BIARPUN jadual kerjanya padat dengan pelbagai urusan rasmi, namun tokoh politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 34, tidak pernah menjadikannya sebagai alasan tidak meluangkan masa bersama-sama dengan dua putera kesayangannya, Jibreil Ali, 3 dan Timor Abdullah, 2.
“Saya selalu ‘curi’ masa untuk bersama mereka. Biarpun jadual saya padat saya tetap akan kosongkan jadual masa semata-mata untuk bersama-sama dengan mereka.
“Selalunya apabila saya balik ke rumah saya akan baca buku atau main bola dengan mereka. Saya percaya cara ini mampu mengeratkan hubungan ayah dengan anak,” katanya ketika ditemui Mingguan Mstar di vilanya baru-baru ini.
Sifat kebapaan Khairy jelas terpancar kerana beliau juga tidak kekok ketika menukar baju anak sulungnya, Jibreil yang lebih manja dengan panggilan Cougar sebelum sesi fotografi bermula.
Putera kedua figura ini tidak kurang hebatnya, si cilik Timor atau nama timangannya, Puma begitu asyik dengan iphone biarpun usianya baru mencecah dua tahun.
Bercerita mengenai pengalamanya sebagai bapa, Khairy yang popular dengan panggilan KJ ini berkata, putera sulungnya suka bermain bola sama seperti dirinya ketika kecil dahulu.
“Cougar ada sedikit persamaan dengan saya, dari segi luaran dia banyak ikut ibu dia Nori (Abdullah) tapi kalau tengok rambut dia memang dia ikut rambut saya.
“Dia juga pernah berperangai ‘pelik’ seperti kuat merajuk dan sensitif dengan ibunya ketika ketiadaan saya selama sebulan kerana mengikuti latihan askar Wataniah pada bulan Mei yang lalu,” katanya mengimbau memori indah mengenai putera sulungnya itu.
Mengamalkan prinsip memberi kebebasan kepada dua heronya, KJ tidak menolak seandainya ditakdirkan salah seorang daripada permata hatinya mengikut jejak langkahnya sebagai ahli politik.
“Saya dan isteri tidak pernah menyekat minat anak-anak. Kami sentiasa menyokong apa juga minat dan bakat yang ada pada mereka.
“Jika Cougar atau adiknya, minat nak jadi ahli muzik saya tak halang. Saya percaya kalau kita ada minat peluang untuk berjaya pasti ada,” kata graduan Universiti Oxford ini.
Mengenai kenangannya pada Hari Bapa, KJ yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia ini berkata, dia sedih setiap kali mengenangkan hari istimewa itu, kerana ayahandanya telah pergi menghadap Ilahi kira-kira 18 tahun lalu.
“Ayah meninggal ketika usia saya 16 tahun. Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai ayah hargailah saat-saat anda bersama mereka.
“Tidak ada ayah kedua atau ketiga, mereka hanya seorang sahaja. Selagi mereka masih ada tunjukkan yang kita sayang kepada mereka,” katanya.
Menutup episod duka pemergian ayahanda tercinta, nyata bapa muda ini masih beruntung kerana dapat menumpang kasih dengan ayah mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Saya dengan Pak Lah rapat. Kami akan berjumpa sekurang-kurang seminggu sekali. Saya dan Nori akan meluangkan masa untuk makan tengah hari atau makan malam bersama-sama,” ujar KJ yang memanggil ayah mertuanya, Baba.
Bagi Ahli Parlimen Rembau ini, bukan harga sesuatu hadiah yang menjadi ukuran sebaliknya, tanda ingatan kita kepada insan istimewa itu lebih utama.
“Pada Hari Bapa tahun lalu, kami hadiahkan sebuah buku Shakespeare Julius Caesar untuk Baba.
“Untuk tahun ini, kami akan bawa Baba dengan adik-beradik yang lain pergi makan-makan,” ujarnya.
KJ berkata Hari Bapa bukan sekadar sambutan semata-mata kerana baginya hubungan anak dengan ayah sangat istimewa dan ia tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
cougar n puma..wow!! unik nama nya
ReplyDelete