar negaranya menjadi pengeksport kopi utama menjelang tahun 2017.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: