Thursday, June 24, 2010

Peneraju perubahan

KAIST adalah IPT pertama ditubuhkan di Korea bagi melaksanakan  pengkhususan pengajian dan penyelidikan bidang sains serta  kejuruteraan.
KAIST adalah IPT pertama ditubuhkan di Korea bagi melaksanakan pengkhususan pengajian dan penyelidikan bidang sains serta kejuruteraan.
KAIST IPT Korea pertama laksana pengkhususan sains, kejuruteraan

KOREA Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) ditubuhkan pada 1971 sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama negara itu yang melaksanakan pengkhususan pengajian dan penyelidikan bidang sains serta kejuruteraan. Penubuhannya bagi memangkin perubahan ekonomi negara itu daripada industri kecil kepada peneraju sektor perusahaan berteknologi tinggi.Bagi memastikan objektif itu dicapai, KAIST ditubuhkan berasaskan undang-undang khas dan dana kerajaan selain turut dibarisi ahli akademik berkelulusan sains dan kejuruteraan dari Amerika Syarikat.

Asas penubuhan yang kukuh itu membolehkan ia berkembang pesat hingga dikenali sebagai universiti penyelidikan bertaraf global hasil kerjasama penyelidikan dengan IPT serta industri di seluruh dunia serta penganugerahan geran dan biasiswa kepada pelajar antarabangsa.

Ia menjalin kerjasama dengan 102 universiti di 30 negara termasuk Malaysia untuk melaksanakan program pertukaran pelajar yang membolehkan kira-kira 600 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian singkat di KAIST.

Penggabungan KAIST serta Universiti Maklumat dan Komunikasi pada Mac tahun lalu membolehkan IPT itu mengukuhkan peranannya sebagai penjana modal insan bagi ekonomi berasas teknologi negara itu.
Kampus utama KAIST kini terletak di Kompleks Penyelidikan Daedeok, Daejeon; yang turut menempatkan kira-kira 50 institut penyelidikan awam dan swasta serta syarikat teknologi.

Ia menempatkan enam fakulti KAIST iaitu Kolej Sains Semulajadi, Kolej Sains Hayat dan KejuruteraanBio, Kejuruteraan, Kejuruteraan dan Sains Maklumat, Perniagaan serta Sains Kebudayaan.

Sistem pengajian dijalankan di KAIST adalah unik dan fleksibel kerana tidak terikat kepada sistem pengambilan dan keperluan kurikulum kebangsaan.
Antara lain, sistem ‘Open Major’ membolehkan pelajar siswazah mengikuti kuliah umum selama tiga semester sebelum memilih pengkhususan yang menepati minat dan keupayaan mereka.

KAIST juga universiti pertama di Korea diberi kelulusan melaksanakan sistem kemasukan tanpa ujian, sebaliknya berdasarkan keupayaan menyeluruh calon yang ditentukan menerusi pencapaian subjek matematik dan sains, saranan guru, kreativiti dan personaliti mereka.

Penyelidikan di KAIST dilaksana dengan sistematik menerusi lapan institut penyelidikan iaitu BioCentury, Information Technology Convergence, Design of Complex Systems, Entertainment Engineering, NanoCentury, Eco-Energy, Urban Space and Systems, serta Optical Science and Technology.

Geran penyelidikan semasa diterima universiti itu daripada sektor awam dan swasta mencecah RM1.04 bilion selain memiliki 2,694 paten domestik dan 723 paten antarabangsa.

Antara hasil penyelidikan KAIST yang terkenal adalah sistem pengangkutan elektrik, OLEV, yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik yang dipindahkan secara magnetik dan tanpa wayar bersumberkan kabel elektrik ditempatkan di bawah permukaan jalan.

Sistem itu diwujudkan dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengurangkan pencemaran udara akibat asap kenderaan.

Dalam tempoh 39 tahun penubuhannya, KAIST menghasilkan lebih 33,000 ahli sains dan jurutera yang berkhidmat di IPT terkemuka seperti Universiti Harvard dan Pennsylvania selain syarikat besar termasuk Samsung, SK Telecom dan LG.

Kedudukan KAIST dalam sistem penarafan global membanggakan, antara lain, diiktiraf universiti sains dan teknologi terbaik Asia selain berada di tempat ke-69 universiti terbaik dunia menerusi penarafan Times Higher Education-QS World.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: