Monday, June 28, 2010

Detik cemas Mark Webber


KERETA dipandu Mark Webber (kiri) melambung selepas berlanggar dengan kereta dipandu Heikki Kovalainen.


VALENCIA - Pemandu Formula Satu (F1) pasukan Red Bull Racing, Mark Webber (gambar) terselamat daripada maut apabila kereta lumbanya terbalik dan melanggar dinding yang dipenuhi dengan tayar pada kelajuan 305.7 kilometer sejam (km/j) pada perlumbaan di Grand Prix Valencia, lapor sebuah akhbar semalam.

Insiden pada pusingan kesepuluh itu berlaku apabila pemandu Australia tersebut cuba memotong Heikki Kovalainen dari pasukan Lotus di bahagian paling laju.

Malangnya, Webber melanggar bahagian belakang jentera pasukan Lotus sebelum keretanya berpusing dan terbalik. Pemandu Lotus itu dilihat cuba mempertahankan kedudukannya di hadapan Webber dan tidak membenarkan keretanya di potong.

Ajaibnya, Webber yang memulakan perlumbaan pada petak kedua mampu berjalan keluar daripada keretanya selepas ia berhenti.

Jika bukan kerana reka bentuk keselamatan yang tinggi pada kereta dan persekitaran litar, kecederaan yang mungkin menimpa Webber adalah sangat serius.

Pengulas Perbadanan Penyiaran British, yang juga bekas pemandu F1, David Coulthard berkata F1 telah menyaksikan harinya yang paling bertuah.

"Insiden ini boleh menjadi sangat serius. Webber duduk dengan tenang walaupun kereta Red Bull itu terbalik. Dia berada dalam keadaan baik. Secara fizikalnya, dia tidak mengalami sebarang masalah," kata Coulthard yang bertemu dengan Webber tidak lama selepas itu.

"Webber kelihatan cukup tenang, bukan seperti seseorang yang baru mengalami pengalaman ngeri itu," tambahnya lagi.

Sebelum itu, pemandu GP2 Josef Kral turut mengalami kemalangan dahsyat pada selekoh ke-17.

Kral dikatakan cuba memotong Rodolfo Gonazalez sebelum melanggar bahagian belakang jentera Gonzalez.

Pelanggaran itu mengakibatkan keretanya melambung ke udara dan terperosok ke dalam tayar penghalang.

Kral dibawa ke hospital dalam keadaan sedar serta dilaporkan mengalami kesakitan pada belakang dan tangan kanannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: