|
|
JARANG sekali dapat melihat raut wajah gadis yang telah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan ditata rias dengan solekan tebal.
Cukup sekadar memakai gincu dan pemerah pipi, kejelitaannya sudah mempesona.
Penggunaan kosmetik dan solekan tebal hanya diaplikasikan jika Thanuja mempunyai acara tertentu yang memerlukan dia tampil penuh glamor.
Bukannya tidak gemar bersolek tetapi jika diberi pilihan, Thanuja, 24, lebih selesa mukanya dihias ringkas.
"Solekan yang tebal untuk majlis tertentu sahaja. Misalnya sesi fotografi atau pertunjukan pentas. Tidak semua aktiviti saya memerlukan pemakaian mekap yang tebal," katanya.
Lulusan Universiti Northumbria, New Castle, United Kingdom dalam jurusan Undang-undang, siapa sangka Thanuja sebenarnya mempunyai pasangan kembar iaitu Anuja Ananthan.
Lebih manis, kedua-duanya mempunyai minat yang sama tetapi kecenderungan berada di pentas glamor lebih berpihak kepada Thanuja.
"Adik kembar saya juga meminati dunia peragaan tapi dia ada kerjaya lain.
"Meskipun tidak berada di hadapan lensa kamera, adik kembar saya itu sentiasa menjadi rujukan apabila saya ingin membuat sesuatu keputusan," terang Thanuja yang begitu fasih berbahasa Melayu.
Di luar pentas peragaan, Thanuja yang bertubuh langsing dengan ketinggian 181 sentimeter sebenarnya merupakan pencinta haiwan.
Baginya, haiwan yang tidak dapat meluahkan perasaan secara verbal memerlukan perlindungan yang khusus.
Antara binatang peliharaan Thanuja ialah kucing, ikan dan anjing.
Sekiranya mempunyai kelapangan, dia lebih gemar berada di rumah untuk melayan kerenah haiwan-haiwan tersebut.
"Setiap orang ada cara tersendiri untuk menenangkan fikiran. Bagi saya, peluang bersama haiwan peliharaan lebih bermakna memandang kita menjaganya dengan penuh sayang," terangnya yang sentiasa tersenyum manis.
STAILO: Apakah definisi pertandingan ratu cantik bagi seorang Thanuja?
THANUJA: Pertandingan ratu cantik merupakan salah satu platform untuk mengiktiraf wanita yang telah membuktikan mereka mempunyai keyakinan yang tinggi.
Selain itu, pertandingan yang disertai perlu ada misi yang baik dan ikhlas, bukan semata-mata untuk glamor.
Peserta perlu tahu apa yang dikehendaki, adakah dia boleh menyumbangkan sesuatu untuk mengubah dunia.
Paling penting ialah sikap merendah diri kerana seorang ratu cantik akan melayan semua golongan, malah mereka tidak boleh terlalu cerewet.
Bagaimanakah anda terdetik untuk memasuki pertandingan berprestij itu?
Semestinya ia merupakan keinginan saya sendiri. Kemudian diikuti dengan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
Jadi, dari situ bertambah lagi kekuatan dalam diri saya untuk memasuki pertandingan Ratu Dunia Malaysia 2009/2010.
Tanpa sokongan mereka mungkin saya tidak begitu yakin untuk dinilai di atas pentas pertandingan.
Adakah anda seorang yang memilih dalam soal pemakanan?
|
|
Saya memang suka makan. Dalam satu hari saya mesti makan nasi dengan lauk-pauk kegemaran iaitu yang pedas-pedas.
Cili merupakan kegemaran saya. Disebabkan terlalu suka masakan pedas, saya pernah masak lasagna cili.
Untuk makan malam pula, saya sekadar makan menu ringkas seperti roti atau capati. Tidak pernah terdetik untuk diet kerana saya yakin jika kita pandai seimbangkan makanan dengan senaman, pasti tiada masalah kegemukan.
Bagaimana pula anda menjaga rambut?
Rambut saya sejak kecil lagi kerinting dan lebat. Percaya atau tidak, saya tidak pernah buat rawatan rambut di salon.
Cukup menggunakan syampu Pantene dan tahu cara mencuci rambut dengan baik. Dan inilah hasilnya.
Apakah rahsia penjagaan kulit anda yang kelihatan sihat?
Amalan yang diajar oleh ibu saya iaitu petua tradisional masyarakat India dengan hanya menggunakan bahan dapur.
Antaranya ialah kacang hijau yang dikisar halus sehingga menjadi seperti serbuk.
Ia boleh digunakan di seluruh badan dan dijadikan topeng muka. Selain itu, kami sekeluarga mengamalkan pembuatan yogurt sendiri tanpa perlu membelinya di kedai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: